Deko & Hias

Sakit Mata Tengok Wayar Berselirat, Jom DIY Cable Organizer Box Ala Ikea Ini

551
SHARES

“Rimasnya tengok wayar berjuntai-juntai ni. Si Alia tu pulak sekarang dah pandai nak tarik-tarik wayar ni. Puas kita sorokkan dia boleh capai jugak. Kalau tak perasan memang bahaya tu.”

Memang sakit mata bila tengok wayar bersepah-sepah dan berselirat di lantai. Lebih-lebih lagi kalau ada anak kecil, memanglah jadi tempat ‘tarikan’ untuk mereka. Bagi kita ni pun, boleh juga tersadung kaki kalau tak perasan.

Nah, apa kata cuba DIY sendiri Wire / Cable Organizer Box yang comel dan mudah. Bukan saja dapat buat ruang dalaman rumah nampak lebih kemas, tapi sekaligus dapat juga kurangkan risiko keselamatan daripada perkara-perkara yang tak diingini.

Jom tengok cara DIY Cable Organizer Box yang ditunjukkan oleh saudari Nurul Aida Shinichi ini.

Cara DIY Cable Organizer Box Yang Mudah & Praktikal

Bahan-bahan yang diperlukan mudah saja nak dicari. Boleh juga recycle daripada bahan terpakai.

Berikut adalah senarai bahan yang saya gunakan untuk menghasilkan Wire / Cable Organizer Box.

Bahan-bahan

  • Kotak terpakai
  • Pembalut Hadiah
  • Gam biasa
  • Gam UHU
  • Gunting
  • Pisau Lipat
  • Pembaris
  • Pensel
  • File Ring
  • Selotep
  • Surat Khabar (jika perlu)

Cara-cara

Dah ada cukup bahan, jom tengok langkah membuatnya.

1. Balut Kotak

Mula-mula kita balutkan kotak yang boleh memuatkan extension plug kita. Ada yang jenis 2 plug, 3 plug, atau lebih. Lagi banyak plug, lagi panjang saiz extensiom dan lebih besarlah kotak yang kita perlukan.

Untuk bagi kotak lebih kukuh, saya balutkan dengan surat khabar untuk lapisan pertama. Kemudian baru saya balutkan dengan pembalut hadiah untuk lapisan kedua.

2. Buat Lubang

Seterusnya, bila dah siap balut, kita buat pula lubang untuk wayar atau kabel. Kalau ada 2 plug, buatlah 2 lubang, kalau ada 3 plug, buatlah 3 lubang dan seterusnya.

Saya gunakan klip kertas untuk tandakan kawasan yang akan dilubangkan supaya ia selaras.

Kemudian saya gunakan ring file ni sebagai ukuran membuat lubang. Lubangkan dengan pisau lipat.

3. Lekatkan Ring Pada Lubang

Seeloknya, kemaskan keliling lubang tadi dengan selotep untuk mengelakkan sisa potongan kotak tadi terkeluar.

Lepas tu, barulah lekatkan gam UHU dibelakang ring file tu tadi dan lekatkan pada lubang yang dibuat.

4. Tebuk Lubang Untuk Wayar Extension

Langkah seterusnya, kita buat 1 pintu kecil di belakang kotak untuk memasukkan wayar dari extension plug ke dalam kotak.

Beginilah rupanya bila dah masukkan extension plug ke dalam kotak yang kita dah buat tadi.

5. Tutupkan

Nak nampak cantik dan kemas, bagus kalau pakai kotak yang ada sekali dengan penutup. Kalau tak ada, boleh buat sendiri. Barulah nampak kemas bila ditutup.

OK dah siap! Inilah hasilnya.

Cantik, Kemas & Praktikal

Mudah sangat dan kemas sungguh hasilnya. Yang penting, ianya praktikal dan dapat sorokkan wayar yang berselirat tadi.

Boleh sangatlah kan DIY sendiri kalau rasa tak nak keluar duit beli yang dijual di Ikea atau kedai-kedai lain macam dalam gambar di bawah ni. Kalau buat sendiri, senang nak adjust sendiri ikut kesesuaian ruang. Sama ada nak kurangkan lubangnya, nak buat lubang di atas atau ubahsuai bentuknya, terpulang. Lebih fleksibel kan?

Jom kita buat satu di rumah!

 

*Cara DIY Cable Organizer Box ini disumbangkan oleh Nurul Aida Shinichi menerusi Facebook. Ia telah diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan, boleh rujuk post asal beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×