Asuh

Umur Anak Dah Masuk 6 Bulan, Nak Bagi Anak Makan Dalam Kuantiti Macam Mana Ya?

6
SHARES

Jika anak anda masih berada di bawah umur 6 bulan, maka agak tidak sesuai atau belum sampai masanya untuk mereka makan makanan keras atau ‘solid food’. Tetapi, apabila anak sudah mencapai umur 6 bulan, inilah masanya para ibu mula memberi makanan dan merangka menu diet untuk anak-anak.

Paling penting sekali ada untuk anda tahu makanan apakah yang sesuai untuk diberikan kepada si manja. Mestilah kita mahukan pemakanan yang sihat bukan? Jadi, jom kita baca penerangan yang lebih jelas tentang makanan apakah yang sesuai diberikan untuk anak-anak selepas umur 6 bulan.

Pemakanan bayi dan kanak-kanak selepas 6 bulan

Salam pengetahuan kepada semua kawan-kawan diba. Hari ni kita nak bercerita mengenai pemakanan bayi selepas 6 bulan atau 180 hari. Semestinya diba bercerita mengenai kanak-kanak yang sihat bukan bayi yang pramatang atau yang sakit. Jom baca!

Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan pemakanan nutrisi yang lengkap. Kanak-kanak yang diberi cukup makan, pada waktu yang betul mengikut perkembangan mereka lebih cenderung untuk bertahan hidup (survive), membesar, berkembang dan belajar. Mereka lebih bersedia untuk maju ke hadapan walaupun menghadapi penyakit, musibah atau krisis. Kini, kanak-kanak kecil dan pengasuh semakin terdedah dengan makanan yang rendah nilai nutrisi termasuklah makanan pelengkap dikomersil dan makanan terproses yang mengandungi gula, garam, lemak tepu dan lemak trans yang murah, mudah didapati serta mudah disediakan untuk kanak-kanak kecil.

Kenapa diet kanak-kanak penting semasa fasa pemberian makanan pelengkap?

Kualiti diet kanak-kanak sangat penting sebelum berusia 2 tahun berbanding fasa yang lain. Pemberian makanan pelengkap yang bersesuaian serta amalan pemberian makanan yang baik menyumbang kepada kelangsungan hidup, pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Selain itu dapat mengelakkan kekurangan mikronutrient, morbiditi dan obesiti di kemudian hari. Kualiti diet berkait rapat dengan status nutrisi. Kanak-kanak yang diberi makan sekurang-kurangnya tahap minimum diet yang diterima (minimum diet acceptable) tidak mudah menjadi bantut atau kurang berat badan.

Sekurang-kurangnya satu (1) dari tiga (3) kanak-kanak mengalami sama ada malnutrisi atau berlebihan berat badan menurut kepada World’s Children 2019; Children, food, and nutrition. Bantut memberi kesan kepada 149 juta kanak-kanak bawah 5 tahun seluruh dunia, menyebabkan kesan negatif terhadap ciri fizikal, pertumbuhan kognitif serta pertumbuhan mereka. Kanak-kanak yang terkesan dengan bantut seterusnya membesar menjadi orang dewasa yang bantut, dan ibu yang bantut cenderung untuk mendapat anak bantut.

Manakala susut mempengaruhi lebih dari 49 juta kanak-kanak bawah 5 tahun seluruh dunia, meningkatkan risiko jangkitan penyakit dan kematian. Kekurangan berat badan bertanggungjawab sehingga 45 peratus kepada kematian kanak-kanak bawah 5 tahun.

Apa yang patut kanak-kanak makan?

WHO dan UNICEF mencadangkan bayi diberi susu ibu sahaja dari lahir sehingga 6 bulan. Pada 6 bulan, kanak-kanak sepatutnya diperkenalkan makanan pelengkap mengikut umur, selamat dan bernutrisi di samping meneruskan penyusuan susu ibu. Diet yang sesuai semasa tempoh pemberian makanan pelengkap sepatutnya kaya dengan nutrient, tanpa tenaga, lemak tepu dan lemak trans yang berlebihan, tiada tambahan gula dan garam.

Diet yang sesuai semasa tempoh pemberian makanan pelengkap dikategorikan sebagai yang pertama; pemakanan yang pelbagai (dietary diversity). Makanan pelengkap yang baik perlulah mempunyai kepelbagaian dari kumpulan makanan setiap hari: (1) susu ibu; (2) bijirin dan ubi-ubian; (3) kekacang, kacang dan biji (seeds); (4) hasil tenusu (susu, yogurt dan keju); (5) sumber haiwan ( daging, ikan, ayam);(6) telur; (7) buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin A (lobak merah, mangga, sayur berdaun hijau gelap, labu, keledek); dan (8) buah-buahan dan sayur-sayuran yang lain.

Kanak-kanak yang menerima pelbagai jenis makanan akan kurang mendapat risiko kekurangan mikronutrient seperti vitamin A, zat besi, kalsium, tiamin, asid folik, zink, vitamin B6 dan vitamin B12. Untuk mencapai tahap minimum kepelbagaian, 5 (lima) dari 8 (lapan) kategori kumpulan makanan diperlukan.

Kanak-kanak kecil mempunyai kapasiti perut yang terhad, oleh itu mereka perlu makan makanan yang kaya dengan nutrisi walaupun kuantiti kecil untuk memaksimumkan jumlah nutrisi yang masuk dalam setiap suapan. Contoh makanan yang padat dengan nutrisi seperti daging, telur dan sumber haiwan dan kekacang seperti kacang tanah. Bijirin atau bubur sumber tumbuhan mungkin mengenyangkan tetapi makanan tersebut tidak menyediakan tenaga, protein dan mikronutrient yang cukup untuk memenuhi jurang di antara susu ibu dengan keperluan nutrisi kanak-kanak.

Kualiti lemak dalam makanan kanak-kanak juga penting. Rantaian asid lemak tidak tepu terutamanya asid lemak omega 3, yang selalunya dijumpai dalam ikan (seperti ikan sardin, keli dan terubuk), makanan laut, kacang, biji, kacang soya dan minyak tumbuhan – menggalakkan perkembangan kognitif dan motor dalam kanak-kanak. Mungkin agak sudah biasa yang diberi nasihat, elakkan makanan atau minuman yang manis atau tiada nutrisi. Ia akan menyebabkan berlebihan tenaga dan karies gigi. Ia juga akan menyebabkan kanak-kanak sudah terbiasa dengan mengambil makanan yang tinggi gula. Selain itu akan menyebabkan berlebihan berat badan.

Kesimpulannya, kita perlu peka dengan perubahan ketara pada anak-anak terutamanya bawah usia 2 tahun. Makanan yang pelbagai dan mengikut porsi yang betul mengikut umur penting untuk memastikan kanak-kanak mendapat mikronutrien yang mencukupi mengikut umur mereka. Jom cuba. Senang je.

Sumber: Unit Pemakanan Daerah Hulu Langat Selangor

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×