Famili

Bila Gajet Dah Jadi ‘Babysitter’, Ini 5 Perkara Yang Akan Berlaku Seterusnya

406
SHARES

“Setiap kali pergi makan luar, tak tau nak buat apa dengan anak. Tak sabar-sabar dia nak tunggu makanan. Nak tak nak, bagilah dia main gajet kejap. Kita pun dapatlah bertenang sikit… Salah ke buat macam tu?”

Penggunaan gajet kini memang sinonim dengan anak muda, malah anak kecil pun ramai yang dah ‘celik’ menggunakannya. Ada ibu bapa yang rasa bersalah bila bagi anak gunakan gajet. Tapi, ada juga yang rasa perlu dan terpaksa bergantung kepada gajet demi menarik perhatian anak yang susah duduk diam.

Kalau kita menganggap gajet sebagai ‘babysitter’ untuk anak, ini 5 perkara yang boleh berlaku.

1. Menjejaskan Perkembangan Minda Si Kecil

Memang ramai yang cakap, gajet membantu anak menyanyi, mengenal huruf, nombor, dan sebagainya. Tapi sebenarnya bukanlah ilmu itu yang diperlukan oleh anak pada seawal usia.

Malah, dalam tempoh beberapa tahun pertama inilah 1 juta neuron otak akan bersambung antara satu sama lain. Jika anak kecil didedahkan kepada gajet terlalu awal, ia akan mengehadkan peluang untuk bersosial secara normal, di mana proses inilah yang boleh menjejaskan perkembangan otak mereka.

anak main gajet

Foto Kredit: zenparent.in

2. Anak Kurang Minat Untuk Bermain

Satu lagi perkara yang membimbangkan adalah gajet merupakan sesuatu yang membawa kepada ketagihan. Jika mereka dibiarkan bermain gajet tanpa dikawal, anak cenderung untuk memilih gajet berbanding bermain permainan ataupun bermain bersama kawan-kawan seusia.

Tanpa aktiviti bermain, tiadalah interaksi atau komunikasi yang dapat dilatih. Bukan itu saja, anak kecil juga tidak mendapat peluang untuk mengasah deria dan menyelesaikan masalah secara kritis dan kreatif.

biarkan anak bermain sendiri

Foto Kredit: moirebenok.ua

3. Kemahiran Motor Terganggu

Kebanyakan ibu bapa mungkin terasa ‘perlu’ gunakan gajet dalam keadaan tertentu untuk membuat anak duduk diam. Tapi sebenarnya pergerakan fizikal yang terhad memberi kesan kepada perkembangan otot si kecil. Sekaligus, ia menjejaskan postur dan proses kawalan tubuh yang baik.

Perlu diingatkan bahawa kurangnya pergerakan fizikal bukan saja meningkatkan risiko obesiti, bahkan ia boleh menjadi penghalang kepada kemahiran motor halus yang diperlukan untuk menulis, bersukan, dan bermain muzik.

cara ajar anak menulis

Foto Kredit: trevella.co.uk

4. Punca Anak Susah Tidur

Jangan lupa, lampu biru yang dipancarkan oleh skrin telefon juga boleh menghalang penghasilan melatonin, iaitu sejenis hormon yang mengarahkan otak untuk tidur.

Terdapat penelitian yang menegaskan bahawa kewujudan peranti seperti telefon pintar atau tablet dalam bilik tidur sahaja sudah cukup untuk meninggikan risiko kekurangan tidur, menjejaskan kualiti tidur, dan menyebabkan rasa mengantuk yang melampau pada keesokan harinya. Jadi, bayangkanlah bagaimana tinggi risikonya pula kalau ia sering digunakan untuk ‘mengalih perhatian anak’ sebelum tidur.

bahaya smartphone

Foto Kredit: trackmyfone.com

5. Masalah Kelakuan Di Sekolah

Menurut sebuah sumber, didapati guru-guru prasekolah mengesan masalah kelewatan pertuturan, hiperaktif, kurang minat, dan kesukaran menyesuaikan diri di kalangan pelajar yang dilaporkan menggunakan gajet melebihi 1 jam setiap hari.

Seorang guru berkata, dengan penggunaan gajet, anak kecil berasa kekok untuk mengekspresikan diri mereka di dunia nyata, tidak tahu meminta apa yang diperlukan di sekolah, dan sukar menumpukan perhatian apabila orang sekeliling berinteraksi dengan mereka.

Mengikut pengalamannya, selepas memaklumkan ibu bapa untuk mengehadkan penggunaan gajet atau ‘screen diet’, keputusan positif boleh dilihat dalam masa beberapa minggu.

Foto Kredit: sundaykiss.com

Gajet Bukanlah Penyelasaiannya

Sebenarnya, anda tak perlu memberinya gajet kerana rasa bersalah membiarkan anak bosan. ‘Kebosanan’ sebenarnya dapat memberi kebaikan kepada perkembangan mental dan fizikal anak – di mana mereka boleh menggunakan kuasa imaginasi, meneroka persekitaran, dan mengaktifkan kesemua deria tubuh mereka.

American Academy of Paediatrics (AAP) telah mengeluarkan guideline di mana mereka mengesyorkan:

  • Bayi di bawah 18 bulan tidak sepatutnya didedahkan kepada gajet sama sekali.
  • Anak kecil berumur 2-5 tahun pula dinasihatkan meminimakan penggunaan gajet selama 1 jam sehari –  di mana 1 jam ini perlu dipantau oleh ibu bapa dan diisi dengan program yang berfaedah.
  • Anak berusia 5-18 tahun pula perlu dihadkan penggunaan gajet dan dipantau penggunaannya bersama ibu bapa. Tidak boleh menggunakan gajet sebelum masuk tidur dan semasa waktu makan.

Kini, ibu bapa semakin sibuk dengan tugas harian dan masa yang sedikit itulah yang perlu dimanfaatkan bersama anak. Walau apa pun alasannya, penggunaan gajet tidak sepatutnya menggantikan masa berkualiti bersama anak, apatah lagi menjadi ‘babysitter’ anda!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×