Gelaran ibu tunggal seringkali dianggap sebagai sesuatu yang negatif dalam masyarakat kita. Sedangkan, jika kita cuba menyelami keadaan mereka, ia adalah begitu sukar dan perit.
Keadaannya sama sekali berbeza dengan mereka yang berpeluang membesarkan anak dengan bantuan pasangan. Ini antara cabaran yang terpaksa dilalui oleh mereka.
7 Cabaran Hebat Membesarkan Anak Sebagai Ibu Tunggal
1. Kewangan Yang Terhad
Antara cabaran yang paling merunsingkan ibu-ibu tunggal adalah had kewangan yang dahulunya ditanggung berdua. Bukan mahu menagih simpati, namun kini kesusahan benar-benar terasa apabila segalanya perlu diuruskan seorang diri.
Walaupun masih ada keluarga, siapalah kita yang ingin mengharapkan bantuan dan pertolongan. Apatah lagi dengan masa yang terhad, sudah tentu seorang ibu tunggal terpaksa bersengkang mata dan menahan diri daripada segala alasan demi menanggung segala perbelanjaan harian.
2. Kurang Masa Untuk Diri Sendiri
Menjadi seorang ibu saja sudah memberi banyak halangan bagi seseorang wanita untuk mempunyai masa bagi diri sendiri. Dengan menggalas gelaran seorang ibu tunggal, terlalu banyak tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan sehingga mereka tidak berkesempatan untuk bersosial dengan rakan-rakan, apatah lagi dengan seseorang yang istimewa.
Kebanyakan masa, rasa bersalah pasti akan membuat ibu-ibu ini rasa terhimpit antara kemahuan dan keperluan.
3. Tanggapan Masyarakat
Entah kenapa, tanggapan masyarakat umumnya lebih baik terhadap duda berbanding janda. Janda sering dilabel dengan gelaran negatif seperti sebagai ‘perampas’ atau ‘perosak rumah tangga’. Namun hakikatnya, semua ini adalah stigma semata-mata.
Jadi, janganlah kita mudah membuat tanggapan terhadap seseorang tanpa usul periksa.

Foto Kredit: vox.com
4. Menghadapi Pertanyaan & Persoalan Anak Yang Semakin Besar
Apabila anak semakin besar, semakin banyak soalan yang akan ditanya, semakin banyak jugalah ragam mereka. Mereka pasti akan bertanyakan tentang masa lalu atau perkara yang berkaitan perpisahan ibu ayah. Sedikit sebanyak, ia akan sentiasa mengembalikan rasa kesal dan bersalah terhadap anak.
Bila berjumpa dengan orang baru, anak pasti akan berasa kekok apabila ditanya tentang bapa mereka. Kalau boleh, ingin sekali kita menjadi pelindung mereka. Tetapi, inilah dunia sebenar yang bakal mereka hadapi sendiri suatu hari nanti.

Foto Kredit: wclub.ru
5. Rasa Sunyi
Sungguhpun kebanyakan masa diisi dengan kesibukan, ada ketika kesunyian akan hadir dan memenuhi ruang fikiran. Rasa rindu untuk berbual dengan orang dewasa. Rasa rindu untuk meluahkan perasaan. Rasa rindu untuk sebuah pelukan. Semua ini adalah sokongan emosi yang diperlukan oleh seseorang yang normal.
Apabila anak semakin dewasa, akan tiba masanya mereka akan punya agenda sendiri. Mereka akan kurang bersama kita dan sekali lagi ruang kosong akan terisi dengan kesepian yang sukar dikongsikan.
6. Terpaksa Membuat Keputusan Yang Sukar
Begitu banyak keputusan yang perlu dibuat walaupun kita tak tahu betul salahnya. Kita sendiri sangsi dengan pertimbangan diri sendiri. Kita sendiri tak pasti sama ada kita kuat untuk menghadapi semua ini.
Itulah pergelutan yang selalu berlaku apabila menjadi seorang ibu tunggal.

www.homeveda.com
7. Selalu Rasa ‘Tak Cukup Baik’
Akhir sekali, walau seberapa banyak usaha yang kita telah kerahkan dalam membesarkan anak, sebagai seorang ibu tunggal, ianya terasa seperti tak pernah cukup. Rasa cenderung menyalahkan diri jika sesuatu yang dirancang tidak berjalan lancar.
Sekalipun sentiasa memujuk diri agar tidak membandingkan diri dengan orang lain, dah tentu tak senang duduk apabila melihat anak sendiri kekurangan kasih sayang dan belaian seorang ayah.

Foto Kredit: wrightslaw.com
Sesukar Mana Pun, Anak Adalah Sumber Kekuatan
Tidak kiralah sama ada kita terpaksa berjauhan dengan pasangan akibat penceraian atau, duduk berasingan atas sebab-sebab yang tertentu, atau mempunyai pasangan yang kerap outstation – seseorang yang dipertanggungjawabkan membesarkan anak tanpa pasangan di sisi pasti akan merasakan cabaran demi cabaran dalam hidup, terutamanya dalam hal membesarkan anak.
Namun sesukar manapun, anak-anak inilah yang bakal menjadi kekuatan kepada para ibu mahupun bapa tunggal di luar sana. Respek buat mereka!