40 Minggu

5 Jenis Keputihan Ketika Mengandung Yang Tak Normal & Merbahaya

115
SHARES

Masalah keputihan atau lelehan lendir berwarna putih, krim atau kelabu yang keluar daripada faraj wanita adalah masalah biasa yang sering dihadapi oleh kebanyakan wanita di seluruh dunia.

Menurut portal MyHealth, statistik menunjukkan hampir 75% wanita yang sudah berkahwin berhadapan dengan masalah keputihan berikutan oleh aktiviti seksual.

Namun, ramai wanita tidak mempunyai kesedaran terhadap risiko dan bahaya penyakit keputihan malah menganggap ia sebagai suatu petanda lazim sebelum kitar haid.

Sebenarnya, setiap wanita perlu mempunyai pengetahuan asas supaya dapat membezakan keputihan yang serius yang memerlukan rawatan perubatan, terutamanya ketika mengandung.

Berikut adalah beberapa jenis keputihan ketika mengandung yang perlu diberi perhatian dan dimaklumkan kepada doktor ketika temujanji.

Keputihan ketika hamil

Foto Kredit: tribunnews.com

5 Jenis Keputihan Ketika Mengandung Yang Perlu Diambil Perhatian

1. Vaginosis Bakteria (BV)

Biasanya, di dalam vagina akan terdapat ‘bakteria baik’ dan ‘bakteria jahat’. Bakteria baik bertugas mengatur ekosistem dalam vagina sekaligus mengawal pertumbuhan bakteria jahat. Namun apabila keseimbangan antara dua bakteria ini terganggu, tidak terdapat cukup bakteria baik dan terlalu banyak bakteria jahat. Inilah keadaan yang menyebabkan vaginosis bakteria.

Seseorang akan mempunyai keputihan yang licin, berair, dan keputihan berwarna putih atau kelabu, dengan bau hanyir yang keluar dari faraj, terutamanya selepas anda melakukan hubungan seks.

Ibu perlu mendapatkan rawatan segera kerana ia mungkin menjadi penyebab bersalin pramatang.

2. Jangkitan Yis

Simptom bagi jangkitan yis antaranya adalah gatal-gatal dan kemerahan pada kulit sekeliling faraj yang menyebabkan kesakitan di dalam faraj. Ibu akan merasa pedih di dalam faraj ketika menjalankan hubungan seksual atau ketika kencing.

Ciri keputihan yang keluar hampir sama namun keputihan bagi jangkitan yis mempunyai tekstur berbongkah seperti keju.

3. Trichomoniasis

Keputihan akibat Trichomoniasis memperlihatkan lendiran yang berbuih atau berbuih putih atau hijau kekuningan dan berbau busuk. Ia adalah disebabkan oleh jangkitan protozoa yang boleh tersebar melalui hubungan seks.

Jangkitan ini akan menyebabkan ketidakselesaan, air kencing yang banyak dan kawasan kemaluan mungkin berasa gatal-gatal. Kesakitan pinggul juga mungkin berlaku.

4. Gonorrhea & Chlamydia

Keputihan yang disebabkan oleh Gonorrhea ini mengeluarkan keputihan berwarna kekuningan, kelihatan kemerahan dan bengkak pada kulit kemaluan dan gatal-gatal pada kawasan faraj. Ia boleh menyebabkan rasa kepedihan ketika kencing atau sentiasa kerap kencing.

Seperti Gonorrhea, ibu-ibu yang mendapat jangkitan Chlamydia juga akan mengalami jumlah keputihan berwarna kekuningan yang banyak serta boleh melibatkan jangkitan di saluran kencing.

5. Group B Streptococcus (GBS)

GBS adalah nama singkatan untuk sejenis kuman / bakteria dipanggil ‘Group B Streptococcus’. Lebih kurang 1 dari 4 wanita adalah pembawa kuman GBS dan antara simptom yang biasa dihadapi ibu adalah keputihan yang banyak atau berpanjangan ketika hamil.

Walaupun tidak merbahaya kepada ibu, GBS boleh menjadi amat berbahaya kepada bayi yang bakal dilahirkan jika ia tidak dipantau oleh doktor kerana ia boleh menyebabkan meningitis (jangkitan kuman selaput otak) pada bayi baru lahir seawal minggu pertama kelahiran.

Langkah Pencegahan & Penjagaan Untuk Mengatasi Keputihan Ketika Hamil

Keputihan ketika mengandung adalah perkara biasa yang berlaku dan kadangkala hampir mustahil untuk mengelakkannya 100%.

Namun, antara amalan-amalan yang disarankan kepada semua wanita bagi meminimakan risiko jangkitan adalah:

  • Sentiasa memastikan bahagian faraj berada dalam keadaan bersih dan kering.
  • Elakkan penggunaan pembersih faraj yang menganggu kestabilan PH atau menyebabkan kegatalan.
  • Sentiasa menukar atau mengganti tuala wanita semasa menstruasi (haid).
  • Gunakan pelapik seluar dalam (panty liner) pada saat yang diperlukan sahaja. Elakkan juga pemakaian seluar dalam yang ketat dan diperbuat daripada kain satin.
  • Jangan menggunakan sebarang produk wangian seperti bedak atau ubat sembur pada bahagian faraj.
  • Elakkan pengambilan ubat secara berterusan tanpa nasihat doktor.
  • Kurangkan pengambilan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.
  • Amalkan gaya hidup sihat dengan mengelakkan aktiviti seks rambang atau hubungan kelamin dengan lebih daripada seorang.
  • Elakkan kehadiran benda asing di dalam faraj seperti kondom yang tertinggal selepas aktiviti seks.
  • Basuh bahagian sulit dengan air yang bersih dan buang air kecil selepas aktiviti seks.

Selain langkah-langkah ini, ibu juga digalakkan untuk melakukan apa-apa aktiviti yang menenangkan fikiran dan mengurangkan stres.

Berjumpalah dengan pegawai perubatan dengan segera dan melakukan pemeriksaan vagina jika terdapat sebarang tanda-tanda yang dinyatakan di atas ok!

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×