Sihat

Doktor Kongsi Cara Pulihkan Semula Deria Bau Selepas Dijangkiti Covid-19, Lega!

Jika anda dijangkiti wabak Covid-19, antara kesan sampingan yang sering terjadi ialah hilang deria rasa dan bau. Hal ini sudah tentunya menyukarkan individu untuk menghidu bau di sekeliling dan kebiasaanya gejala ini akan hilang selepas dua hingga tiga minggu.

Walau bagaimanapun, jika masalah yang dialami masih berlanjutan selepas dua minggu, anda boleh membuat beberapa rawatan di rumah seperti perkongsian Dr Kamarul Ariffin di laman Facebook. Terdapat dua rawatan boleh dilakukan dan ia sedikit sebanyak boleh membantu dalam memulihkan semula deria bau.

Baca juga: Elak Komplikasi MIS-C, Pastikan Kanak-kanak Terima Vaksin Covid-19

DOKTOR KONGSI CARA PULIHKAN SEMULA DERIA BAU SELEPAS DIJANGKITI COVID-19

“Selepas 2 minggu saya kena Covid-19, saya masih tak boleh bau. Apa boleh saya lakukan, doktor?” 

Sesetengah orang yang dijangkiti Covid-19, akan mengalami kehilangan deria bau, sama ada kehilangan separa atau kehilangan penuh. Lazimnya gejala ini akan hilang selepas 2-3 minggu.

Jika anda masih alami kehilangan atau kekurangan deria bau selepas 2 minggu, anda disarankan untuk berjumpa doktor untuk diperiksa. Jika ada keperluan, maka anda akan dirujuk kepada pakar ENT.

Apa rawatan yang dilakukan untuk pulihkan semula deria bau?

1. Terapi Latihan Bau (Smell Re-training Therapy) 

Terapi ini fokus kepada melatih semula sel olfaktori(bau) untuk mengenal pasti bau-bau. Terdapat 4 kategori bau yang biasa dilatih semula iaitu bau floral, herba, buah dan resin.

– Floral = bau bunga : ros / melur / lavender

– Herba = bau rempah : cengkih / buang lawang

– Buah = bau buah sitrus : lemon / limau

– Resin = bau getah pokok : eucalyptus

Latihan bau ini boleh dilakukan di rumah dengan mudah dan selamat. Boleh gunakan bahan-bahan segar untuk 4 kategori bau ini, atau gunakan minyak pati (essential oil).

Caranya: hidu setiap bahan mewakili ini selama 20 saat setiap satu. Pastikan selama 20 saat itu, anda fokus kepada bau tersebut. Ulang latihan ini, dua kali sehari. Ulang sehingga deria bau kembali.

*Peringatan! Latihan ini bukan rawatan untuk mencegah atau memulihkan jangkitan Covid-19. Ia adalah ikhtiar untuk memulihkan semula deria bau yang telah hilang.

2. Ubat (Decongestant/Antihistamine/etc) 

Kadangkala kehilangan bau itu akibat laluan udara dalam hidung tersumbat ekoran bengkakan dindingnya atau hingus yang pekat. Ia biasa dikaitkan dengan keradangan.

Kerandangan ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan seperti antihistamin, semburan steroid, dan sebagainya. Untuk dapatkan ubat-ubat anda disarankan untuk berjumpa doktor dahulu.

Doktor hanya akan memulakan rawatan dengan ubat-ubatan setelah pemerikasaan dilakukan, dan pasti ia sesuai serta ia tidak menambah risiko kemudaratan.

*Peringatan! Pengambilan apa-apa ubat-ubatan atau suplemen tanpa berbincang dengan doktor, tidak digalakkan. Ini bagi mengelakkan penggunaan ubat yang salah dan tidak berkesan.

Sumber: Facebook Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×