Famili

[UPDATE] Kematian Aariz Harraz Diklasifikasikan Semula Sebagai Kes Bunuh

1.5K
SHARES

Susulan kematian bayi 9 bulan, Aariz Harraz Zahin Azman di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu, pagi semalam selepas menerima rawatan akibat kecederaan dialaminya disyaki didera pengasuhnya, polis kini telah mengklasifikasikan semula kes tersebut sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit turut mengesahkan tempoh reman suspek yang berakhir semalam dilanjutkan sehingga 17 Januari ini untuk siasatan lanjut.

“Ini juga bagi melengkapkan proses siasatan kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

‘Mati Otak’ Sebelum Meninggal Dunia

Menurut laporan, bayi berumur 9 bulan Aariz Harraz Zahin Azman, meninggal dunia di Hospital Sibu pada jam 11.55 pagi semalam, di pangkuan ibunya, pada 11. 30 pagi.

Bayi itu menerima rawatan sejak Isnin lalu dan disahkan ‘mati otak’ pada 9.10 pagi Sabtu, oleh pasukan perubatan yang merawatnya. Keputusan untuk menghentikan mesin sokongan hayat itu dipersetujui oleh ibu bapa bayi itu semalam selepas hasil ujian ke atas otak mangsa untuk kali kedua semalam masih kekal sama.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah suspek di Taman Permai Jaya, Sibu, Sarawak sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Berdasarkan pemeriksaan pakar kanak-kanak, mangsa disahkan mengalami pendarahan pada otak dan kedua-dua matanya selain mengalami retak di bahagian kiri kepala akibat hentakan kuat.

kes penderaan bayi di malaysia

Pengasuh Tertekan Kerana Datang Bulan

Suspek iaitu pengasuhnya ditahan polis susulan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa. Dia kemudiannya mengakui menggoncang bayi terbabit kerana dikatakan tidak berhenti menangis, selain dikatakan berasa tertekan kerana mengalami kesakitan akibat datang bulan.

Wanita berusia 39 tahun itu yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai lesen untuk menjalankan pusat asuhan dan hanya membantu menjaga kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapanya pada waktu bekerja.

 

*Sumber: Harian Metro, Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×