Kemalangan jalan raya yang tidak disengajakan hingga menyebabkan kematian bukan perkara kecil, malah terdapat tanggungjawab dari sudut agama yang perlu ditunaikan oleh individu terbabit. Antaranya termasuklah bayaran kaffarah yang mempunyai ketetapan tertentu.
Namun, timbul persoalan sama ada individu yang menyebabkan kematian tanpa sengaja boleh terus memberi makan kepada 60 orang fakir miskin sekiranya tidak mampu berpuasa selama dua bulan berturut-turut, atau perlu mencuba berpuasa terlebih dahulu.
BAYARAN KAFFARAH BUNUH TANPA SENGAJA

Gambar hiasan: Gemini AI
Kaffarah bunuh tanpa sengaja berdasarkan Surah al-Nisa’ ayat 92
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Negeri Selangor, individu yang menyebabkan kematian dalam kemalangan jalan raya secara tidak sengaja diwajibkan menunaikan kaffarah bunuh tanpa sengaja.
Ketetapan ini bersandarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 92 yang menerangkan kewajipan kaffarah bagi kes pembunuhan tanpa sengaja.
Allah SWT berfirman:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَن يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَـًٔا ۚ وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَـًٔا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ إِلَّآ أَن يَصَّدَّقُوا۟ ۚ فَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ عَدُوٍّ لَّكُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ ۖ وَإِن كَانَ مِن قَوْمِۭ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثَٰقٌ فَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ وَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ تَوْبَةً مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Maksudnya: Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar “diyah” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar “diyah” (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Berdasarkan ayat tersebut, kaffarah bagi pembunuhan tanpa sengaja mempunyai ketetapan tertentu, termasuk berpuasa selama dua bulan berturut-turut sekiranya tidak mampu melaksanakan kaffarah yang pertama.
Ini turutan bayaran kaffarah yang perlu diketahui
Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan bahawa kaffarah bunuh tanpa sengaja perlu dilaksanakan mengikut turutan tertentu, bukannya dipilih sesuka hati.
Berikut ialah susunan kaffarah yang dinyatakan dalam penjelasan tersebut:
- Memerdekakan seorang hamba beragama Islam: Ini merupakan kaffarah pertama sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Nisa’, ayat 92.
- Berpuasa selama dua bulan berturut-turut: Pilihan ini dilaksanakan sekiranya individu berkenaan tidak mampu menunaikan kaffarah yang pertama.
- Memberi makan kepada 60 orang fakir miskin: Menurut penjelasan pihak mufti, kaedah ini diqiyaskan kepada kaffarah zihar dan kaffarah berbuka puasa pada siang Ramadan kerana persetubuhan.
Susunan ini menunjukkan bahawa seseorang tidak boleh terus memilih kaedah memberi makan kepada fakir miskin tanpa mengambil kira kemampuan melaksanakan kaffarah yang mendahuluinya.
Tak mampu puasa dua bulan, boleh beri makan 60 fakir miskin?

Gambar hiasan: Gemini AI
Menjawab persoalan sama ada memberi makan kepada 60 orang fakir miskin boleh menggantikan puasa dua bulan berturut-turut, Mufti Negeri Selangor menjelaskan bahawa kaedah tersebut hanya boleh dilakukan sekiranya individu berkenaan tidak mampu berpuasa selama tempoh yang ditetapkan.
Ini bermakna, seseorang perlu berusaha melaksanakan puasa dua bulan berturut-turut terlebih dahulu sekiranya tidak mampu menunaikan kaffarah yang pertama. Sekiranya tidak berkemampuan untuk berpuasa, barulah kaedah memberi makan kepada 60 orang fakir miskin boleh dilaksanakan.
Pihak mufti turut menegaskan bahawa seseorang tidak dibenarkan memilih secara bebas antara berpuasa selama dua bulan atau memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.
Oleh itu, individu yang berhadapan dengan situasi kematian akibat kemalangan tanpa sengaja perlu memahami turutan kaffarah yang ditetapkan agar tanggungjawab agama tersebut dilaksanakan mengikut ketentuan hukum.
