Tindakan seorang imam Masjid Seksyen 7, Shah Alam yang memendekkan bacaan solat Maghrib selepas terdengar tangisan bayi di saf belakang menarik perhatian ramai, sekali gus mengingatkan umat Islam tentang sifat ihsan dan keprihatinan Rasulullah SAW terhadap jemaah.
Baca juga: Jangan Doa Keburukan Anak Sendiri Ketika Marah, Takut ‘Terkena’ Tepat Waktu Mustajab!
IMAM MASJID PENDEKKAN BACAAN SOLAT MAGHRIB

Menerusi perkongsian Nabil Fikri Zainol di media sosial, kejadian itu berlaku ketika solat Maghrib berjemaah apabila bayi menangis di bahagian saf belakang pada rakaat kedua.
Menurutnya, imam berkenaan pada rakaat pertama membaca surah yang agak panjang, namun memendekkan bacaan pada rakaat kedua dengan membaca Surah al-Ikhlas selepas al-Fatihah.
Malah, bacaan ketika tahiyat akhir juga dilihat ringkas sebelum imam mengakhiri solat dengan salam.
Situasi itu membuatkan Nabil teringat kepada hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik mengenai tindakan Rasulullah SAW meringankan solat apabila mendengar tangisan bayi.
Daripada Anas bin Malik RA:
“Aku tidak pernah solat dibelakang imam yang lebih ringan dan lebih sempurna daripada solat di belakang Nabi SAW. Apabila Baginda mendengar suara bayi menangis, maka Baginda akan meringankan solat tersebut kerana dibimbangi akan menyusahkan ibunya.” (Muttafaqun alaih)
Hadis tersebut menunjukkan keprihatinan Rasulullah SAW terhadap keadaan jemaah, khususnya ibu yang mungkin berasa bimbang atau terganggu apabila anak kecil mereka menangis ketika solat.

Bacaan pendek bukan bermaksud tinggal rukun solat
Dalam situasi tertentu, imam boleh meringankan solat dengan memendekkan bacaan surah dan tidak memanjangkan perkara yang disunatkan, terutama apabila terdapat keadaan yang boleh menyukarkan jemaah.
Bagaimanapun, meringankan solat bukan bermaksud meninggalkan rukun atau mengabaikan perkara wajib dalam solat. Rukun solat tetap perlu dilaksanakan dengan sempurna.
Tindakan tersebut juga selari dengan prinsip memudahkan urusan jemaah tanpa mengabaikan tuntutan ibadah.
Perkongsian itu turut menerima pelbagai reaksi positif daripada warganet yang memuji tindakan imam berkenaan kerana mengambil kira keadaan jemaah, khususnya ibu yang membawa anak kecil.
“Alhamdulillah.. bagus. Ahli masjid yang memahami. Itu kita panggil ihsan. Tak kira dalam solat ke dalam urusan duniawi, ihsan sangat penting,” komen warganet.
Semoga lebih ramai yang mengamalkan sikap bertimbang rasa dan ihsan dalam kehidupan seharian, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Baca juga: Pengacara RARETV Kapten AA Meninggal Dunia Malam Jumaat Di Oman
Sumber: Threads Iam Nabil
