Teknologi

‘Cloth Diaper’ vs Lampin Pakai Buang. Ini 6 Kelebihan Dan Kekurangannya

“Eh, lampin kain sekarang dah moden la. Cantik pulak tengok design ni. Tapi, tak leceh ke nak pakai ni?”

Kalau anda perasan, sekarang trend memakaikan anak dengan ‘cloth diaper’ atau lampin moden dah diinovasikan agar lebih mudah.

Kalau nak dibandingkan, pakai lampin pakai buang memanglah senang, tapi asyik kena pergi beli. Namun, ramai yang risau jika ‘cloth diaper’ memerlukan masa dan teknik cucian yang melecehkan.

Mungkin ramai yang masih keliru untuk memilih ‘cloth diaper’ atau lampin pakai buang untuk kegunaan anak. Di sini ada beberapa panduan untuk membantu anda mempertimbangkan antara kedua-duanya.

‘Cloth Diaper’ vs Lampin Pakai Buang. Ini 6 Kelebihan Dan Kekurangannya

1. Kos

‘Cloth Diaper’

‘Cloth diaper’ kini banyak dijual di kedai-kedai bayi termasuklah kedai online seperti Lazada. Anda yang baru nak mencuba boleh mendapatkannya dengan harga sekitar RM20 bagi 1 helai ‘cloth diaper’ beserta ‘insert’.

Sekurang-kurangnya anda memerlukan sekitar 12 helai ‘cloth diaper’ agar dapat menggantikannya setiap hari.  Maka, kos anggaran minima adalah sekitar RM 20 x 12 = RM240.

Anda boleh membeli lebih banyak supaya masa cucian dapat diselangkan. Lampin juga akan tahan lama dan lambat lusuh. Katakanlah anda membeli 24 helai, harga keseluruhan adalah sekitar RM480. Tapi ini anggaran saja. Selalunya kalau beli sekali banyak, dapatlah harga yang lebih murah.

Kos ini hanya dikeluarkan sekali untuk sepanjang 2-3 tahun kerana kebanyakan ‘cloth diaper’ boleh dilaras saiz mengikut bayi anda. Bukan itu saja, ia juga boleh digunakan pada anak-anak yang berikutnya.

Lampin Pakai Buang

Harga 1 pek lampin pakai buang adalah sekitar RM30 untuk 1 pek 60 keping, harga bagi sekeping adalah RM0.50.

Katakan bayi menggunakan 7 lampin pakai buang sehari, maka kosnya adalah seperti berikut:

RM0.50 x 7 =RM3.50 sehari
RM3.50 x 30 hari = RM105 sebulan
RM105 x 12 bulan =RM1260 setahun
RM1512 x 3 tahun =RM3780 untuk 3 tahun

*Pendapat kami: Dari segi kewangan, penggunaan ‘cloth diaper’ lebih menjimatkan jika ia dipakai dengan konsisten.

Foto Kredit: ebay.com

2. Ketahanan Daripada ‘Bocor’

‘Cloth Diaper’

Secara umumnya, ‘cloth diaper’ tidak mempunyai kuasa serapan sebanyak lampin pakai buang. Maka pada waktu malam, anda mungkin perlu meletakkan 2 atau lebih ‘insert’ pada ‘cloth diaper’ agar ia dapat bertahan hingga pagi.

Namun, pelbagai penambahbaikan telah dilakukan kepada teknologi ‘cloth diaper’ untuk memastikan bayi dapat kekal kering dalam tempoh yang lebih lama.

Lampin Pakai Buang

Lampin pakai buang biasanya mudah dipakai pada bila-bila masa termasuklah pada waktu malam. Namun anda mungkin terpaksa beralih kepada beberapa jenama untuk memastikan bayi anda kekal kering sepanjang malam.

*Pendapat kami: Lampin pakai buang biasanya dapat bertahan lebih lama tanpa bocor.

Foto Kredit: bumgenius.com

3. Ruam Lampin

‘Cloth Diaper’

Ruam yang terjadi kepada kulit apabila memakai lampin tidak sama untuk semua bayi. Ada yang berpendapat ruam lampin ini boleh terjadi kerana ‘cloth diaper’ membuatkan kulit bayi cepat terdedah pada kelembapan. Namun, ada juga yang berpendapat bahawa penggunaan ‘cloth diaper’ mengurangkan ruam dan lebih hygienic kerana ia membuat ibu bapa lebih sering menukar lampin.

Lampin Pakai Buang

Lampin pakai buang mungkin dapat memberi lebih pengudaraan dan serapan pada kulit bayi. Namun, terdapat beberapa kes di mana kulit bayi mudah melecet kerana sensitif dengan gel dan fabrik pada lampin pakai buang ini.

*Pendapat kami: Ruam lampin boleh berlaku pada kedua-dua keadaan, bergantung kepada kesesuaian kulit bayi.

bayi-tidur-sendiri

Foto Kredit : http://happybabysleep.com.au/

4. Jimat Masa

‘Cloth Diaper’

Memandangkan ‘cloth diaper’ tidak menyerap sebanyak lampin pakai buang, kita kenalah lebih rajin menukar lampin. Kerja lebih diperlukan untuk mencuci dan menjemur ‘cloth diaper’ untuk dipakai semula.

Ia mungkin melecehkan sedikit terutamanya bagi anda yang kerap travel. Bagi yang menghantar bayi kepada pengasuh juga, ‘cloth diaper’ bukanlah pilihan yang memudahkan mereka.

Lampin Pakai Buang

Bagi ibu bapa yang bekerja atau sering sibuk,lampin pakai buang adalah pilihan terbaik dan lebih praktikal. Ia lebih sesuai untuk dibawa semasa dalam perjalanan. Ia juga menjimatkan masa dan tidak perlu dicuci setiap hari.

*Pendapat kami: Lampin pakai buang lebih menjimatkan masa dan mudah digunakan ketika travel. 

Foto Kredit: howcast.com

5. Mesra Alam

‘Cloth Diaper’

Penggunaan ‘cloth diaper’ adalah langkah terbaik untuk menguruskan pembuangan bayi secara mesra alam. Secara anggaran, ‘cloth diaper‘ yang boleh dipakai semula adalah 20 kali lebih ‘hijau’ berbanding lampin pakai buang.

Lampin Pakai Buang

Dianggarkan 8000 keping lampin pakai buang akan digunakan oleh si kecil sehingga mereka mampu menggunakan tandas sendiri. Jika dikumpulkan, ia boleh mencapai 3.4 juta tan setahun dan mengambil masa sehingga 500 tahun untuk diuraikan sepenuhnya.

*’Cloth diaper’ bersifat lebih mesra alam dan kurang menghasilkan sisa buangan.

cloth diaper malaysia

Foto Kredit: australiannappyassociation.org.au

6. Keselesaan Bayi

‘Cloth Diaper’

Seperti yang disebutkan di atas, ada bayi yang lebih sesuai kulitnya dengan kelembutan kain kapas ‘cloth diaper’ dan ada yang tidak. Disebabkan saiznya yang agak besar atau ‘bulky’, mungkin lebih sukar untuk bayi dipakaikan seluar.

Selain itu, disebabkan kuasa serapan yang kurang, kelembapan yang kerap dirasai oleh bayi apabila memakai ‘cloth diaper’ akan membuatnya mudah rasa tidak selesa. Namun sesetengah ibu bapa berpendapat bahawa apa yang bagus dalam hal ini ialah, ia akan membuat bayi cepat belajar untuk ‘potty training’.

Lampin Pakai Buang

Pemakaian lampin pakai buang akan buat bayi lebih selesa dengan lebih lama walaupun lampin sudah penuh. Ia juga tidak kelihatan terlalu menonjol apabila dipakai dalam seluar.

Mereka mudah tidur malam kerana ia tidak perlu ditukar selalu. Tetapi, mungkin disebabkan terlalu selesa, anak kecil akan lebih suka untuk buang air dalam lampin saja tanpa perlu ke tandas.

*Masing-masing mempunyai kelebihan dari segi keselesaan, bergantung kepada kesesuaian bayi serta cara penggunaan yang betul.

ajar anak ke tandas

Foto Kredit: muncheemoms.com

Kesimpulan

Penggunaan kedua-dua jenis lampin ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, bergantung kepada rutin penjagaan bayi anda setiap hari, kemampuan kewangan, komitmen serta peruntukan masa.

Selain itu, anda juga perlu mengambil kira lampin mana yang lebih sesuai dengan kulit bayi anda kerana sesetengah bayi ada yang alergi terhadap material sintetik pada lampin pakai buang.

Anda juga boleh memilih kedua-dua pemakaian lampin bergantung kepada situasi. Contohnya, anda boleh gunakan lampin pakai buang yang lebih praktikal ketika keluar berjalan bersama bayi dan ‘cloth diaper’ ketika di rumah.

Most Popular

To Top