Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP) menerima tiga anugerah pada peringkat nasional Asian Academy Creative Awards (AACA) 2022 yang telah diumumkan baru-baru ini. Tiga anugerah itu diberikan kepada Tinta Syurga (TV3), 999 ‘Jenayah Banjir’ (TV3) dan ‘My Dream, My Wish’ (8TV).
Kemenangan ini telah melayakkan Rangkaian Televisyen Media Prima bersaing dengan program-program dari lebih 10 buah negara Asia Pasifik pada malam Grand Awards and Gala Finals yang bakal diadakan pada 7 dan 8 Disember ini di Singapura.
Baca juga: Media Prima Kekalkan Momentum Pendapatan, Catat Keuntungan RM20.8 Juta Separuh Tahun Pertama 2022
MEDIA PRIMA RAIH 3 ANUGERAH DI ASIAN ACADEMY CREATIVE AWARDS (ACCA)
Tinta Syugra merupakan satu dokumentari istimewa khas Nuzul Al-Quran dianugerahkan sebagai pemenang anugerah Asian Academy Creative Award 2022 di bawah kategori Best Documentary Programme (One-Off) dan tercalon dalam kategori Goddess of Creativity Award.
Tinta Syurga adalah sebuah dokumentari menceritakan tentang misi menghasilkan mushaf (naskhah Al-quran bertulis tangan) untuk percetakan Al-Quran di Malaysia. Sebelum Al-Quran dicetak, kerja-kerja penyalinan Al-Quran dilakukan secara manual dengan tangan menulis di atas manuskrip bersaiz A1.
Best Current Affairs Programme or Series di Asian Academy Creative Award 2022 dimenangi oleh program jenayah iaitu 999. Program 999 menerusi episod ‘Jenayah Banjir’ berjaya meraih perhatian ramai dengan paparan kejadian-kejadian jenayah yang berlaku ketika banjir besar melanda Taman Sri Muda, Shah Alam pada akhir tahun lalu.
Beberapa premis dipecah masuk dan paling mengejutkan ada juga cubaan merompak mesin ATM sekaligus menyebabkan banyak kerosakan harta benda sekitar tempat kejadian. Di dalam kesempitan ada juga yang mengambil kesempatan atas mangsa-mangsa banjir dengan melarikan kereta yang terkandas dalam banjir di samping pelbagai kejadian lain yang berlaku ketika banjir teruk melanda di kawasan yang tidak dijangka ini.
Manakala, “My Dream, My Wish”, terbitan 8TV pula meraih anugerah Best Single Drama/Telemovie/Anthology Episode. Telefilem ini mengisahkan tentang seorang graduan bernama Chang Yong yang menganggur ketika pandemik dan berazam untuk memenuhi hasrat terakhir bapanya dengan menceburi perniagaan membuat pau yang dimiliki oleh keluarganya. Sepanjang pengalaman dan perjalanan dengan mendiang ayahnya yang masih muncul dalam dunia realiti, Chang Yong belajar bagaimana untuk menjadi orang yang lebih bertanggungjawab dan mendekatkan diri dengan ibu dan kakaknya.
Tahniah kepada penerbitan krew Tinta Syurga (TV3), 999 ‘Jenayah Banjir’ (TV3) dan ‘My Dream, My Wish’ (8TV) yang berjaya mewakili Malaysia pada peringkat nasional Asian Academy Creative Awards (AACA) 2022. Untuk mengetahui pemenang yang berjaya, nantikan Malam Gala Anugerah Asian Academy Creative Awards 2022 yang bakal diadakan pada 7 dan 8 Disember ini yang bakal berlangsung di Chijmes Hall, Singapura.