Seorang bapa tidak menyangka anak perempuan kesayangannya yang dihantar ke sekolah seperti biasa berakhir dengan berita duka apabila murid Tahun Satu itu meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika berada di sekolah pada Isnin, 19 Oktober 2026.
Mangsa, Derma Damiya Nur Mikayla, berusia tujuh tahun, merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil, Sepang.
Baca juga: Alami Kesukaran Bernafas Ketika Dalam Kelas, Murid Tahun Satu Disahkan Meninggal Dunia
DERMA DAMIYA, MURID TAHUN SATU MENINGGAL DUNIA DIPERCAYAI TERCEKIK MAKANAN

Gambar Facebook Fadhlina Sidek.
Bapa bergegas ke sekolah, cuba lakukan CPR
Bapa mangsa, Meor Shahriza Meor Zakaria, 48, berkata dia segera bergegas ke sekolah selepas menerima makluman mengenai keadaan anaknya yang mengalami masalah pernafasan.
Sebaik tiba, dia mendapati anaknya terbaring di koridor tingkat dua dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dia kemudian cuba memberikan bantuan termasuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR), namun Allahyarhamah tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
“Lebih kurang 15 minit kemudian, ambulans tiba. Ketika itu, keadaan anak saya sudah tidak menunjukkan sebarang tindak balas,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Dengkil, pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita pada jam 7.30 malam.
Mangsa diberikan bantuan awal pernafasan di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika berada di Hospital Putrajaya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Laporan awal pemergian Allahyarham dari JPN Selangor
Berdasarkan laporan awal oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, kanak-kanak berkenaan dipercayai tercekik makanan sebelum mengalami kesukaran bernafas.
Jabatan berkenaan memaklumkan bahawa guru-guru telah berusaha memberikan bantuan awal sebelum mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan, namun Allahyarhamah kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital tersebut.
Susulan kejadian itu, JPN Selangor merakamkan ucapan takziah dan menyatakan rasa dukacita atas pemergian murid berkenaan.
JPN Selangor turut menegaskan bahawa kerjasama penuh akan diberikan kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Pada masa sama, kebajikan keluarga Allahyarhamah serta kesejahteraan warga sekolah yang terkesan menjadi keutamaan, termasuk penyediaan bantuan dan sokongan psikososial mengikut keperluan.
Jabatan itu juga mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, selain menghormati privasi keluarga yang sedang berdepan kehilangan insan tersayang.
Fadhlina Sidek turut zahirkan ucapan takziah
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Derma Damiya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata sudah meminta JPN Selangor memastikan kebajikan keluarga Allahyarhamah diberikan perhatian sewajarnya, di samping memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Saya tidak dapat membayangkan betapa beratnya kehilangan ini buat kedua-dua ibu bapa dan seluruh keluarga. Tiada kata yang mampu mengubat kesedihan apabila anakanda yang disayangi pergi buat selama-lamanya.
“Ingatan dan doa saya bersama keluarga adik Damiyah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya serta mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh keluarga,” katanya.
Sementara itu, polis memaklumkan bahawa Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Bedah siasat dijalankan di Hospital Putrajaya pada jam 8 pagi Selasa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak benar bagi menghormati keluarga Allahyarhamah serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Vishno Kumar A/L Tharuma Rethinam, menerusi talian 011-11021528.
Sumber: Berita Harian / JPN Selangor / Fadhlina Sidek
