Seorang guru sebuah sekolah kampung di Sarawak berkongsi kisah menyentuh hati selepas tersedar seorang muridnya hadir ke sekolah dengan seluar sekolah koyak. Menurut perkongsian @nfsbri_, perkara itu disedarinya ketika bertugas di pintu pagar sekolah pada waktu pagi.
Baca juga: Gara-Gara Jawab ‘Ponteng Kot’, Pelajar 15 Tahun Dipukul Rakan Perempuan Hingga Patah Hidung!
SELUAR SEKOLAH KOYAK, CIKGU TAK SAMPAI HATI

Melihat keadaan murid berkenaan, guru tersebut segera mencari seluar ganti yang ada di sekolah untuk dipakaikan kepadanya supaya dia dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan selesa.
“Pagi tadi masa cikgu bertugas di pagar, cikgu ternampak seorang murid masuk ke sekolah dengan seluar yang sudah koyak. Ya Allah… sedih sangat melihat dia datang ke sekolah dengan seluar dalam keadaan sebegitu.
“Cikgu terus cari seluar spare di sekolah untuk dia pakai sementara. Tak sanggup rasanya nak biarkan dia duduk belajar seharian dalam keadaan begitu. Petang tadi, selesai sahaja urusan di sekolah, cikgu terus keluar mencari baju dan seluar sekolah yang baru untuknya,” luahnya.
Menurut guru berkenaan, pihak sekolah sememangnya sentiasa berusaha membantu murid yang memerlukan, termasuk menyediakan pengumpulan barangan untuk mereka yang berada dalam kesusahan.
Namun, kejadian tersebut membuatkan guru itu terfikir bahawa masih ada murid yang mungkin memilih untuk berdiam diri dan tidak meminta bantuan walaupun sedang berdepan kesulitan.
Hanya tinggal dengan ibu sahaja

Difahamkan, murid tersebut kini dijaga oleh ibunya selepas ibu bapanya berpisah. Walaupun berdepan keadaan sedemikian, murid itu tidak pernah meminta apa-apa. Dia tetap hadir ke sekolah dan meneruskan pembelajaran seperti biasa.
“Murid ini dijaga oleh ibunya selepas ibu bapanya berpisah. Dia tak meminta apa-apa pun. Tetap datang sekolah, tetap belajar seperti biasa.
“Kadang-kadang Allah izinkan mata kita terlihat sesuatu bukan secara kebetulan. Mungkin supaya kita sedar, kemudian diberi peluang untuk membantu.
“Semoga membesar jadi anak yang baik. Hari ini cikgu belikan pakaian sekolah untukmu hasil daripada rezeki yang dikirim oleh orang-orang baik,” jelasnya.
Guru itu turut menitipkan doa agar murid berkenaan suatu hari nanti dapat membahagiakan ibunya dan menjadi individu yang membawa kebaikan kepada orang lain.
Perkongsian itu turut mendapat pelbagai komen daripada orang ramai yang tersentuh dengan keprihatinan guru berkenaan terhadap muridnya.
Baca juga: Kulit Buah Naga Pun Boleh Jadi ‘Petunjuk’, Ini 3 Ciri Nak Tahu Isinya Manis & Elok!
Sumber: Threads nfsbri_
