Isteri meninggal dunia hanya beberapa jam selepas suaminya dikebumikan, satu kehilangan berganda yang tidak pernah dijangka keluarga.
Lebih menyentuh hati, wanita berkenaan sempat menyaksikan sendiri pengebumian suaminya, menyiram pusara dan berbual dengan ahli keluarga sebelum menghembuskan nafas terakhir pada petang yang sama.
ISTERI MENINGGAL DUNIA 20 JAM SELEPAS KEMATIAN SUAMI

Menerusi perkongsian di media sosial, Haziq memaklumkan arwah atuknya meninggal dunia pada 26 Ogos 2026, kira-kira jam 7.56 malam sebelum selamat dikebumikan pada keesokan harinya.
Menurut Haziq, keluarga sudah bersedia menerima pemergian arwah atuk selepas doktor memaklumkan keadaannya berada pada tahap kritikal.
Namun, tiada siapa menyangka pemergian itu akan disusuli dengan berita duka apabila opah pula meninggal dunia hanya beberapa jam selepas selesai pengebumian suaminya.
Haziq berkata, pada pagi 27 Ogos, arwah opah sempat menyaksikan sendiri jenazah suaminya dibawa ke liang lahad dan dikebumikan.
Malah, arwah turut menyiram kubur atuk selepas pengebumian selesai dan masih sempat berbual dengan saudara-mara yang hadir.
“Selang beberapa jam, opah pula dijemput Ilahi. Pagi itu, opah tengok atuk dimasukkan ke dalam liang lahad dan ditanam. Siap siram kubur atuk lagi dan sempat berbual dengan saudara-mara selepas selesai kebumi atuk,” katanya.
Namun, keadaan berubah sekitar jam 3.50 petang apabila opah dikatakan mahu pergi mandi tetapi tidak mampu untuk bangun.
Keadaan itu disedari oleh seorang ibu saudara Haziq yang mendapati arwah kelihatan berbeza daripada biasa.
Sempat tinggalkan kata-kata ketika cium jenazah

Menurut Haziq, opah turut memaklumkan bahawa dirinya tidak dapat bernafas sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Arwah opah cium jenazah atuk dan cakap, ‘bila nak jumpa lagi ni bang, nanti kita jumpa ya’. Tak sangka, secepat itu opah pergi. Memang tak dijangka kami sekeluarga,” luahnya.
Lebih menyentuh hati, Haziq berkata dirinya dibesarkan dan dijaga oleh arwah opah dan atuk sejak kecil ketika ibu bapanya keluar bekerja.
Justeru, kehilangan kedua-dua insan tersebut dalam tempoh yang begitu singkat menyebabkan dirinya masih sukar memproses apa yang berlaku.
Haziq turut berkongsi bahawa individu yang menguruskan urusan pengebumian juga terkejut dengan pemergian arwah opah yang berlaku tidak sampai 24 jam selepas suaminya.
Katanya, kejadian seumpama itu biasanya berlaku beberapa hari selepas salah seorang pasangan meninggal dunia, namun pemergian opah berlaku begitu pantas.
“Pasangan sehidup semati, insya-Allah pasangan syurga opah dan atuk. Semoga arwah opah dan atuk ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Kita jumpa kat sana ye opah, atuk,” tulisnya.
Perkongsian tersebut turut mengundang sebak warganet yang menyifatkan pemergian kedua-duanya sebagai satu kisah cinta sehidup semati.
“Innalillahiwainnailaihirojiun, betul lah kata-kata ‘cinta sehidup semati’. Semoga arwah atuk dan opah ditempatkan di syurga yang tertinggi, aamiin,” komen seorang warganet.
Sumber: Threads Haziq Azmin
