Euforia Bola 2026
Famili

Anak Dah Tidur Tapi Kenapa Ibu Masih Sukar ‘Off’ Minda Walaupun Dah Penat?

Jam menunjukkan tepat pukul 11 malam. Suasana rumah yang tadinya riuh dengan jeritan dan gelak tawa anak-anak kini bertukar sunyi sepi. Suami dan si kecil semuanya sudah nyenyak dibuai mimpi.

Ikutkan rasa penat, inilah masanya untuk ibu rebahkan badan dan pejamkan mata. Tapi realitinya? Kaki dan tangan masih lagi ‘laju’ bergerak. Capai kain lap meja, kutip mainan bertaburan di lantai, susun pinggan di sinki dan lipat kain baju yang makin menggunung.

Pernah tak anda alami situasi begini? Mata dah berat, badan rasa penat, tapi fikiran langsung tak boleh nak pause?

Baca juga: Bukan Tolong, Tapi Sama-Sama Buat. 5 Tugasan Rumah Yang Ayah Boleh ‘Take Over’ Tanpa Perlu Disuruh

Beban Mental, Penat Yang Tak Nampak Di Mata

Ramai ingat tugas seorang ibu atau suri rumah cuma penat dari segi fizikal. Hakikatnya, apa yang lebih memakan tenaga adalah beban mental yang diusung sepanjang hari tanpa henti.

Beban fizikal apabila membasuh pinggan atau menyapu lantai. Tapi beban mental pula ialah senarai semak yang sentiasa berjalan secara automatik dalam otak ibu.

“Esok nak masak apa?”

“Stok lampin dan susu anak dah nak habis, kena beli esok.”

“Baju sekolah anak dah siap gosok ke belum?”

“Kenapa anak bongsu macam nak dedar tadi?”

Lambakan maklumat yang tak pernah selesai ini membuatkan sistem saraf anda sentiasa berada dalam mod ‘berjaga-jaga’. Perkara inilah yang buat otak sukar untuk betul-betul berehat walaupun dalam suasana tenang.

Kenapa Otak Ibu Sukar Shut Down Pada Waktu Malam?

Kalau anda terfikir kenapa tabiat ini sukar untuk dihentikan, ini antara punca utamanya:

  • Sindrom “sekali harung” di mana ibu selalu rasa, “Kemas malam ni, esok bangun tak serabut.” Tapi hakikatnya, kerja rumah memang takkan pernah ada titik noktah.
  • Waktu malam selepas anak tidur kerap jadi satu-satunya masa ibu ada kawalan penuh ke atas persekitaran sendiri tanpa sebarang gangguan.
  • Ada dorongan emosi yang buat ibu rasa bersalah nak duduk berehat selagi nampak keadaan rumah tak tersusun.

Bahaya Parental Burnout Secara Senyap

Kebiasaan menunda waktu rehat ini jika dibiarkan berterusan boleh membawa kepada parental burnout. Bila minda tak dapat rehat yang secukupnya, ibu akan mudah rasa lesu, hilang sabar dan cepat marah pada anak-anak.

Rumah yang tersusun rapi tak membawa makna jika kesihatan mental dan fizikal seorang ibu itu ‘roboh’.

Langkah Ringkas ‘Paksa’ Minda Berehat

Bagi membantu anda melepaskan bebanan fikiran sebelum masuk tidur, cuba amalkan beberapa langkah mudah ini:

  • Amalkan peraturan 80/20. Belajar melepaskan apa yang tak penting. Biarkan kain yang belum berlipat itu semalam dua. Rumah yang sedikit selerak takkan meruntuhkan keharmonian keluarga.
  • Amalkan teknik brain dump. Sebelum tidur, tulis semua perkara atau tugasan esok hari dalam nota telefon atau kertas. Keluarkan semua maklumat tersebut dari otak anda.
  • Tetapkan cut-off time yang tegas. Contohnya, pukul 10.30 malam ialah waktu rasmi untuk berhenti buat kerja rumah sama ada siap atau tidak.
  • Kongsi beban dengan pasangan dan berbincang secara terbuka. Agihkan tugasan secara spesifik tanpa perlu rasa segan atau bersalah.

Menjadi seorang ibu memang tugas yang mulia, namun anda juga manusia biasa yang memerlukan rehat yang berkualiti. Sayangi diri dulu sebelum menjaga seluruh isi rumah.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×