Bersalin

Ibu Ini Ceritakan Pengalaman Bersalin Induce, 22 Jam Tahan Sakit

8.4K
reads
pengalaman bersalin induce

“Ish,  esok dah ‘due date’. Risaunya kalau ‘overdue’. Tak ada nampak sebarang tanda nak bersalin pun aku ni. Orang cakap pengalaman bersalin induce ni lagi ngeri daripada bersalin normal. Betulkah?”

Bukan semua wanita dapat bersalin normal seperti apa yang diharapkan. Ada kalanya, walaupun keadaan kehamilan kita sihat secara keseluruhannya, mungkin pada akhir-akhir kehamilan ada pula komplikasi yang menyebabkan perlu menjalani proses bersalin secara induce. 

Apakah Bersalin Induce?

Bagi yang belum tahu, ingin dijelaskan di sini bahawa bersalin induce adalah proses bersalin yang menggunakan teknik atau ubat-ubatan tertentu bagi mempercepatkan proses kelahiran. Ia dilakukan sekiranya bayi berisiko dan perlu dikeluarkan secepat mungkin atas sebab-sebab tertentu.

Antara punca menyebabkan seseorang perlu menjalani proses induce termasuklah kehamilan yang melebihi 42 minggu (overdue), masalah dengan air ketuban, jangkitan rahim, masalah kesihatan bayi, atau masalah kesihatan ibu seperti diabetes atau darah tinggi.

Bersalin Induce

Foto Kredit: workamama.blogspot.com

Pengalaman Bersalin Induce, 22 Jam Tahan Sakit

Selalunya bersalin secara induce ini agak digeruni kerana dipercayai lebih sakit berbanding bersalin normal. Di kesempatan ini, kami berpeluang mendapatkan Puan Aaisyah yang mempunyai pengalaman bersalin induce pada pertengahan tahun 2016.

Berikut adalah perkongsiannya yang boleh dijadikan panduan dan inspirasi untuk ibu-ibu di luar sana.

Sakit Ketika Kontraksi

Bagi saya, kontraksi induce ini lain macam bila menyerang. Bila dah namanya ubat, dia mestilah ada yang serasi dan tidak. Mungkin ada orang lepas induce, bukaan cm dia cepat dalam 5-6 jam saja. Tapi ada orang lambat sampai 1-2 hari. Ada orang induce tak sakit langsung sebab ubat tak menjadi. Kena pula masukkan ubat lagi 2-3 kali baru rasa sakit. Ada orang jalan tak buka terus, dan terpaksa dibedah sebab baby dah lemas. Itu gunanya mesin CTG untuk pantau jantung baby tu ya.

Jadinya, mengikut pengalaman saya, kontraksi induce boleh dikatakan amat sakit. Katil pun boleh roboh, tiang boleh tercabut, dinding pun rasa nak panjat and ada suami kat tepi rasa nak balun tumbuk-tumbuk macam Naruto. Sakitnya… Lebih-lebih lagi kalau orang yang dah tahan lama.

Ada pula yang dah tahan lama cm tak buka kena pulak jalani pembedahan caesar. Dua kali sakit atas bawah dua dua ‘mendapat’. Yang dah induce lepas itu tiba-tiba kena ‘operate’, tahu tak kenapa? Sebabnya kita dah hilang tenaga. Kudrat dah tak ada langsung sebab tenaga dah habis tahan sakit lamanya ‘induce’. Bayangkanlah mana pergi tenaga? Habis-habisan dikerah. Bila baby berisiko untuk lemas, doktor terpaksa ambil jalan yang terbaik. Jadi, terpaksalah lakukan pembedahan. 

Masa saya dulu, doktor datang ‘check’ jalan sampai saya merayu pada dia tolong supaya tolong belah perut saya. Bila ‘contraction’ menyerang, dah tak ada kata-kata saya dapat gambarkan. Suami kat tepi pun rasa nak sepak-sepak. Sebab tu penting, zikir, baca doa yang mana patut. Memang betul, bila dah sakit sangat kadang-kadang tak ingat apa dah ayat untuk dibaca. Sebab itu juga penting suami dekat sebelah tolong ingatkan mana yang patut. 

Akhirnya Selamat Bersalin

Walau pun sakit, seronok bersalin bila ‘labour room’ dah kosong dekat HTAA. Mana tidaknya, nurse dan doktor semua datang buat pasukan sorak. “Cepat ‘push’, tolakkkk, awak bolehhh, cepattt , cepat, sikit lagi , sikit lagi…” sambil tolak perut saya macam tengah uli gandum roti canai. Sebab itulah saya sayang doktor dan nurse ‘labour room’ HTAA. Tak lupa pada nurse dan doktor wad 1a yang sangat mesra dan peramah.

Tapi yang ‘best’ bila mana baby dah keluar rasa panas saja. Lepas itu dengar suara dia menangis dan doktor tunjuk baby dia tanya anak kita “Boy or girl”. Waktu itu, doktor jahit koyakan pun saya dah tak rasa apa. Sebab nikmat yang Allah bagi, saya tengok anak yang dikandung 40 minggu 3 hari dah selamat saya lahirkan. Nikmat baby keluar sangat berharga.

pengalaman bersalin induce

P/s : Ada hamba Allah kata saya susah bersalin sebab saya banyak dosa yang orang tak ampun. Allah Allah. Saya tak tahu kat mana letak iman makcik ni. Tapi tak apa saya maafkan dia. Sebabnya siapa yang laluinya memang tahu. 22jam saya tahan sakit lepas induce. Saya buatlah macam mana gaya pun dalam wad dan labour room, nurse tak marah langsung sebab dia faham sakitnya induce ini. Nurse siap suruh saya bersabar, zikir, benarkan suami duduk dalam labour room selama saya sakit sampai bersalin. Lepas itu, saya tengok nurse and doktor keliling saya macam team bola tau? Sebabnya sayalah pesakit yang akhir sekali. Orang lain semua dah beranak. Saya berterima kasih dengan doktor dan nurse HTAA KUANTAN ( HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) sebab bersabar dan sanggup jadi pasukan sorak untuk bagi semangat pada saya walaupun waktu tu tak ada secebisan pun tenaga dah.

Suami pun serik tengok saya meraung and menjerit-jerit sebabnya ini fenomena ubat. Serasi atau tak serasi bergantung juga pada badan dan keadaan kita. Ibaratnya habis bergadai tenaga hingga hujung nyawa.

Jadi, hargai isteri masing-masing ya. Setiap insan ada pengorbanan tersendiri.

Yang ikhlas
Aaisyah Zahraa
Mommy yang kena induce
Dean Ammar
11 Jun 2016 (5.19AM)

 

*Perkongsian pengalaman oleh Puan Aaisyah ini merupakan sebahagian daripada posting beliau di Facebook peribadinya. Ia diterbitkan semula dengan kebenaran.

Yang Popular

To Top