Untuk mendidik generasi muda terutamanya di Malaysia mengenai isu membaca adalah suatu perkara yang sukar. Generasi muda yang boleh dikategorikan di sini adalah dari kanak-kanak hinggalah ke usia remaja khususnya pelajar. Tabiat membaca sama sekali tidak mendapat perhatian dari golongan seperti ini terutama sekali apabila disuruh membaca bahan bacaan Bahasa Inggeris. Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, mahasiswa Malaysia hanya membeli empat buah buku untuk tiga tahun pendidikan dan jumlah ini sangat berbeza dengan dapatan kajian jumlah buku yang dibeli oleh mahasiswa di negara lain seperti Australia (160 buah), Indonesia (43 buah), Thailand (31 buah), India (75 buah) dan Brunei (15 buah). Macam-macam alasan yang diberi.
Tetapi, tahukah anda cara-cara yang mampu menarik minat anak anda membaca bahan bacaan Bahasa Inggeris sekaligus memupuk tabiat minat membaca? Jom, ketahui caranya.
1. Mulakan proses memupuk minat dengan bahan-bahan yang menyeronokkan
Ramai dalam kalangan ibu bapa kadang-kadang terlupa bahawa perkara yang menyeronokkan dalam proses pembelajaran sebenarnya amat mudah untuk ditangkap oleh anak-anak. Anda boleh mula dedahkan anak anda dengan bahan bacaan musikal seperti buku Sesame Street, Barney atau Hi-5. Melalui bahan bacaan musikal seperti ini, anak-anak khususnya yang masih kecil, mudah untuk mengingati apa yang dibaca walaupun hanya lagu kanak-kanak Bahasa Inggeris.
2. Ibu bapa jangan berkira soal duit
Bila berkenaan hal pembelajaran anak-anak, ibu bapa yang tidak mengalami masalah kewangan tidaklah harus berkira untuk membeli bahan bacaan yang berkualiti untuk anak-anak. Membeli majalah Bahasa Inggeris walaupun ianya majalah berbentuk hiburan atau fesyen seperti Cosmopolitan adalah digalakkan untuk menarik minat membaca mereka. Latih mereka untuk mereka beli dengan sendiri bahan bacaan sebegini sangat membantu perkembangan minat membaca tersebut.
3. Dedahkan anak dengan bahan bacaan berunsur klasik
Bahan bacaan klasik Bahasa Inggeris disini adalah seperti cerita-cerita dongeng seperti Snow White, Cinderella dan sebagainya. Kisah-kisah seperti ini mampu untuk membina minat anak anda tidak kira umur untuk terus membaca bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris. Bagi ibu bapa yang minat membaca dan mahu anak anda untuk ada minat yang sama, anda boleh dedahkan mereka dengan bahan bacaan dari penulis yang anda gemari.
Selain itu, bahan bacaan sebegini sesuai untuk dijadikan rutin harian terutamanya ketika waktu tidur atau ‘bedtime story’supaya anak anda lebih terbiasa.
4. Minta anak anda ceritakan kembali apa yang telah dibaca
Untuk mengetahui jika anak anda betul-betul memahami apa yang telah dibaca, anda sebagai ibu bapa boleh menyuruh anak anda untuk menceritakan semula apa yang telah dibaca. Sebagai permulaan, biarkan anak anda bercerita semula dalam Bahasa Melayu, tapi lama-kelamaan latih anak anda untuk bercerita dalam Bahasa Inggeris pula. Dengan cara ini, anak-anak anda bukan sahaja dapat memupuk minat membaca tetapi dalam berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan baik juga.
5. Jangan hadkan bahan bacaan
Selain bahan bacaan, ibu bapa juga boleh mendedahkan anak-anak dengan aplikasi di telefon yang lebih tertumpu kepada Bahasa Inggeris. Contohnya aplikasi mainan atau video nyanyian untuk kanak-kanak yang boleh membantu merangsang perkembangan minda mereka. Tambahan pula, anak-anak lebih mudah untuk mengikuti aktiviti sebegini kerana berada di dalam zaman serba canggih.