Dapur

Jangan Silap Beli Lagi, Ini 5 Perbezaan Antara Daun Sup Dengan Daun Ketumbar

“Eh, kenapa bau lain macam je sup aku ni? Alahai, terbeli daun ketumbar rupanya… Tapi memang dua-dua nampak sama je, tak perasan langsung!”

Daun sup dan daun ketumbar ni bukan nak kata adik-beradik lagi, tapi dah macam kembar. Sekali pandang memang tak perasan langsung apa beza antara kedua-duanya. Kita yang dah biasa ke dapur pun boleh keliru, apatah lagi kalau kirim dengan suami. Salute habis kalau mereka dapat bawa balik daun yang betul!

Sebenarnya kalau diperhatikan betul-betul, adalah sedikit perbezaan antara daun sup dengan daun ketumbar ni. Jadi kalau nak elak tersalah beli, jom kita sama-sama ketahui apa ciri yang dapat membezakan kedua-dua jenis daun ini.

5 Perbezaan Antara Daun Sup Dengan Daun Ketumbar

1. Nama / Label Di Pasar Raya

Bila tiba di pasar raya ni, kadang-kadang label pada daun tu tak ditulis pun ‘daun sup’ atau ‘daun ketumbar’. Tiba-tiba confused, menggelabah sekejap. Lepas tu, makin peninglah kita nak memikirkan mana satu daun sup, mana satu daun ketumbar kan?

Sebenarnya ada beberapa nama lain bagi kedua-dua daun ini yang biasa digunakan pada labelnya.

Daun Sup : Juga dilabel sebagai Celery Leaves / Chinese Celery

Daun Ketumbar : Juga dilabel sebagai Coriander Leaves / Cilantro

2. Akar

Kalau daun sup dan daun ketumbar masih dijual dengan akarnya, mungkin lebih mudah untuk anda membezakan keduanya.

Daun Sup : Daun sup biasanya mempunyai akar yang kecil dan jenis akarnya berserabut.

Daun Ketumbar : Daun ketumbar pula akarnya bersaiz lebih besar dan jenis akar seakan-akan akar tunjang. Kalau nak lebih faham, boleh rujuk dan bezakan dalam gambar di bawah ini.

Daun ketumbar. Akarnya lebih besar, seakan-akan akar tunjang.

Daun sup. Akarnya jenis serabut dan kecil, berbeza dengan akar daun ketumbar kan?

3. Batang & Daun

Kebanyakan masa kalau akarnya dah dipotong, kita tengok pula pada struktur daun dan batangnya. Ini mungkin agak susah nak bezakan, tapi tetap ada sedikit perbezaan.

Daun Sup : Batangnya lebih panjang dan daunnya lebih lebar tetapi agak jarang-jarang.

Daun Ketumbar : Batangnya agak pendek dan saiz daunnya lebih kecil dan agak rimbun atau rendang pokoknya.

daun sup atau ketumbar

Agak-agak yang ni daun apa?

4. Bau

Akhir sekali masa nak confirmkan, cara paling mudah nak kenal mana daun sup dan daun ketumbar adalah pada aromanya.

Daun Sup : Daun sup biasanya ada aroma yang grassy dan lebih mild. Macam bau sup Melayulah lebih kurang.

Daun Ketumbar : Kalau daun ketumbar pula, baunya lebih kuat dan tajam. Malah, baunya yang seakan-akan bau sabun atau bau kumbang mungkin membuatkan sesetengah orang rasa kurang senang. Tapi ramai juga yang merasakan aromanya berbau segar ala sitrus dan inilah yang lebih membuka selera!

daun sup

Daun ketumbar biasanya digunakan dalam masakan Thai atau India.

5. Kegunaan Dalam Masakan

Dari segi kegunaan, biasanya daun sup lebih universal dalam masakan Melayu. Daun ketumbar ni tak berapa ramai yang pakai kecuali untuk masak beberapa jenis masakan tertentu, terutamanya tomyam.

Daun Sup : Daun sup biasanya digunakan dalam masakan Melayu. Juga untuk menghias makanan seperti mee goreng atau nasi goreng. Seperti baunya, rasa daun sup juga tidak begitu kuat dalam masakan.

Daun Ketumbar : Rasa daun ketumbar agak kuat dan ia seunik baunya juga. Ia mungkin kurnag digunakan dalam masakan Melayu, namun daun ketumbar amat popular dalam masakan India atau hidangan Thai seperti tomyam, kerabu atau nasi ayam Thai.

Daun sup selalunya digunakan pada kebanyakan makanan Melayu seperti mee soto, bihun sup, nasi goreng, atau sup biasa. / Foto Kredit: vimeo.com

Macam Mana, Dah Dapat Bezakan Sekarang?

Kedua-dua daun sup dan daun ketumbar memiliki khasiat tersendiri, jadi tak salah pun kalau kita menggunakan yang mana-mana daun dalam masakan, asalkan kena dengan tekak masing-masing.

Memang keliru kalau kita jarang membelek dan menggunakan kedua-dua jenis bahan ini dalam masakan. Mungkin dengan info ini lain kali anda dah mampu membezakan antara daun sup dan daun ketumbar. Jadi, taklah tersilap beli kan?

Most Popular

To Top