Euforia Bola 2026
Famili

“Doakan Mereka”- 9 Pendaki Malaysia Gagal Dihubungi Selepas Banjir Nepal, Risiko ‘Team Loe’ Kena Kepala Air Sangat Tinggi

pendaki malaysia

Kebimbangan menyelubungi perjalanan sekumpulan pendaki Malaysia selepas sembilan rakyat negara ini yang dalam dalam perjalanan menuju Lhasa Tour, Tibet dilaporkan gagal dihubungi ketika melalui kawasan berhampiran sempadan Rasuwagadhi-Kerung, Nepal.

Baca juga: Tragedi Pagi Nan Pilu… Bapa & Anak Rentung Dalam Kebakaran, Ditemui Berpelukan Dalam Bilik Tidur

BANJIR NEPAL: 9 PENDAKI MALAYSIA GAGAL DIKESAN

pendaki malaysia

Gambar AFP

Kumpulan berkenaan dipercayai berada kira-kira 18 kilometer dari sempadan Nepal-Tibet ketika kejadian kepala air berlaku susulan banjir besar yang melanda daerah Rasuwa.

Kesemua mereka yang berusia antara 40 hingga 65 tahun itu diketuai wakil operator pendakian warga Nepal, Ganesh Neupane.

Menurut laporan media tempatan, sembilan rakyat Malaysia berkenaan ialah:

  1. Shabuddin Mun
  2. Azman Karim
  3. Mohd Fadzil Daros
  4. Muhammad Haziq Ismail
  5. Mohd Mohan Salim
  6. Jason Ngeow
  7. Muhamad Nasir Abdul Talib
  8. Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa
  9. Mohd Sani Harul

Rakan kumpulan berkenaan, Azrul Zabani berkata, mereka bertolak dari Kathmandu kira-kira jam 3.30 pagi dengan menaiki dua buah jip sebelum meneruskan perjalanan ke sempadan Nepal-Tibet.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada operator pendakian di Nepal, kejadian kepala air dipercayai berlaku sekitar jam 9 hingga 10 pagi waktu tempatan ketika kesemua mereka masih berada dalam jip.

“Analisis risiko saya mengatakan mereka kena kepala air sangat tinggi kerana mereka berada di jalur laluan kepala air, sebab kawasan ni lembah.

“Semasa berlaku kepala air, Jeep mereka lagi 18 kilometer nak sampai ke sempadan Nepal-Tibet, Rasuwagadhi – Kerung (Gyirong).

“Selepas kejadian itu, pihak operator tidak mendapat apa-apa lagi sebarang berita daripada mereka,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Azrul yang juga seorang pendaki berpengalaman bagaimanapun berharap kesemua mereka sempat melepasi kawasan sempadan sebelum kejadian berlaku.

Menurutnya, jika kumpulan itu sudah selesai urusan di sempadan sebelum jam 9 hingga 10 pagi, kebarangkalian mereka untuk selamat adalah lebih tinggi.

pendaki malaysia

Gambar AFP.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan

Dalam pada itu, usaha mencari dan menyelamat sedang digerakkan pihak berkuasa Nepal, namun keadaan di lokasi bencana dilaporkan mencabar dan terdapat kawasan yang berbahaya untuk dimasuki pasukan penyelamat.

Kedutaan Besar Malaysia di Nepal juga sedang berusaha mendapatkan maklumat terkini mengenai nasib kumpulan berkenaan.

Perkembangan itu berlaku ketika jumlah rakyat Malaysia yang gagal dihubungi susulan banjir besar di daerah Rasuwa dilaporkan meningkat kepada 55 orang berdasarkan maklumat terkini yang diterima Wisma Putra daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber berkaitan.

Banjir kilat besar yang melanda kawasan berkenaan turut menyebabkan kerosakan terhadap jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan kemudahan lain berhampiran kawasan pergunungan di sempadan Tibet.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Rohana Man turut memohon orang ramai mendoakan keselamatan rakannya yang berada bersama kumpulan tersebut selepas gagal menghubungi mereka menerusi WhatsApp sejak malam Rabu.

Dia berharap kesemua mereka berada dalam keadaan selamat dan urusan pasukan mencari serta menyelamat dipermudahkan.

Dalam situasi yang masih belum mempunyai perkembangan muktamad mengenai nasib sembilan pendaki terbabit, keluarga dan rakan-rakan mereka kini terus menantikan khabar berita sambil berharap kesemua mereka ditemukan dalam keadaan selamat.

Sumber: Sinar Harian

FT Image: Kosmo! / Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×