Nur

Hukum Transaksi ‘Buy Now Pay Later’, Nak Mudahkan Atau Dikira Riba?

6
SHARES
buy now pay later

“Alamak, laptop rosak tapi bajet tak cukup. Hmm..guna cara buy now pay later lah buat sementara waktu..”

Selari dengan kecanggihan aplikasi dalam telefon dari segi kaedah pembayaran, orang ramai disediakan dengan pilihan pembayaran secara buy now pay later. Bukan sahaja memudahkan, kaedah ini juga membantu orang yang betul-betul perlu membeli sesuatu pada waktu kritikal.

Namun, seringkali kita tertanya-tanya apakah hukum kepada sistem pembayaran ini? Adakah menambah hutang atau menambah riba?

Baca juga: Rindunya Rasa Hati…Amal Doa Ini Untuk Gandakan Pahala Ibu Bapa Yang Sudah Meninggal

APA HUKUM BUY NOW PAY LATER, RAMAI YANG BUAT KAN?

buy now pay later

Hukum ‘Buy Now Pay Later’ adalah harus dan sah selagi mana ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan syarak iaitu ia mestilah terbina atas akad jual beli dan bukannya akad pinjaman.

Bukan itu sahaja, dalam transaksi ini tidak berlaku dua jual beli dalam satu akad, akad itu jelas dari sudut barangan, nilai harga dan tempoh penangguhan serta akad tersebut telah disepakati di awal pembelian.

Pada dasarnya, segala jenis dan bentuk muamalat adalah harus selagi mana tidak ada dalil syarak yang mengharamkannya. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”- Surah al-Baqarah (275)

Ia juga berdasarkan kepada kaedah Fiqh:

الأصل في المعاملات الإباحة حتى يرد الدليل على خلافه

Maksudnya: “Asal segala sesuatu dalam bidang muamalat adalah harus, sehingga terdapat dalil yang menyanggahi dan mengharamkannya.”

Seiring dengan arus pemodenan, transaksi melibatkan harta benda mula diniagakan dalam pelbagai bentuk dan kaedah. Hal demikian termasuklah transaksi ‘buy now pay later (BNPL)’ atau nama lainnya ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ yang kini menjadi salah satu medium transaksi jual beli moden.

Dari perspektif syarak, bentuk jual beli BNPL boleh dilihat dalam aplikasi yang dinamakan al-Bai‘ Bithaman Ajil (البيع بثمن آجل) iaitu proses menjual sesuatu dengan menyegerakan penyerahan sesuatu barangan namun ditangguhkan atau dilewatkan pembayarannya sehingga ke suatu tempoh waktu yang ditetapkan.

Tahukah anda bahawa transaksi sebegini banyak ditemui dalam produk-produk perbankan Islam seperti pembiayaan pembelian aset dan pembiayaan pembelian rumah.

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اشْتَرَى طَعَامًا مِنْ يَهُودِيٍّ إِلَى أَجَلٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعًا مِنْ حَدِيدٍ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi Baginda SAW.”- Riwayat al-Bukhari

Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW juga pernah beramal dengan transaksi jual beli secara bertangguh. Oleh yang demikian, jual beli sebegini adalah harus dan boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.

CAJ LEBIHAN DIKIRA RIBA ATAU TIDAK?

buy now pay later

Seterusnya, disebabkan transaksi BNPL ini memberi pilihan sama ada untuk membayar secara tunai atau secara ansuran namun dengan harga yang lebih tinggi, ini turut menimbulkan persoalan sama ada amaun yang dicaj lebih tinggi tersebut termasuk dalam kategori riba?

Menurut pandangan empat mazhab iaitu Syafi‘i, Hanafi, Maliki dan juga Hanbali, kesemua mereka mengharuskan jual beli barangan dengan bayaran lebih kerana penangguhan waktu. Sehubungan dengan itu, perbezaan harga di sini dianggap halal namun ia mestilah dengan beberapa syarat iaitu:

1.Hendaklah jual beli itu diketahui dari sudut barangan, nilai belian dan juga tempoh waktu.

2.Tidak berlaku dua jual beli dalam satu waktu. Sebagai contoh, seseorang penjual katakan kepada pembeli: “Aku jual barangan ini dengan harga RM100 secara tunai atau RM200 secara tangguh, maka pilihlah jual beli yang mana anda mahu.” Jual beli sebegini adalah haram dan terbatal.

3.Akad jual beli sudah disepakati di awal pembelian, bukannya di tengah ataupun di akhir pembelian.

Kesimpulannya, hukum Buy Now Pay Later adalah harus dan sah selagi mana ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan syarak.

*Ini juga memudahkan orang ramai mempunyai aset yang halal dalam masa yang sama, berusaha untuk mencari rezeki bagi melunaskan pembayaran.

Baca juga: Pakai Stokin Masa Ambil Wuduk, Sah Atau Tidak? Ini Jawapannya WAJIB Tahu!

Sumber: Mufti WP

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×