Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, tampil menjelaskan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani situasi jerebu susulan dakwaan segelintir warganet yang mempersoalkan kelewatan tindakan pihak berkaitan.
Menerusi perkongsian di media sosial, Fadhlina memaklumkan bahawa perbincangan bersama beberapa agensi telah diadakan bagi membincangkan situasi jerebu semasa, termasuk aspek kesihatan murid dan kelangsungan pembelajaran mereka.
Baca juga: Tragedi MRR2, Anggota Tentera Tercampak Dari Jejambat Sebelum Hempap Penunggang Motosikal
SITUASI JEREBU KENA BERBINCANG DARI MASA KE MASA

Menurutnya, pertemuan itu melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menjawab dakwaan bahawa tindakan menangani jerebu dibuat terlalu lambat, Fadhlina menjelaskan bahawa situasi berkenaan sebenarnya sudah diuruskan sejak lebih dua bulan lalu.
“Sudah lebih dua bulan kita menguruskan situasi jerebu ini sdr. Sudah tentu banyak perbincangan dan tindakan telah dibuat sebelum ini,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pertemuan terbaharu itu bukan bermaksud tindakan hanya mula diambil sekarang, sebaliknya bertujuan memperkemas penyelarasan sedia ada antara agensi yang terlibat.
Menurut Fadhlina, isu jerebu memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan tidak boleh ditangani oleh KPM secara bersendirian.
“Jerebu ini KPM tak boleh buat keputusan sendiri. Ada perkara di bawah tanggungjawab JAS, KKM, NADMA dan agensi lain juga. Jadi memang kena duduk berbincang dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Dalam perkongsian terdahulu, Fadhlina menegaskan bahawa kesihatan murid perlu terus diberi perhatian tanpa mengabaikan keperluan pembelajaran mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa NADMA akan memperjelas tindakan serta prosedur berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dalam masa terdekat.
Perkara itu penting bagi memastikan tindakan yang diambil dapat diselaraskan mengikut bidang kuasa setiap agensi, khususnya dalam melindungi kesihatan murid dan memastikan urusan persekolahan dapat diuruskan dengan sewajarnya sepanjang situasi jerebu berterusan.
Dalam keadaan ini, kerjasama antara agensi berkaitan amat diperlukan bagi memastikan keputusan yang dibuat mengambil kira aspek kesihatan, keselamatan dan pendidikan murid.
Baca juga: Baru 200 Meter Dari Rumah, Remaja 15 Tahun Digigit Anjing Liar Ketika Keluar Beli Ubat
Sumber: Fadhlina Sidek
