Euforia Bola 2026
Famili

Cucu Buang Sampah…Dua Keluarga Berjiran Gaduh Gempar Dengan Saling Memukul, Dihadapkan Ke Mahkamah!

dua keluarga

Perkara kecil seperti sampah yang masuk ke kawasan rumah orang lain bertukar serius apabila dua keluarga berjiran di Alai, Melaka terlibat dalam pergaduhan sebelum kes itu akhirnya dibawa ke mahkamah.

Lima individu daripada kedua-dua keluarga itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Khamis atas pertuduhan melakukan gaduh gempar di tempat awam.

Baca juga: Video “Assalamualaikum Isteriku” Buat Ramai Sebak… Baru Dua Hari Bergelar Suami, Muhammad Alif Maut Kemalangan

DUA KELUARGA BERJIRAN GADUH GEMPAR DIHADAPKAN KE MAHKAMAH

dua keluarga

Gambar Sinar Harian: Dari kanan Deni, Nurathirah Natasha dan W Norizan beriringan keluar dari Mahkamah Majistret sejurus selepas selesai pertuduhan dibacakan.

Tiga beranak iaitu W Norizan W Husain, 50, bersama anaknya, Nurathirah Natashha Kamarul Zaman, 28, dan Muhammad Alif Najmi Kamarul Zaman, 21, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Bagaimanapun, pasangan jiran mereka, Md Isaa Osman, 62, dan isterinya, Deni Rismayani Purba, 53, memilih untuk tidak mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan gaduh gempar dengan memukul antara satu sama lain di tempat awam di Jalan Permatang Pasir, Alai, sekitar jam 3.45 petang pada 15 Oktober 2025.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Baca juga: “Doakan Mereka”- 9 Pendaki Malaysia Gagal Dihubungi Selepas Banjir Nepal, Risiko ‘Team Loe’ Kena Kepala Air Sangat Tinggi

Difahamkan, kejadian bermula selepas cucu W Norizan yang berusia 11 tahun dimarahi jiran berkenaan kerana membuang sampah sehingga masuk ke kawasan rumahnya.

Teguran itu kemudian mencetuskan perselisihan faham sebelum keadaan menjadi semakin tegang dan akhirnya membawa kepada pergaduhan.

Berdasarkan pertuduhan, kelima-lima mereka didakwa saling memukul antara satu sama lain dalam kejadian berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Mawardi Zainudin.

Siti Nur Alia mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap Md Isaa, sementara tiada jaminan ditawarkan kepada Deni yang berstatus warga Indonesia.

Bagaimanapun, Mawardi memohon jumlah lebih rendah dengan memaklumkan Md Isaa tidak bekerja dan hanya membantu isterinya berniaga dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

Dia juga masih menanggung seorang anak berusia 20 tahun yang sedang mengikuti pengajian diploma.

Mahkamah kemudian membenarkan Md Isaa dan Deni diikat jamin RM1,000 serta menetapkan 12 Oktober depan untuk penyerahan dokumen dan urusan lantikan peguam.

Tiga beranak didenda RM600 seorang

dua keluarga

Gambar Sinar Harian: Muhammad Alif Najmi (kanan) dan Md Isaa dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas pertuduhan dibacakan.

Sementara itu, Mawardi turut memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap tiga beranak yang mengaku bersalah. Antara alasan dikemukakan ialah pengakuan tersebut menjimatkan masa serta kos mahkamah dan pihak pendakwaan.

Ketiga-tiga mereka juga dikatakan menyesal atas perbuatan tersebut dan berjanji tidak akan mengulanginya, selain tidak mempunyai rekod kesalahan sebelum ini.

Mahkamah akhirnya menjatuhkan denda RM600 setiap seorang, atau penjara selama sebulan jika gagal membayar denda.

Kes berkenaan menjadi peringatan bahawa perselisihan faham antara jiran, walaupun bermula daripada perkara yang kelihatan kecil, boleh menjadi lebih serius apabila masing-masing gagal mengawal keadaan.

Sumber: Sinar Harian

FT Image: Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×