Famili

Lima Permainan Legend Zaman Kecil, Nombor 5 Tu Yang ‘Terpaling’ Rindu!

62
SHARES

Peredaran zaman yang semakin canggih menjadikan teknologi dan persekitaran berkembang semakin pesat. Secara tidak langsung, mempengaruhi gaya hidup anak muda generasi kini yang lebih menggemari aktiviti permainan di dalam pelbagai jenis peranti elektronik.

Berbeza pula gaya hidup dengan generasi kanak-kanak sekitar 70-an hingaa 90-an yang tidak sah kalau tidak ‘berkubang’ peluh pada waktu petang. Justeru itu, mari lihat beberapa jenis permainan legend zaman kecil dahulu yang pastinya akan menggamit memori kenangan lalu.

Baca juga: Bukan Sekadar Lagu Patriotik, Ini 5 Karya Agung Lagu Tema Kemerdekaan Jadi Siulan Ramai

PERMAINAN LEGEND MENGGAMIT KENANGAN LALU

Biarpun zaman berubah, namun permainan orang dulu-dulu lebih baik sekiranya tidak dilupakan. Bak kata pepatah, tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

Mesti seronok jika anak muda generasi baru, dapat merasai pengalaman sama bermain permainan seperti generasi terdahulu. Ini dia antara lima permainan legend menjadi pilihan penulis.

LIMA PERMAINAN LEGEND ZAMAN KECIL:

1. MAIN MASAK-MASAK

Gambar hiasan: DictioCommunity.

Sesuai dengan namanya, kalau tak guna periuk atau kuali emak yang tidak terpakai di rumah mesti tidak sah. Selalunya kanak-kanak perempuan yang lebih menggemari permainan ini. Kanak-kanak lelaki pula lebih suka membuat onar di dapur mereka.

Habis segala jenis daun, buah, ranting kayu, batu kecil, pasir dan sebagainya dijadikan hidangan makanan olok-olok. Hasilnya, jadi masakan air atau masakan goreng. Ada-ada saja ideanya!

Tambahan pula, ada juga kanak-kanak yang berani menyalakan api dengan menggunakan batang mancis, arang atau getah hitam. Kesannya, di wajah akan ada tanda kotoran hitam dan bila emak nampak ‘confirm’ kena hambat. Ingat, bahaya main api tanpa pemantauan orang dewasa!

2. BERMAIN GULI

Gambar hiasan: Illuminasi.

Permainan ini banyak dimainkan oleh kanak-kanak lelaki. Seringkali, tanah lapang dijadikan medan tempur mereka dengan membentuk sebuah bulatan menggunakan batang kayu.

Setiap pemain  perlu meletakkan jumlah guli yang sama, yang telah ditetapkan di dalam bulatan tersebut. Kemudian, mengikut giliran para pemain akan ‘menyerang’ guli-guli di dalam gelanggang tersebut supaya terkeluar dari bulatan. Siapa yang hebat akan meraih banyak guli.

Menariknya, permainan ini membolehkan para pemain memiliki guli pihak lawan dengan membaling ke arah guli yang diinginkan sehingga terkeluar dari bulatan. Di sini, strategi perlu digerakkan! Jika tidak guli kegemaran akan menjadi taruhan.

3. LOMPAT GETAH

Gambar hiasan: GenecordixPinterest – Kumparan.

Pada waktu itu, permainan ini hanya menggunakan getah yang diikat sambung sehingga menjadi untaian yang panjang. Ianya sering dimainkan di laman rumah pada waktu petang tapi, kadang-kadang waktu rehat di sekolah pun boleh juga.

Permainan ini sekurang-kurangnya memerlukan tiga orang pemain. Cabaran permainan ini, apabila ketinggian getah dinaikkan secara berperingkat sehingga paras kepala. Pemain yang berjaya melepasi kesemua aras tersebut dikira pemenang.

Dalam versi sekarang, dipanggil sebagai tali skipping atau ‘skipping rope’ yang dijual di kedai-kedai. Tali skipping moden ini, kebanyakannya digunakan individu sebagai alat untuk melakukan senaman.

4. GALAH PANJANG

Gambar hiasan: NurKamilah89 – Flickr.

Galah panjang memerlukan bilangan pemain yang ramai, di mana lagi ramai pemain lagi mencabar permainan itu. Pelbagai sumber digunakan untuk membina kotak gelanggang permainan ini seperti kapur, arang, tepung dan pelbagai lagi alat mengikut apa yang ada di sekeliling mereka.

Kotak gelanggang mempunyai dua lajur dan garisan, berdasarkan bilangan pemain. Pasukan pemenang dikira, apabila ramai ahli kumpulan terlepas dari sekatan pihak lawan hingga ke garisan akhir.

Pemain akan ‘mati’ apabila badan mereka disentuh pihak lawan yang tangannya dalam keadaan mendepa.

5. PERMAINAN GASING

Gambar hiasan: Illuminasi.

Permainan ini tersangat legend! Laman yang bertanah akan dijadikan sebagai kawasan bermain gasing. Selain tanah sebagai gelanggang, para pemain perlu mempunyai tali gasing untuk menggerakkan gasing.

Pemain hanya perlu menakuk gasing pihak lawan untuk menghentikan putaran gasing atau gasing yang berputar paling lama akan menang. Mereka yang mempunyai kemahiran tinggi, sudah pasti jadi juara!

Malah, melalui permainan ini juga dapat menyaksikan pelbagai koleksi gasing para pemain yang menarik dan unik. Kini, permainan klasik ini telah digantikan dengan ‘beyblade’ yang serupa seperti gasing tapi tidak menggunakan tali.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×