Keindahan seni bina dan peranan dalam pembangunan komuniti membawa nama Masjid Sri Sendayan ke pentas antarabangsa apabila masjid berkenaan dinobatkan sebagai Global Outstanding Mosque of the Year 2026.
Pengiktirafan itu diterima sempena World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), Isnin lalu. Di mana, anugerah berkenaan disampaikan kepada Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid Sri Sendayan, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
MASJID SRI SENDAYAN TERIMA PENGIKTIRAFAN GLOBAL
Bukan sekadar tempat ibadah
Masjid yang mampu menampung kira-kira 5,000 jemaah itu diiktiraf kerana berjaya menggabungkan elemen seni bina Islam, penghayatan agama serta usaha membangunkan komuniti.
Penganjur WITA menyifatkan Masjid Sri Sendayan sebagai lebih daripada sekadar rumah ibadah, sebaliknya sebuah institusi yang mengangkat nilai keharmonian, ihsan dan kerohanian.
Masjid yang siap dibina pada 2019 itu turut menjadi contoh pengurusan masjid moden menerusi usaha menyuburkan ilmu dan melaksanakan pelbagai khidmat untuk masyarakat.
Pengiktirafan tersebut sekali gus mengetengahkan peranan masjid sebagai ruang yang terbuka kepada jemaah serta pengunjung dari dalam dan luar negara.
Bagi pelancong antarabangsa, kewujudan masjid itu turut memberi peluang untuk mengenali seni bina Islam selain memahami kehidupan masyarakat dan nilai Islam dalam konteks Malaysia masa kini.
Seni bina diinspirasikan era Abbasiyah
Masjid Sri Sendayan dibangunkan di kawasan seluas lebih empat hektar berhampiran tasik dengan reka bentuk yang mendapat inspirasi daripada seni bina era Abbasiyah dan dihiasi elemen Mamluk.
Pembinaannya mengambil masa kira-kira empat tahun dengan melibatkan kepakaran tukang tempatan serta antarabangsa. Bahan binaan pula diperoleh dari beberapa negara termasuk Itali, Dubai, Portugal, Mesir dan India.
Antara ciri yang menyerlahkan kompleks masjid itu ialah dua menara, sebuah kubah utama, gerbang monumental serta kawasan laman dan landskap yang luas.
WITA turut melihat masjid berkenaan sebagai mercu tanda keimanan, ilmu, keharmonian dan kecemerlangan yang membawa nilai Islam ke peringkat global.

Gambar WITA
Separuh aktiviti fokus komuniti
Menurut Abdul Rashid, pengurusan masjid sejak awal lagi mahu memastikan institusi berkenaan memberi manfaat kepada agama dan masyarakat secara seimbang.
Katanya, kira-kira separuh daripada aktiviti yang dianjurkan berteraskan keagamaan, manakala baki 50 peratus lagi memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti.
Program berkenaan merangkumi usaha memperkukuh ilmu, kemahiran serta hubungan dalam kalangan masyarakat, di samping aktiviti ibadah dan pembelajaran agama.
Beliau turut berpandangan bahawa institusi masjid perlu membantu masyarakat bersedia menghadapi perubahan dunia, termasuk perkembangan teknologi.
Atas sebab itu, pendedahan terhadap pengetahuan kontemporari seperti kecerdasan buatan (AI) turut diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pembelajaran masyarakat.
Pengiktirafan WITA 2026 itu mengukuhkan lagi kedudukan Masjid Sri Sendayan sebagai antara destinasi pelancongan keagamaan dan mesra Muslim yang mempunyai daya tarikan tersendiri di Malaysia.
Sumber: Berita Harian
FT Image: WITA

