Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun cedera selepas dipercayai dipukul seorang pelajar senior dalam sebuah bilik asrama sekolah menengah di daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Kejadian yang dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 11.40 malam, 27 September lalu itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar terbabit.
Baca juga: Putrajaya Kini Ada Bas Elektrik Tanpa Pemandu, Tambang Hanya RM1 Sehala Seawal 7:15 Pagi!
PELAJAR SENIOR PUKUL JUNIOR DALAM BILIK ASRAMA

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipanggil ke sebuah dorm oleh pelajar senior berusia 16 tahun sebelum insiden berkenaan berlaku.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kejadian membabitkan seorang pelajar lelaki cedera selepas dikatakan dipukul pelajar lain dalam asrama sebuah sekolah menengah.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa berumur 14 tahun dipercayai dipanggil ke sebuah dorm oleh pelajar senior berusia 16 tahun susulan berlaku perselisihan faham antara mereka berdua,” jelasnya.
Menurut beliau, mangsa dipercayai dipukul ketika berada di dalam dorm berkenaan sehingga mengalami kecederaan sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAJ), Kuala Pilah.
Pemeriksaan pihak hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut.
“Hasil pemeriksaan pihak hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut,” katanya.

Sekadar gambar hiasan
Dalam perkembangan sama, Muhamad Mustafah berkata polis sudah mengenal pasti pelajar yang disyaki terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berkaitan kejadian itu.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” pesannya.
Baca juga: “Diserang Lima Anjing Liar, Nur Haira Jalani Tiga Pembedahan… Mungkin Alami Cacat Kekal” – Bapa
Sumber: Berita Harian
