Euforia Bola 2026
Nur

Dah Mandi Wajib Tapi Baru Sedar Ada Anggota Tak Kena Air, Perlu Ulang Semula? Ini Jawapan Ustazah Asma Harun

mandi wajib

Pernah tak bila sudah selesai mandi wajib, kemudian tiba-tiba terfikir ada bahagian badan yang mungkin tidak terkena air? Menurut perkongsian Ustazah Asma Harun di Facebook, rasa ragu-ragu selepas selesai mandi tidak bermakna mandi wajib yang dilakukan tidak sah.

Baca juga: Budak 9 Tahun Berjaya Hafal Al-Quran Dalam 4 Bulan, Rupanya Kaedah Pembelajaran Ini Jadi ‘Kunci’!

BAHAGIAN BADAN TAK KENA AIR KETIKA MANDI WAJIB, SAH KE?

mandi wajib

Beliau menjelaskan, terdapat perbezaan antara sekadar syak dengan keadaan seseorang yang benar-benar yakin ada bahagian badan tidak terkena air.

Berdasarkan kitab Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja oleh Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani, terdapat enam perkara yang mewajibkan mandi iaitu persetubuhan, keluar mani, kematian berkaitan kewajipan memandikan jenazah, haid, nifas dan wiladah atau melahirkan anak.

Tiga perkara pertama melibatkan lelaki dan wanita, manakala haid, nifas dan wiladah khusus bagi wanita. Ustazah Asma turut menjelaskan cara mandi janabah berdasarkan hadis Saidatina Aisyah RA yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim.

Antara yang dilakukan Rasulullah SAW ialah membasuh kedua-dua tangan, berwuduk seperti wuduk untuk solat, menyelati pangkal rambut, menjirus kepala sebanyak tiga kali dan meratakan air ke seluruh tubuh.

Namun, tidak semua perkara tersebut merupakan rukun mandi wajib. Bagi memastikan mandi sah, perkara asas yang perlu dijaga ialah niat serta memastikan air sampai dan merata ke seluruh bahagian zahir badan yang wajib dibasuh.

Kalau baru ragu selepas selesai mandi?

mandi wajib

Kredit: Magnific

Menurut Imam Zainuddin al-Malibari dalam Fath al-Mu‘in, jika seseorang masih dalam proses mandi dan ragu sama ada sesuatu anggota sudah terkena air atau belum, bahagian tersebut perlu dibasuh.

Sebaliknya, jika keraguan hanya timbul selepas selesai mandi, ia tidak memberi kesan. Jika seseorang benar-benar yakin ada bahagian yang tidak terkena air, bahagian berkenaan perlu dibasuh sehingga terkena air. Keseluruhan mandi tidak perlu diulangi kerana tertib bukan syarat dalam mandi wajib.

Ustazah Asma turut mengingatkan bahawa seseorang tidak perlu memeriksa setiap bahagian tubuh berulang kali. Memadai dengan sangkaan kuat bahawa air telah merata ke seluruh badan.

Jika selepas solat hanya timbul rasa ragu, jangan terus menganggap mandi dan solat tidak sah. Namun, jika benar-benar diketahui ada bahagian wajib yang tidak terkena air, bahagian itu perlu dibasuh dan solat yang dilakukan sebelum mandi wajib disempurnakan perlu diulang.

Kesimpulannya, mandi wajib perlu dilakukan dengan sempurna, tetapi keraguan yang muncul selepas selesai mandi tidak seharusnya membuka ruang kepada waswas.

Baca juga: Bacaan Yasin Dalam Roblox Untuk Allahyarham Tun Dr Hasmah, Kreativiti Anak Muda Raih Perhatian

Sumber: Facebook Ustazah Asma Harun

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×