Selepas helikopter yang menjalankan misi Flying Doctor Service (FDS) terhempas di Long Lellang, Baram, Sarawak, ramai mula mengenali nama perkhidmatan yang selama ini mungkin kurang diberi perhatian.
Helikopter BO-105 itu membawa lima individu termasuk seorang juruterbang ketika menjalankan penerbangan perkhidmatan Doktor Udara ke kawasan pedalaman pada 8 September 2026.
Baca juga: Penerbangan Perubatan Doktor Udara Bertukar Tragedi, Ini Kronologi Nahas Helikopter Di Long Lellang
INFO WIRA SENYAP ‘FLYING DOCTOR SERVICE’ (FDA)
Kesemua mereka disahkan meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.
Mereka ialah:
- Kapten Zainol (juruterbang)
- Dr Ainul Baraah Kamaruddin (pegawai perubatan)
- Alexson Adit (penolong pegawai perubatan)
- Debra Moset (jururawat)
- Jessie Paya (jururawat)
Namun, di sebalik tragedi tersebut, ada satu perkara yang mungkin masih menjadi persoalan ramai. Apakah sebenarnya tugas pasukan yang menaiki helikopter itu dan mengapa perkhidmatan sebegini begitu penting kepada masyarakat pedalaman?
Apa itu FDS?
Melalui perkongsian saudara Ahmad Nazrul, FDS atau Perkhidmatan Doktor Udara ialah perkhidmatan kesihatan bergerak melalui pengangkutan udara yang membawa pasukan perubatan ke kawasan pedalaman dan terpencil.
Di Sarawak, perkhidmatan ini diperkenalkan pada 1973 sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan akses kesihatan kepada penduduk yang tinggal jauh daripada kemudahan perubatan.
Matlamatnya cukup jelas.
Pasukan kesihatan pergi kepada penduduk, bukan menunggu penduduk melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan. Antara kawasan yang dilawati ialah kampung dan penempatan yang mempunyai akses terhad kepada klinik atau hospital.
5 TUGAS UTAMA PASUKAN FDS
Peranan pasukan ini sebenarnya lebih luas daripada sekadar membawa doktor ke kawasan pedalaman.
1. Membawa rawatan ke kawasan terpencil
Pasukan perubatan menjalankan pemeriksaan dan rawatan kepada penduduk yang sukar mendapatkan perkhidmatan kesihatan secara berkala.
2. Memberikan imunisasi dan vaksinasi
Perkhidmatan kesihatan termasuk pemberian imunisasi dan vaksinasi, khususnya kepada kanak-kanak di kawasan yang jauh daripada fasiliti kesihatan.
3. Menjaga kesihatan ibu dan anak
Pemeriksaan berkaitan ibu mengandung dan selepas bersalin, bayi serta kanak-kanak turut menjadi sebahagian daripada usaha memastikan kesihatan komuniti pedalaman terus dipantau.
4. Memberikan pendidikan kesihatan
Bukan sahaja datang membawa ubat, mereka juga membawa ilmu kepada masyarakat tentang kebersihan diri, pemakanan, kesihatan ibu dan anak, penyakit berjangkit, pencegahan penyakit dan penjagaan alam sekitar.
5. Mengesan masalah kesihatan lebih awal
Pemeriksaan secara berkala membantu petugas mengenal pasti keadaan kesihatan yang memerlukan perhatian lanjut atau rujukan ke fasiliti perubatan.
SIAPA YANG TERLIBAT DALAM FLYING DOCTOR SERVICE?

Gambar portal WHO
- Doktor: Menjalankan pemeriksaan, diagnosis dan rawatan.
- Jururawat dan penolong pegawai perubatan: Membantu mengendalikan pemeriksaan, rawatan serta perkhidmatan kesihatan lain.
- Juruterbang: Mengendalikan penerbangan dan membawa pasukan serta bekalan ke lokasi yang ditetapkan.
- Petugas sokongan: Membantu memastikan operasi dapat dijalankan mengikut keperluan misi.
Mereka bergerak sebagai satu pasukan kerana setiap perjalanan memerlukan persediaan dan koordinasi yang teliti.
TUGAS FDS DATANG DENGAN CABARAN TERSENDIRI
- Terbang merentasi hutan
- Melalui kawasan pergunungan
- Berdepan perubahan cuaca
- Mendarat di kawasan terpencil
- Membawa peralatan dan ubat
- Bekerja jauh dari keluarga
- Menghadapi risiko perjalanan udara
Apa yang kelihatan seperti sebuah penerbangan biasa dari jauh sebenarnya memerlukan keberanian dan komitmen tinggi daripada semua yang terlibat.
Kenapa perkhidmatan ini begitu penting?
Tanpa perkhidmatan seperti FDS, pemeriksaan kesihatan, imunisasi, rawatan dan pemantauan penyakit bagi masyarakat yang tinggal jauh di pedalaman boleh menjadi lebih sukar untuk diakses.
Sebab itu kehadiran pasukan perubatan di kawasan terpencil mempunyai nilai yang besar. Ia membantu memastikan lokasi tempat seseorang tinggal tidak menjadi sebab mereka terputus daripada perkhidmatan kesihatan.
Al-Fatihah buat mangsa yang beragama Islam dan salam takziah buat seluruh keluarga serta waris yang terlibat.
Semoga pengorbanan mereka terus dikenang, khususnya dalam usaha memastikan masyarakat di pedalaman turut mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Sumber: Facebook Ahmad Nazrul

