Keinginan untuk mempunyai anak lelaki dipercayai menjadi punca seorang wanita sanggup menculik seorang budak lelaki berusia tiga tahun dari sebuah hospital.
Wanita berkenaan yang mempunyai enam anak perempuan bertindak membawa lari kanak-kanak terbabit sebelum membawanya ke kampung halamannya di Bihar.
CULIK BUDAK LELAKI SEBAB TERINGIN ANAK LELAKI

Memetik laporan NDTV, mangsa bagaimanapun berjaya ditemui dalam keadaan selamat di daerah Munger, Bihar, pada Isnin selepas polis berjaya menjejaki suspek menerusi siasatan yang dijalankan.
Kes tersebut mula dikesan selepas polis menerima laporan berhubung kehilangan kanak-kanak berkenaan ketika dia sedang bermain di Hospital Guru Gobind Singh, ketika ibunya mendapatkan rawatan.
Susulan laporan itu, Timbalan Komisioner Polis (Barat) mengarahkan penubuhan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan lanjut.
Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hospital, polis mendapati seorang wanita yang tidak dikenali membawa kanak-kanak tersebut keluar dari kawasan berkenaan.
Rakaman keselamatan turut menunjukkan wanita itu menaiki e-beca sebelum bergerak ke arah Kampung Madipur.
Siasatan polis kemudiannya membawa kepada pengenalpastian wanita berkenaan sebagai Chunri Devi, 31, yang sebelum ini menyewa sebuah rumah di Kampung Madipur.
Suspek melarikan diri ke kampung halaman

Bagaimanapun, ketika polis tiba di rumah sewanya, suspek dipercayai telah melarikan diri ke kampung halamannya di Bihar.
Berdasarkan risikan teknikal serta maklumat daripada penduduk tempatan, pasukan dari Balai Polis Khyala kemudian bergerak ke Kampung Asnaha di Munger bagi mengesan suspek.
Serbuan yang dijalankan di lokasi berkenaan membawa kepada penemuan kanak-kanak lelaki itu dalam keadaan selamat.
Mangsa kemudiannya dibawa kembali ke Delhi untuk diserahkan kepada keluarganya.
Ketika disoal siasat, Chunri Devi yang berasal dari daerah Banka, Bihar, memberitahu polis bahawa dia mempunyai enam anak perempuan.
Wanita berusia 31 tahun itu turut mendakwa dirinya tidak lagi mampu hamil akibat masalah kesihatan.
Menurut pengakuannya kepada polis, dia menculik kanak-kanak tersebut dari hospital dengan niat untuk membawanya pulang dan membesarkannya sebagai anak lelakinya sendiri.
Kanak-kanak berkenaan akhirnya berjaya diselamatkan dan dikembalikan kepada keluarganya di Delhi.
Baca juga: Tuala Makin Lama Makin Bau Kepam? Rupanya Ini Cara Basuh Yang Betul, Jangan Campur Dengan Baju!
Sumber: NDTV
