“Aduhai, dah nak dekat 2 minggu batuk si kecil ni masih tak berkurang. Ni dah nampak lemah dan nak demam pula. Kasihan betul tengok. Tapi, orang kata tak ada pun ubat batuk bayi bawah 2 tahun. Kenapa ya? Habis tu, macam mana nak sihat?”
Hanya ibu bapa yang akan faham betapa susahnya menguruskan anak kecil yang demam, batuk, dan selsema. Walaupun ia bukanlah penyakit serius, namun ramai ibu bapa yang terpaksa berjaga malam dan kehabisan tenaga dalam proses menanganinya.
Mana tidaknya, anak kecil pasti tidak dapat bernafas dan mengalami kesukaran untuk tidur dengan selesa sekiranya hidung mereka tersumbat. Sebagai ibu bapa, tentulah kita akan berasa tak senang duduk dan mula mencari pelbagai ikhtiar untuk menyembuhkan mereka secepat mungkin.
Walau apa pun yang anda usahakan, pastikan anda tidak memberi ubat kepada bayi KECUALI ianya dipreskripsikan oleh doktor atas sebab-sebab yang khusus.
5 Bahaya Ubat Selsema & Ubat Batuk Bayi Bawah 2 Tahun
Berikut adalah sebab mengapa anda tak boleh memberi ubat selsema dan ubat batuk bayi bawah 2 tahun.
1. Amaran Oleh Kementerian Kesihatan Malaysia & Pihak Farmaseutikal
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak membenarkan penggunaan ubat-ubat batuk dan selsema bagi bayi dan anak kecil di bawah umur 2 tahun sejak tahun 2007.
Menurut sumber dari MyHealth, bermula dari tahun 2008 juga pihak farmaseutikal US Food and Drug Administration (USFDA) telah mengeluarkan amaran berkenaan penggunaan ubat untuk rawatan batuk dan demam (cough and cold) pada kanak-kanak. Dalam amaran tersebut, pihak USFDA memberi amaran agar tidak menggunakan ubat-ubatan over the counter (iaitu yang boleh dibeli) tanpa preskripsi untuk merawat batuk dan selsema anak kecil yang berusia di bawah 2 tahun.
Memandangkan ubat batuk dan selsema mudah diperolehi di farmasi, kedai menjual produk kesihatan mahupun kedai-kedai runcit, ibu bapa dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya memberi ubat-ubatan ini kepada bayi, terutamanya yang berusia bawah 2 tahun kerana sistem tubuh mereka amat sensitif. Selain bayi, kanak-kanak di bawah 6 tahun juga tidak disyorkan untuk diberi ubat batuk dan selsema melainkan dipreskripsikan oleh doktor.
2. Tidak Berkesan Kepada Bayi Bawah 2 Tahun
Menurut sebuah artikel oleh Malaysian Medical Gazette, ahli farmasi Mark Chong menerangkan bahawa tiada bukti yang kukuh menunjukkan keberkesanan penggunaan ubat batuk dan selsema bagi anak kecil di bawah 2 tahun. Apabila risiko kesan sampingan negatif daripada ubat batuk bayi dan juga selsema, tiada justifikasi untuk pemberian ubat-ubat ini kepada kanak-kanak.
Menurut sebuah sumber lagi, penggunaan ubat batuk bayi dan ubat selsema sebenarnya tidak dapat menyembuhkan keadaan tersebut. Sebaliknya, ia hanya bertujuan untuk mengawal simptom yang dialami. Selain itu, ia boleh memberi kesan bahaya jika tidak dipreskripsikan dengan tepat.
3. Kegagalan Sistem Pernafasan
Sebuah artikel oleh Root Of Science mendedahkan bahawa penggunaan ubat selsema boleh menyebabkan bayi berhenti bernafas (apnea). Ini kerana, kebanyakan ubat selsema yang diberikan akan menyebabkan pesakit berasa mengantuk dan tidur. Ia adalah kesan daripada ubat anti-histamin yang merentasi ‘blood brain barrier’ dan mengganggu sistem histamin dalam otak. Apabila diberi pada kanak-kanak atau bayi, ia boleh mengganggu pusat pernafasan yang berada di dalam otak dan seterusnya menyebabkan mereka berhenti bernafas dengan sendirinya.
Berikut adalah kandungan yang perlu dielakkan:
4. Menyebabkan Bayi Kurang Menyusu
Selain daripada kesan serius yang disebutkan, kesan mengantuk secara tidak langsung menyebabkan bayi kurang menyusu dan minum. Hal ini boleh menyebabkan dehidrasi, seperti yang dijelaskan oleh Dr Yap Hsiao Ling melalui laman web DoktorBudak.com.
Sekiranya keadaan tidak dipantau dan dibiarkan berterusan, ia tentulah berisiko dan akan membahayakan kesihatan bayi.
5. Dos Tidak Terkawal
Menurut laman kesihatan Web MD, kebanyakan ubat-ubatan ini mengandungi lebih daripada satu bahan, dan mungkin terdapat bahan yang sama dalam 2 ubat-ubatan yang berlainan. Jika seseorang memberi ubat selsema dan ubat batuk bayi anak tanpa meneliti kandungannya, mereka mungkin akan memberi bahan yang sama dan menyebabkan lebihan dos.
Golongan kanak-kanak lebih terdedah kepada risiko untuk mendapat kesan toksik dan kesan sampingan ubat-ubatan jika berlaku kesilapan pemberian dos ubat.
Walaupun begitu, dalam sesetengah keadaan, penggunaan ubat batuk dan selsema adalah amat perlu bagi tujuan rawatan untuk pesakit kanak-kanak setelah faedah dan risiko yang berkaitan dipertimbangkan sepenuhnya. Jika ubat terpaksa diberikan, pastikan anda mengetahui langkah keselamatan berikut:
- mematuhi dos yang ditetapkan
- tidak berkongsi ubat dengan anak yang lain
- menggunakan alat penyukat yang tepat (bukannya tudung penyukat, camca atau sudu)
Rujuk Doktor Jika Batuk & Selsema Berterusan
Adalah normal bagi bayi untuk mengalami demam, batuk dan selsema sepanjang proses tumbesaran mereka. Anda tidak perlu risau sekiranya mereka masih menyusu dan aktif bermain kerana lazimnya bayi akan pulih dengan sendiri.
Sementara itu, teruskan penyusuan ibu dengan kerap, berikan makanan yang digemari, buah-buahan berkhasiat, dan pastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan yang selesa. Sekiranya tahap kesihatan mereka semakin merosot, jangan teragak-agak untuk berjumpa doktor kerana batuk dan selsema boleh menjadi simptom kepada penyakit lain.
*Sekiranya orang awam mempunyai sebarang pertanyaan am berkenaan ubat-ubatan, anda boleh bertanya kepada mana-mana ahli farmasi atau menguhubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800-88-6722.