Percutian

Jangan Rasa Rugi & Membazir. Sains Buktikan 5 Sebab Anak Anda Perlukan ‘Family Holiday’

29.5K
reads

“Lecehlah nak bawa anak bercuti. Lebih baik tunggu mereka besar. Senang sikit nak handle. Lagipun kecik-kecik ni bukannya diorang ingat pun…”

Semua orang suka pergi bercuti. Tapi tak semua orang suka bawa anak-anak pergi bercuti. Ada yang merasakan anak kecil hanya menyukarkan keadaan, leceh, dan memberi alasan yang ‘mereka takkan ingat pun’. Tapi tahukah anda sebenarnya ‘family holiday’ adalah lebih penting berbanding apa yang anda fikirkan.

Dr Margot Sunderland, seorang psikoterapi kanak-kanak berpendapat bahawa ada banyak sebab mengapa seorang anak kecil tetap perlukan ‘family holiday’ walaupun mereka tak mengalami stres dalam kerja harian seperti anda.

Sebelum itu, cuba renungkan statistik di bawah:

  • 2/3 daripada perbualan anak dengan ibu bapa adalah tentang rutin harian. (Sumber: Elizabeth Buie, TES)
  • 1/6 daripada golongan bapa tak tahu bagaimana nak melayan dan bermain dengan anak mereka. Manakala 1/3 lagi berkata mereka tak ada masa untuk bermain dengan anak-anak. (Sumber: Parent-Play survey, Playmobil UK)
  • Hanya 1/4 daripada kanak-kanak didapati berkongsi rahsia dan selalu mendapatkan pandangan ibu bapa mereka. (Sumber: Child of Our Time)

5 Sebab Saintifik Kenapa ‘Family Holiday’ Penting Untuk Anak Anda

Berdasarkan statistik di atas, mari kita lihat beberapa fakta dan kupasan penting bagaimana percutian keluarga mampu menjadikan anak anda seorang individu yang lebih sihat dan pintar.

1. Ia Memacu Perkembangan Otak

Apa yang mungkin kurang diketahui ramai adalah percutian keluarga mampu memacu perkembangan otak anak kecil. Menurut kajian, sebuah percutian akan memberi penekanan kepada 2 sistem penting dalam otak iaitu BERMAIN dan MENCARI. Kedua-dua sistem ini jarang dimaksimakan keupayaannya ketika berada di rumah.

Sistem BERMAIN ini akan dipacukan setiap kali anda membina istana pasir dengan anak-anak, bermain air di pantai, menggeletek, atau berkejaran dengan mereka. Sistem MENCARI pula adalah di mana anda mengajak mereka meneroka alam sekitar, mencari kerang di tepi pantai, menangkap serangga di padang, memperkenalkan budaya, tempat, makanan, dan bahasa baru.

Semua aktiviti ini amat penting dan ia secara tidak langsung akan membentuk personaliti anak-anak menjadi seorang yang lebih kreatif, berfikiran terbuka, dan bijak berkomunikasi.

percutian keluarga

2. Membentuk Personaliti Buat Jangka Masa Panjang

Kedua-dua sistem otak yang dibincangkan di atas mampu memberikan kesan jangka masa panjang kepada anak. Apabila keupayaannya sentiasa dimaksimakan, ia akan mematangkan perkembangan frontal lobe pada otak.

Inilah bahagian otak yang terlibat dalam fungsi kognitif, kemahiran sosial, konsentrasi, dan keazaman yang kuat dalam diri anak-anak. Mereka juga akan memiliki kemahiran merealisasikan idea, meneroka, mempunyai sifat belas kasihan, serta mempunyai visi untuk memajukan diri – ia adalah contoh ciri usahawan yang terbaik!

kebaikan bercuti

Foto Kredit: lifehacker.com

3. Menstabilkan Emosi Anak-anak

Selain memberi kesan positif kepada kecerdasan otak, sebuah percutian keluarga turut memberi kesan kepada emosi mereka. Mungkin ada yang berpendapat bahawa anak-anak tak ada masalah pun – tak stres macam orang dewasa. Jadi, kenapa sibuk-sibuk nak pergi bercuti?

Seorang neurosaitis, Professor Jaak Panksepp, menjelaskan bahawa aktiviti semasa percutian adalah berbeza jika dibandingkan dengan aktiviti di rumah. Semasa bercuti, semua orang lebih bersemangat dan anak-anak biasanya mendapat lebih perhatian daripada kedua ibu bapa. Ini akan mengaktifkan hormon seperti opioid, oksitoksin, dan dopamin.

Hormon inilah yang melahirkan rasa sayang, gembira, dan mengeratkan hubungan antara ahli keluarga. Menariknya, hormon-hormon neurokimia ini bukan saja mempengaruhi emosi anak-anak, tetapi juga ibu bapa.

4. Meningkatkan Daya Konsentrasi

Apabila berada di luar walaupun 20 minit, konsentrasi anak kecil dapat ditingkatkan. Itulah sebabnya anda digalakkan memilih destinasi percutian yang dekat dengan alam sekitar seperti pantai, kehijauan alam, dan sebagainya. Malah, kajian juga mendapati percutian begini mampu mengatasi masalah hiperaktif atau ADHD pada anak.

Selain itu, bagi ibu bapa, persekitaran sebegini dapat menurunkan tekanan darah tinggi, mengurangkan paras hormon stres, mahupun kolesterol.

tips bawa bayi travel

Foto Kredit: travelbugbaby.com

5. Membina IQ Yang Tinggi

Berbanding dengan rutin harian di rumah, persekitaran baru semasa pergi bercuti tentunya akan memberi pengalaman dan persekitaran yang lebih pelbagai kepada anak-anak. Kesemua ini memperbaiki fungsi otak yang lain seperti pengawalan stres, konsentrasi, perhatian, perancangan, mengasah minat dan kebolehan untuk belajar. Justeru, semua ini menyumbang kepada kesihatan fizikal dan mental anak-anak.

Dalam sebuah penelitian, persekitaran yang pelbagai ini juga dikaitkan dengan IQ yang lebih tinggi pada anak kanak-kanak. Jadi, luangkan lebih masa bersama anak di tempat baru untuk mengajarnya menyerap 1001 kemahiran melalui aktiviti ‘hands on’ yang jarang dapat dipraktikkan di rumah.

ajar anak membaca

Foto Kredit: trendhunter.com

Percutian Keluarga Adalah Pelaburan Terbaik Untuk Anak-anak

Jadi, jangan rasa rugi meluangkan sedikit masa dan wang untuk ‘family holiday’. Tak perlu jauh-jauh pun. Dalam Malaysia sekarang dah ada banyak destinasi percutian yang indah, unik, dan menarik.

Ternyata, begitu banyak manfaat luarbiasa untuk anak-anak buat jangka masa panjang!

Yang Popular

To Top