Asuh

Umur Berkhatan Anak Lelaki. Elok Awal Atau Lewat?

179
SHARES

“Macam ‘trend’ pula sunat anak lelaki awal-awal sekarang ni. Yalah, ikut logiknya macam lagi senang, sekali ‘zap’ habis cerita. Tapi, ngeri juga. Ada tak risiko anak lelaki bersunat masa bayi?”

Dalam cuti sekolah yang lalu, mesti ramai yang telah mengkhatankan anak mereka. Tidak kiralah sama ada di bandar atau di kampung, jika beramai-ramai mesti cukup meriah!

Hukum Anak Lelaki Bersunat

Menurut sumber daripada Ustaz Zaharuddin, dalil yang menerangkan tentang anjuran berkhatan ialah sebuah hadith dari Riwayat Muslim yang bermaksud:
“Lima perkara fitrah : berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak (cukur), memendekkan misai.”

Pandangan para ulama dalam memahami hadith di atas terbahagi kepada 3 kumpulan :
1) Hukumnya sunat bagi lelaki dan wanita . Ia adalah pandangan Imam Malik dalam satu riwayat, Abu Hanfiah dan sebahagian ulama mazhab Syafie.
2) Wajib bagi lelaki dan wanita . Demikian fatwa Mazhab Syafie dan kebanyakan Ulama dan juga pandangan Imam Suhnun anak murid Imam Malik,
3) Wajib bagi lelaki dan hukumnya sunat bagi wanita. Demikian sebahagian ulama Syafie, dan mazhab Hanbali.

Sebagai kesimpulan, disepakati bahawa khatan bagi lelaki adalah wajib.

Tetapi, tentulah terdapat penerangan khas bagi mereka yang muallaf atau mempunyai penyakit yang tidak dapat dielakkan kerana Islam bukanlah bersifat ganas.

Umur Paling Sesuai Untuk Anak Lelaki Bersunat. Awal Atau Lewat?

Bagi mereka yang belum membawa anak lelaki bersunat, mungkin anda memikirkan umur tertentu untuk mereka disunatkan. Atau, mungkin bagi yang sedang mengandung, tertanya-tanya juga jika anak lelaki ini boleh disunatkan ketika masih bayi, seperti anak perempuan.

Di Malaysia, kita biasa melihat anak lelaki bersunat beramai-ramai sekitar usia 5-10 tahun. Walaubagaimanapun, sebenarnya tiada waktu berkhatan yang dikhususkan untuk anak lelaki.

Jika Diawalkan,

Terdapat ahli ilmuan yang berpendapat, anak lelaki lebih elok disunatkan sejak hari ketujuh kelahiran mereka. Antara sebabnya ialah supaya rasa kesakitan dapat diminimakan dan komplikasi di kalangan bayi adalah rendah.

Ada doktor yang mengatakan bersunat ketika bayi adalah lebih afdal kerana hanya mengambil 3-4 hari sahaja untuk sembuh berbanding kanak-kanak yang lasak. Selain itu, mereka juga belum pandai makan macam-macam, jadi tak perlu risau untuk ‘berpantang’ bagi mengelakkan keradangan!

Menurut pengalaman ibu-ibu yang pernah mengkhatankan anak lelaki semasa bayi, eloklah sekiranya dapat mencari klinik atau doktor yang mempunyai reputasi yang baik kerana anak masih terlalu ‘halus’ pada waktu ini.

Lazimnya, doktor juga akan memeriksa 3 perkara ini sebelum dapat menjalankan prosedur:
i) bayi sihat sepenuhnya, tidak demam atau mengalami sebarang komplikasi lain ketika lahir
ii) tali pusat sudah tertanggal
iii) zakar bayi cukup panjang untuk melakukan prosedur tersebut

Jika Dilewatkan,

Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat bahawa berkhatan lebih baik dilakukan apabila menghampiri usia mumaiyiz atau baligh kerana perbuatan tersebut bertujuan menyempurnakan thaharah (bersuci) dalam beribadah.

Ini bermaksud ia mampu memberi kesan positif terhadap emosi mereka untuk menjadi seorang Muslim yang lebih dewasa dan bertanggungjawab. Kanak-kanak yang telah ‘merasa’ proses berkhatan biasanya akan merasakan diri mereka berbeza berbanding kanak-kanak kecil yang lain.

Tambahan pula, kini terdapat kaedah moden seperti ‘smart klamp’ yang ternyata cepat, mudah, dan selamat. Teknik ini telah diperkenalkan seawal 2003 dan telah dipraktikkan di banyak klinik seluruh Malaysia. Prosedur ini amat ringkas, bersih dan teratur. Yang penting, ia tidak melibatkan jahitan dan mudah dijaga!

Hikmah Anak Lelaki Bersunat

Sesuatu yang dianjurkan oleh sunnah tentulah banyak manfaatnya, baik dari segi agama mahupun kesihatan. Tidak kisahlah pada usia apa pun, tujuan utamanya ialah untuk menjaga kebersihan.

Malah, ia dapat mengurangkan risiko jangkitan kuman pada saluran kencing anak-anak serta melindungi mereka daripada risiko keradangan dan kanser zakar.

Setelah berkhatan, penting untuk kita memastikan mereka berehat dan memberi penjagaan supaya proses penyembuhan dapat berjalan dengan lancar.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×