Ramai ibu bapa mungkin menganggap gigi berlubang sebagai masalah biasa yang boleh ditangguhkan selagi belum terasa sakit. Namun, jika mempunyai bayi di rumah, ada satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian iaitu risiko pemindahan bakteria melalui air liur.
SEBAB MAMA PAPA ADA GIGI BERLUBANG ELAK CIUM MULUT BAYI

Gambar hiasan: Gemini AI
Menerusi perkongsian Klinik Pergigian Nur’Ain, bakteria yang dikaitkan dengan kerosakan gigi iaitu streptococcus mutans boleh berpindah daripada penjaga kepada bayi menerusi pertukaran air liur.
Doktor gigi berkenaan menjelaskan, keadaan itu boleh berlaku melalui beberapa amalan harian yang mungkin selama ini dianggap perkara biasa.
“Betul ke kalau gigi berlubang, tak boleh cium bayi?
“Ya betul. Kalau gigi berlubang, ada satu bakteria yang dipanggil streptococcus mutans yang boleh berjangkit daripada ibu kepada bayi melalui air liur saja,” katanya menerusi penjelasan video di TikTok.
Jangan kongsi sudu atau kunyah makanan untuk bayi
Antara situasi yang boleh menyebabkan pertukaran air liur ialah mencium mulut bayi serta berkongsi sudu atau peralatan makan.
Malah, amalan mengunyah makanan terlebih dahulu sebelum memberikannya kepada bayi juga boleh menyebabkan air liur orang dewasa bercampur dengan makanan yang kemudiannya dimakan si kecil.
Pendedahan kepada bakteria ini bagaimanapun tidak bermaksud bayi akan terus mengalami gigi berlubang.
Sebaliknya, pendedahan awal kepada Streptococcus mutans merupakan antara faktor yang boleh mempengaruhi risiko karies gigi apabila gigi bayi mula tumbuh.
Sebab itu, ibu bapa disarankan mengambil perhatian terhadap kesihatan gigi dan mulut sendiri.
“Jadi kepada ibu bapa, cuba periksa gigi anda ketika memberus gigi. Ada tak gigi yang berlubang?” katanya.
Baca juga: Anak Sering Mengamuk Ketika Berus Gigi? Doktor Kongsi Cara Selesaikan ‘Struggle’ Ini!

Gambar hiasan: Gemini AI
Bukan tak boleh cium bayi langsung
Pada masa sama, ibu bapa yang mempunyai masalah gigi tidak bermaksud perlu menjauhkan diri daripada bayi atau mengelakkan semua bentuk ciuman.
Apa yang lebih penting ialah mengurangkan amalan yang menyebabkan air liur orang dewasa masuk secara terus ke dalam mulut bayi.
Antara langkah yang boleh diamalkan ialah:
- Elakkan mencium mulut bayi, terutama jika mempunyai masalah gigi atau gusi yang aktif.
- Jangan berkongsi sudu, cawan atau makanan dengan bayi.
- Jangan masukkan puting bayi ke dalam mulut sendiri untuk ‘membersihkannya’.
- Jaga kebersihan mulut dan dapatkan pemeriksaan serta rawatan jika mempunyai gigi berlubang.
Ibu ayah masih boleh memeluk dan mendukung bayi seperti biasa. Ciuman di dahi atau pipi juga tidak menjadi masalah seperti perkongsian air liur secara terus.
Jadi, jika ada masalah gigi, jangan tunggu sehingga sakit baru mahu mendapatkan rawatan. Menjaga kesihatan mulut sendiri bukan sahaja penting untuk ibu dan ayah, malah membantu mengurangkan pendedahan bayi kepada bakteria yang boleh mempengaruhi kesihatan gigi mereka apabila membesar.
@nuraindental“Doktor, betul ke kalau gigi berlubang tak boleh kiss baby?” 👶🏻🦷 Ini antara soalan yang mungkin ramai ibu ayah pernah tertanya-tanya juga. 😅 Jawapan ringkasnya: gigi berlubang itu sendiri bukan bermaksud anda terus tak boleh cium baby. Tapi ada satu perkara yang kita kena faham. Bakteria yang menyebabkan karies boleh berpindah melalui air liur. Jadi, perkongsian air liur antara ibu atau ayah dengan baby memang sebaiknya dielakkan. Contohnya: 👶🏻 Jangan cium mulut baby 🥄 Elakkan kongsi sudu atau makanan 🍼 Jangan masukkan puting yang jatuh ke dalam mulut sendiri sebelum beri kepada baby 💋 Elakkan berkongsi berus gigi Lebih-lebih lagi kalau ibu atau ayah mempunyai masalah gigi berlubang atau kebersihan mulut yang kurang baik. Bukan bermaksud kena jauhkan diri daripada baby pula. 😂❤️ Peluk boleh, dukung boleh, cium dahi atau pipi pun boleh. Yang penting, elakkan perkongsian air liur secara terus. Dan kalau ada gigi berlubang, jangan biarkan lama. Dapatkan pemeriksaan supaya masalah tersebut boleh dirawat dan kesihatan mulut ibu ayah pun terjaga. 🦷✨ Sebab kadang-kadang soalan yang nampak simple macam ni sebenarnya ada kaitan dengan kesihatan gigi si kecil juga. 👶🏻 #KlinikPergigianNurAin #GigiBerlubang #KariesGigi #KesihatanGigiAnak #GigiBayi #DentalCare #KidsDental #ParentingTips #DentistMelaka #KlinikGigiMelaka♬ original sound – Klinik Pergigian Nur’Ain
Sumber: Klinik Pergigian Nur’Ain
