Asuh

Bilakah Patut Buat Pemeriksaan Gigi Anak Kecil?

451
reads
pemeriksaan gigi anak kecil

Nisa, si anak sulung sudah mula tumbuh gigi meskipun baru masuk 9 bulan. Satu pengalaman baru bagi saya dan suami. Patutlah dia sering menggigit semua benda yang dia jumpa, rupanya gusi gatal-gatal.

Meskipun teruja dengan perkembangan Nisa, tapi kami ada terfikir juga bila masa yang sesuai untuk bawa Nisa buat pemeriksaan gigi. Adakah tunggu sampai Nisa cukup setahun? Atau bila gigi susunya semua sudah ada? Atau jumpa dalam waktu yang terdekat? Atau tidak perlu kecuali Nisa ada masalah dengan giginya?

pemeriksaan gigi anak kecil

Foto Kredit: healthysmile.org.nz

Jadi, bilakah masa yang sesuai untuk membawa si kecil buat pemeriksaan gigi buat pertama kalinya?

Seeloknya sebelum anak mencapai usia setahun. Secara lebih tepat lagi, kebanyakan pendapat mengesyorkan anda membawa anak membuat pemeriksaan gigi dalam masa 6 bulan setelah gigi pertamanya tumbuh.

Namun, jika terdapat sebarang kemusykilan terhadap gigi bayi yang tidak tumbuh seperti biasa, lebih baik anda mendapatkan nasihat doktor gigi secepat mungkin.

Bagaimana jika gigi tumbuh awal?

Bawa anak buat pemeriksaan gigi dalam tempoh enam bulan selepas gigi pertama tumbuh. Lagi cepat lagi bagus. Jika ada sebarang masalah dengan gigi itu, dapatlah doktor dapat mengesan dengan awal.

Jika belum bersedia, pastikan anda memantau perkembangan pertumbuhan gigi bayi sebaik mungkin. Bayi yang menghisap susu formula adalah antara yang terdedah kepada kerosakan gigi apabila menyusu pada waktu malam.

Bagaimana memilih doktor gigi yang terbaik?

Anda bebas memilih sama ada mengguna perkhidmatan doktor gigi kerajaan ataupun swasta. Masing-masing mempunyai kemahiran tersendiri.

Selalunya, apabila anda membuat lawatan pemeriksaan perkembangan bayi di klinik kerajaan, doktor akan mengesyorkan tarikh yang sesuai untuknya membuat pemeriksaan gigi.

pemeriksaan gigi anak kecil

Foto Kredit: andersonsmile.com

 

Apakah persediaan yang perlu dibuat?

Buat persediaan jika anak meragam, menangis mahupun meraung apabila membuat pemeriksaan gigi. Jadikan perjumpaan pertama kali ini sebagai perjumpaan yang bersifat santai dan relaks.

Kebanyakan doktor gigi juga tidak akan memaksa bayi untuk membuka mulut. Mengikut pengalaman, ibu bapa juga boleh duduk bersama di atas kerusi bersama anak kecil untuk mengurangkan perasaan gementar si anak.

Selain itu, sekiranya anak anda telah cukup faham pertuturan yang mudah, eloklah mereka diberitahu berulang kali bahawa mereka akan dibawa ke klinik gigi. Apabila anda memberitahu mereka, dapatlah mereka membina persediaan mental. Ini penting supaya anak-anak ini tidak terlalu terkejut dan fobia untuk ke klinik gigi pada masa akan datang.

Perlukah adanya sesi ulangan?

Seperti orang dewasa, kanak-kanak perlu juga berjumpa doktor gigi setiap enam bulan. Namun, bergantung pada doktor. Ada yang tetapkan tiga bulan untuk membina hubungan dengan kanak-kanak.

Sementara itu, eloklah anda bertanyakan kepada doktor gigi mengenai cara-cara menjaga gigi anak kecil dengan selengkapnya. Ini kerana, ia agak berbeza dengan cara penjagaan gigi orang dewasa kerana mereka mempunyai diet dan aktiviti harian yang berbeza mengikut peringkat umur.

Contohnya, terdapat berus gigi yang direka khas seperti getah yang dipakai pada jari untuk memberus gigi bayi. Ia lebih sesuai digunakan untuk bayi berbanding berus gigi kanak-kanak.

Pemeriksaan gigi anak kecil

Foto Kredit: aliexpress.com

Sebaiknya, buat pemeriksaan gigi seawal mungkin!

Bawa bayi dan anak kecil membuat pemeriksaan gigi seawal mungkin, sebaik sahaja gigi pertama mereka tumbuh kerana ia dapat mengelakkan masalah kerosakan gigi.

Dalam masa yang sama, ia juga membantu ibu bapa belajar penjagaan gigi yang betul untuk anak kecil.

Yang Popular

To Top