KHASIAT BENDI @ LADIES FINGER @ OKRA
Sebagai rakyat Malaysia, bendi sudah menjadi sebahagian daripada sayur yang sering diamalkan dalam hidangan seharian.
Sayur yang sering dimasukkan dalam lauk atau direbus untuk dijadikan ulam ini secara teknikalnya diklasifikasikan sebagai sayur buah dan mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan badan dan layak digelar superfood.
Jom kita kenali khasiat bendi dengan lebih dekat!
Kredit Foto : illuminasi.com
10 Khasiat Bendi Untuk Tubuh Badan
1. Baik Untuk Kesihatan Tulang
Menurut perkongsian dari KKM, bendi mengandungi kalsium tinggi yang baik untuk pembentukan tulang. Bukan itu sahaja, kandungan vitamin K yang terdapat dalam bendi juga berperanan dalam mengurangkan keretakan tulang akibat rapuh dan sekaligus mengurangkan risiko osteoporosis menjelang usia semakin tua.
Kredit Foto : Jabatan Pertanian Malaysia
2. Membantu Proses Pembekuan Darah
Individu yang sering mengalami masalah gusi atau hidung berdarah mungkin mempunyai komposisi darah yang cair sehingga menyebabkan proses pembekuan darah terganggu.
Selain mengekalkan kekuatan tulang, vitamin K dalam bendi juga berperanan dalam menggalakkan pembekuan darah dengan berkesan.
3. Menguatkan Sistem Pertahanan Badan
Di samping vitamin K, bendi juga diperkaya dengan vitamin C yang berperanan dalam menyokong sistem imuniti badan.
Ia bertindak dengan merangsang sistem pertahanan badan untuk menghasilkan lebih banyak sel darah putih bagi melawan patogen dan jangkitan lain yang boleh menjejaskan kesihatan.
4. Mencegah Penyakit Buah Pinggang
Sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 2005 mendapati pesakit yang mengamalkan pengambilan bendi setiap hari menunjukkan pengurangan tanda-tanda kerosakan buah pinggang secara berkesan.
5. Meningkatkan Kesihatan Mata
Sayur bendi juga dapat meningkatkan kesihatan penglihatan dengan khasiat vitamin A yang cukup tinggi. Ia juga diperkaya dengan khasiat antioksida penting dalam mengurangkan risiko penyakit mata seperti beta karotene, lutein dan zeaxanthin.
6. Baik Untuk Ibu Mengandung
Secawan bendi mampu membekalkan sehingga 15% khasiat folat harian. Ini menjadikan bendi sayur yang sangat baik diamalkan untuk ibu mengandung.
Seperti yang kita tahu, folat berperanan dalam mengekalkan kesihatan otak dan tulang belakang janin yang sedang berkembang di dalam rahim.
Pengambilan folat yang mencukupi juga penting bagi mengelakkan risiko spina bifida pada janin.
7. Sumber Antioksida Yang Baik
Bendi mengandungi komponen antioksida yang dipanggil polyphenol.
Polyphenol juga dapat mengurangkan risiko sakit jantung dan strok dengan mencegah salur darah tersumbat dan mengurangkan kerosakan sel akibat radikal bebas.
Antioksida dalam bendi juga dikatakan baik dalam kesihatan otak dan berpotensi dalam mencegah pertumbuhan sel kanser payudara.
8. Tinggi Kandungan Serat
Secawan bendi mampu membekalkan sehingga 4 g serat.
Ini menjadikan bendi sayur yang baik bagi mengurangkan risiko sembelit.
Pengambilan bendi secara konsisten juga membantu dalam melancarkan lagi sistem penghadaman, mengurangkan keinginan untuk makan berlebihan serta membantu untuk membuatkan seseorang rasa kenyang dengan lebih lama.
9. Menstabilkan Gula Dalam Darah
Bercerita tentang serat, kandungan serat yang tinggi dalam bendi juga didapati sangat baik untuk dimakan oleh pesakit diabetis.
Makanan tinggi serat didapati dapat membantu dalam meningkatkan sensitiviti insulin dan berpotensi dalam mengawal glisemik.
Beberapa kajian yang telah dilakukan pada tikus makmal membuktikan potensi bendi dalam mengawal paras gula dalam darah.
Hasil kajian mendapati bacaan gula lebih rendah pada kumpulan tikus yang diberikan ekstrak bendi.
Baca juga : Mudah Je Tanam Pokok Bendi, Tak Payah Jaga Lama Tapi Hasil Berbaloi!
10. Berpotensi Dalam Mengurangkan Kolesterol Dalam Darah
American Heart Association turut menekankan bahawa pesakit diabetes lebih cenderung untuk menghidap masalah kolesterol jika pemakanan tidak dijaga.
Sumber makanan yang tinggi serat dan antioksida seperti bendi sangat baik diamalkan bagi mengurangkan paras kolesterol dalam badan.
Dalam sebuah kajian yang dijalankan pada tikus, bendi didapati dapat mengurangkan kadar kolesterol secara berkesan.
Wah, Banyaknya Khasiat Bendi!
Banyakkan khasiat bendi ni? Walaupun sesetengahnya masih memerlukan kajian yang lebih meluas bagi membuktikan manfaatnya sebenar, namun ia mampu membekalkan badan dengan nutrisi penting.
Nak makan hari-hari pun tak apa kerana ia rendah kalori dan khasiatnya seperti serat, vitamin C, vitamin K dan kalsium sangat penting untuk kesihatan tubuh badan!
Jadi apa lagi, mari kita amalkan sayur bendi dalam untuk hidangan harian kita.
Nak mencari bendi pun cukup mudah kerana senang didapati di mana-mana.
Sumber rujukan:
- What Is Okra Good For ?
foodfacts.mercola.com/okra - What Is Okra (Lady’s Finger) And 6 Benefits Of Adding The Medicinal Vegetable To Your Diet
https://www.medicaldaily.com/what-okra-ladys-finger-and-6-benefits-adding-medicinal-vegetable-your-diet/ - 7 Nutrition and Health Benefits of Okra
https://www.healthline.com/health/diabetes/okra