Euforia Bola 2026
Inspirasi

Cipta Sejarah Wanita Malaysia Pertama Raih PhD Bidang Elektrofisiologi, Suraya Banggakan Negara!

bidang elektrofisiologi

Bukan mudah untuk mengimbangi tugas merawat pesakit dengan penyelidikan di peringkat doktor falsafah, namun Dr. Suraya Hani Kamsani membuktikan kedua-duanya boleh berjalan seiring apabila mencipta sejarah sebagai wanita Malaysia pertama memperoleh PhD dalam bidang elektrofisiologi.

Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi di Institut Jantung Negara (IJN) itu menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang tersebut  daripada University of Adelaide, Australia.

Baca juga: Video 3 Remaja Jadi ‘Hero’ Tak Diduga, Terjun Sungai Tamparuli Selamatkan 2 Wanita Terperangkap Dalam Kereta

DR. SURAYA WANITA MALAYSIA PERTAMA RAIH PhD BIDANG ELEKTROFISIOLOGI

bidang elektrofisiologi

Gambar Facebook Institut Jantung Negara.

Pencapaian berkenaan bukan sekadar satu lagi kelayakan akademik buat Dr. Suraya, sebaliknya memperlihatkan bagaimana kepakaran klinikal boleh digabungkan dengan penyelidikan bagi meneroka pendekatan baharu dalam rawatan gangguan rentak jantung.

Bidang elektrofisiologi sendiri merupakan cabang khusus dalam kardiologi yang memberi tumpuan kepada diagnosis dan rawatan masalah berkaitan rentak jantung.

Fokus pada gangguan rentak jantung

Kepakaran Dr. Suraya banyak tertumpu kepada fibrilasi atrium serta teknologi ablasi lanjutan bagi merawat gangguan rentak jantung.

Beliau turut terbabit dalam penyelidikan berkaitan pulsed field ablation (PFA), iaitu teknologi baharu dalam rawatan gangguan rentak jantung, termasuk penyelidikan peringkat manusia pertama dalam bidang berkenaan.

Dalam masa sama, pengajian PhD tidak menyebabkan beliau meninggalkan tanggungjawab sebagai doktor.

Dr. Suraya terus mengendalikan kes gangguan rentak jantung yang kompleks selain menjalankan prosedur elektrofisiologi lanjutan seperti ablasi kateter serta pemasangan dan pengurusan peranti rentak jantung.

Bagi Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Datuk Dr. Shaiful Azmi Yahaya, pencapaian itu menunjukkan pentingnya penguasaan penyelidikan dan akademik dalam kalangan pakar perubatan.

“Keunggulan klinikal hari ini tidak boleh bergantung semata-mata kepada pengalaman dalam bilik rawatan. Ia juga perlu berasaskan penyelidikan, bukti dan pembelajaran berterusan.

“Apabila pakar kita terbabit secara aktif dalam penyelidikan dan pengajian akademik lanjutan, mereka lebih bersedia menilai teknologi baharu, mencabar amalan sedia ada dan membawa kemajuan bermakna ke dalam penjagaan pesakit,” katanya dalam kenyataan.

Baca juga: Pernah Bergelar Juara Dunia, Amatullah Hamidah Tambah Koleksi Kejayaan Pidato Raih Top 5 Di ‘Pentas Little Star’

Penyelidikan akhirnya kembali kepada pesakit

bidang elektrofisiologi

Gambar Facebook Institut Jantung Negara.

Menurut beliau, kejayaan Dr. Suraya turut memberi nilai kepada IJN dan bidang kardiovaskular negara kerana menggabungkan kepakaran klinikal dengan penyelidikan saintifik.

“Kami mahu melahirkan lebih ramai pakar klinikal yang mampu menyumbang kepada pengetahuan saintifik sambil terus memberikan penjagaan kepada pesakit.

“Itulah cara kita memperkukuh keupayaan sebagai pusat jantung nasional dan pada masa sama menyumbang kepada kemajuan penjagaan kardiovaskular,” katanya.

Bagi Dr. Suraya pula, perjalanan mendapatkan PhD memberi perspektif yang lebih mendalam terhadap hubungan antara penyelidikan dengan amalan klinikal.

Beliau melihat penyelidikan bukan sekadar proses untuk mendapatkan kelayakan akademik, tetapi satu cara untuk memahami dengan lebih kritikal setiap keputusan yang dibuat dalam rawatan pesakit.

“Bagi saya, mengikuti PhD bukan sekadar mendapatkan satu lagi kelayakan. Penyelidikan mengajar kita untuk bertanya, menilai bukti dengan lebih kritikal dan memahami mengapa kita melakukan sesuatu dalam amalan klinikal.

“Akhirnya, pengetahuan itu perlu kembali kepada pesakit, sama ada melalui pembuatan keputusan yang lebih baik, prosedur lebih selamat atau pendekatan baharu dalam rawatan,” katanya.

Pencapaian Dr. Suraya sekali gus menjadi perkembangan bermakna buat wanita Malaysia yang memilih bidang pengkhususan tinggi dalam perubatan kardiovaskular.

Pada masa sama, ia memperlihatkan laluan seorang pakar klinikal yang bukan sahaja berada di sisi pesakit, tetapi turut menyumbang kepada perkembangan ilmu dan inovasi perubatan melalui penyelidikan.

IJN juga terus memperkukuh aspek penyelidikan, pendidikan dan pembangunan kepakaran seiring dengan perkhidmatan klinikal, dengan harapan kemajuan dalam sains kardiovaskular dapat diterjemahkan kepada rawatan serta penjagaan pesakit yang lebih baik.

Sumber: Utusan Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×