Mengadakan majlis kenduri kahwin untuk diraikan bersama ahli keluarga dan sahabat handai merupakan kebiasaan yang dilakukan oleh pasangan yang sah bernikah. Namun, ada yang memilih untuk buat secara sederhana atau besar-besaran mengikut kepada bajet kenduri kahwin masing-masing.
Namun, menerusi laporan terkini, kos majlis perkahwinan dijangkakan meningkat 20 peratus pada tahun ini berikutan peningkatan kos logistik dan harga barangan di pasaran. Alamak!
KOS KENDURI KAHWIN DIJANGKA MENINGKAT 20% TAHUN INI!
Menerusi laporan Harian Metro, seorang perancang perkahwinan di Johor Bahru, Jeslina Ngatman berkata pihaknya yang mengendalikan majlis perkahwinan sejak hampir 20 tahun mendapati peningkatan kos perkahwinan berlaku hampir setiap tahun namun ia bukan mendadak.
Beliau berkata, peningkatan kos perkahwinan ini merupakan suatu perkara tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan kos logistik mahupun barangan.
Menurutnya, bagaimanapun pasangan mempelai boleh membuat pilihan untuk menganjurkan majlis perkahwinan secara sederhana supaya ia lebih teratur dan jimat.
Katanya, misalnya sebelum ini kebanyakan majlis perkahwinan memberi undangan kepada 1,000 tetamu namun kini pasangan mempelai mengehadkan kepada 200 tetamu sehingga 500 tetamu.
Ujarnya lagi, apa yang penting pasangan mempelai seharusnya memilih perancang perkahwinan yang berpengalaman supaya majlis perkahwinan berjalan lancar.
“Ia berikutan semata-mata mahu berjimat, ada pasangan yang terpedaya dengan scammer dan sebagainya. Mereka boleh memilih pakej perkahwinan bajet supaya tidak terbeban dengan kos perkahwinan,” katanya.
Jelasnya lagi, pakej perkahwinan bajet kini menjadi pilihan ramai buat masa ini atas faktor kewangan serta ekonomi. Jadi, kalau keluarga pengantin tetap nak minta majlis besar-besaran, boleh tolong ‘sponsor’ ya!
Baca juga: Tular Kad Kahwin Digital Siap Link Shopee & IKEA, Senang Tetamu Nak Beli Hadiah Untuk Pengantin!
Sumber: Freepik, If Empire Wedding, Harian Metro