Famili

3 Jenis Rawatan Kesuburan yang Boleh Dipertimbangkan Untuk Memiliki Zuriat Sendiri

9.4K
SHARES

Kredit foto – CDC

Pasti sudah menjadi impian setiap pasangan berkahwin untuk memiliki zuriat sendiri, namun tidak semua orang bernasib baik dikurniakan rezeki untuk menimbang cahaya mata dengan segera.

Memetik kata-kata Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia kepada Sinar Harian, antara punca utama masalah kesuburan semakin meningkat adalah perkahwinan di lanjut usia. Ini kerana tahap kesuburan akan semakin berkurangan apabila meningkat umur.

Bagi mengatasi masalah kesuburan, ramai diantara kita memilih untuk menjalani rawatan. Tapi, tak ramai yang sedia maklum tentang kaedah rawatan yang tersedia di Malaysia.

Ini 3 Kaedah Rawatan Kesuburan yang boleh anda pertimbangkan

Intra-Uterine Insemination (IUI) 

Kredit Video – Patreskovic

Melalui kaedah ini, sperma yang telah dibersihkan bakal diletakkan ke dalam uterus ataupaun rahim semasa proses ovulasi berlaku. Sebelum itu, sampel sperma si suami perlu diserahkan untuk diasingkan dan dicuci, hanya sperma yang berkualiti akan dipilih bagi meningkatkan potensi untuk hamil.

Kaedah ini mungkin juga dijalankan dengan pengambilan ubat ataupun suntikan kesuburan untuk memastikan si isteri mampu menghasilkan lebih banyak telur dari ovari.

Risiko

  • Tahap keberhasilan rendah untuk wanita berusia 40 tahun ke bawah
  • Rawatan ini mungkin perlu diulangi beberapa kali
  • Purata kejayaan rawatan adalah sekitar 10-15%

Jangka masa proses IUI: Kebiasaanya proses ini hanya mengambil masa beberapa minit dan tidak menyakitkan.

Harga: Dianggarkan sekitar RM2600 (harga adalah berbeza mengikut institusi perubatan yang dipilih)

In vitro fertilization (IVF)

Kredit Video – Patreskovic

IVF adalah salah satu rawatan kesuburan yang boleh dikatakan agak popular. Kaedah yang juga dikenali sebagai ’bayi tabung uji’ ini biasanya melibatkan proses suntikan untuk merangsang penghasilan telur si isteri. Kemudian, telur dan sperma akan disatukan secara manual dan dipantau melalui sebuah makmal.

Embrio akan terbentuk sekiranya penyatuan telur dan sperma berjaya. Embrio tersebut kemudian akan dipindahkan ke uterus si isteri. Jika terdapat lebih dari satu embrio yang terbentuk, ianya boleh disimpan dan digunakan semula, kaedah ini dikenali sebagai pemindahan embrio beku (frozen embryo transfer).

Risiko

  • Si isteri berisiko mengalami ‘Ovarian Hyper-Stimulation Syndrome’ (OHSS)
  • OHSS adalah satu situasi di mana badan akan bertindak secara berlebihan setelah mengambil suntikan rangsangan ovari
  • Sindrom ini boleh dikawal dengan pengambilan ubat-ubatan

Jangka masa proses IVF: IVF boleh memakan masa beberapa minggu dari bermulanya pengambilan suntikan rangsangan untuk ovari sehinggalah pemindahan embrio.

Harga: Dianggarkan sekitar RM10,000-RM18,000 (harga adalah berbeza mengikut institusi perubatan yang dipilih)

Intra-cytoplasmic sperm injection (ICSI)

Kredit Video – Patreskovic

Sekiranya rawatan IVF tidak berjaya, pesakit disarankan untuk mencuba kaedah ICSI yang mana sperma terpilih akan disuntik secara terus ke dalam telur di bawah mikroskop. Prosesnya lebih kurang IVF di mana, setelah embrio terbentuk ia akan terus dipindahkan ke uterus.

Kaedah ini disyorkan buat suami yang mempunyai masalah kurang penghasilan sperma ataupun mempunyai masalah ereksi dan ejakulasi. Tahap keberjayaan ICSI juga bergantung kepada faktor umur, kerana mereka yang berusia lebih muda berpotensi untuk mempunyai telur yang lebih sihat sekaligus akan meningkatkan peluang untuk hamil

Risiko

  • Sekiranya prosedur ini tidak dijalankan secara teliti ia mungkin menghasilkan telur yang kurang sihat
  • Menurut portal Drafare, ICSI mungkin meningkatkan risiko kecacatan pada bayi namun ianya sangat jarang berlaku

Jangka masa proses ICSI: Mengambil masa selama beberapa minggu. Adakalanya anda perlu menghabiskan masa yang agak panjang di klinik untuk proses pengeluaran telur dan sperma.

Harga: Dianggarkan sekitar RM10,000–RM15,000 (harga adalah berbeza mengikut institusi perubatan yang dipilih)

Sudah bersedia untuk jalani rawatan kesuburan tetapi belum cukup wang? Badan kerajaan dan bukan kerajaan di bawah sedia membantu anda dan pasangan

Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF)

Kredit Foto – NST

 

Diasaskan oleh Raja Permaisuri Agong, TAFF ditubuhkan bagi membantu pasangan yang kurang berkemampuan untuk menjalani rawatan kesuburan. Objektif utama pertubuhan ini adalah untuk bersama-sama mencapai tahap kesihatan yang baik terutama sekali dari segi kesihatan reproduktif dan mencegah kemandulan.

Selain itu, TAFF yang mula diasaskan pada tahun 2004 juga menyediakan perkidmatan kaunseling serta penkhidmatan sokongan yang berkaitan untuk semua lapisan masyarakat tidak mengenal bangsa, agama ataupun negeri asal.

Syarat kelayakan

  • Berdaftar sebagai pasangan suami isteri
  • Pasangan suami isteri adalah rakyat Malaysia
  • Umur isteri tidak melebihi 45 tahun
  • Bukan penderma sperma / ovum
  • Maksimum pendapatan bulanan bersama pasangan tidak melebihi RM4,000.00
  • Tempoh perkahwinan melebihi 3 tahun

Bagi mendapatkan borang permohonan anda boleh terus ke klinik fertiliti yang mengambil bahagia. Untuk senarai penuh klinik yang terlibat sila  klik di sini atau anda juga boleh menulis surat kepada alamat di bawah

Tunku Azizah Fertility Foundation
Istana Abdulaziz, Bandar Indera Mahkota
25200 Kuantan, Pahang Darul Makmur
Tel. : 09-573 3241
Email : [email protected]

IVFKasih

IVFKasih adalah satu langkah yang ditawarkan untuk pasangan suami-isteri yang kurang berkemampuan untuk menjalani rawatan IVF di pusat fertiliti swasta. Melalui klinik Kasih mereka menawarkan rawatan kesuburan ini hanya pada harga RM8,800 sahaja dengan pakej yang merangkumi kos doktor, kos kejururawatan, operasi dan juga bilik pemulihan.

Bayaran tersebut juga bakal merangkumi keseluruhan proses termasuk kos makmal dan kos pembekuan embrio. Jadi sekiranya anda sedang berkira-kira untuk ke pusat rawatan kerajaan namun risau akan jangka masa untuk menunggu, bolehlah anda pertimbangkan untuk ke klinik Kasih.

IVFKasih dibuka untuk semua tidak kira usia, bangsa dan juga punca ketidaksuburan. Untuk sebarang maklumat layari laman web rasmi mereka di http://ivfkasih.com/my/ 

KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA  (KWSP)

KWSP baru-baru ini mengumumkan pencarum yang ingin menjalani rawatan kesuburan boleh membuat pengeluaran melalui akaun 2. Ini sebagai tanda sokongan pihak KWSP kepada pasangan yang sedang berusaha untuk memiliki zuriat namun terbeban dek masalah kewangan.

Hanya pasangan suami isteri yang sah layak membuat pemohonan pengeluaran. Ia boleh dilakukan untuk diri sendiri ataupun melalui pemohonan bersama. Proses pembayaran pula boleh dipilih sama ada dibuat secara terus kepada institut perubatan ataupun bayaran kepada ahli.

Pengeluaran untuk rawatan kesuburan ini sah untuk ketiga-ketiga proses rawatan kesuburan yang telah kami senaraikan di atas yakni IUI, IVF dan ICSI. Bagaimanapun, rawatan tersebut hanya boleh dijalani di institusi perubatan tempatan. 

Siapa yang layak memohon?

  • Warganegara Malaysia/Bukan warganegara Malaysia
  • Berusia 55 tahun dan ke bawah
  • Mempunyai simpanan di akaun 2
  • Pasangan suami isteri yang sah

Senarai lengkap dokumen yang diperlukan untuk pengeluaran rawatan kesuburan

  1. Borang KWSP 9D (AHL) dan Senarai Semak (klik sini untuk contoh borang)
  2. Salinan dokumen pengenalan dengan dokumen asal untuk pengesahan (hanya pemegang bukan MyKad)
  3. Buku laluan bank / Penyata akaun simpanan / Penyata akaun semasa / Surat pengesahan maklumat pemegang akaun dari butiran pemegang Bank / Akaun
  4. Surat pengesahan dari anggota dan / atau majikan anggota keluarga yang diluluskan yang menyatakan perlindungan kos perubatan (jika berkenaan)
  5. Borang KWSP 3 (Pindaan) – untuk penghantaran surat / pengesahan cap ibu jari yang gagal (klik sini untuk contoh borang)
  6. Laporan Perubatan – Rawatan kesuburan LPP-2 (klik sini untuk contoh laporan perubatan)

Dokumen tambahan yang diperlukan

  1. Bukti rawatan kesuburan (laporan perubatan asal dari institusi perubatan)
  2. Bukti pembayaran (bil pembayaran atau resit)
  3. Dokumen pengenalan pesakit (sekiranya pemohon bukan pesakit)
  4. Surat Pengesahan Majikan – pengesahan tajaan daripada majikan ahli dan pasangan (jika bekerja)
  5. Sijik Perkahwinan
  6. Bil Lampiran / Invois dan Resit Pembayaran
  7. Surat Pengesahan Bayaran mengenai Kos Rawatan dan Kebenaran untuk memohon pengeluaran (klik sini untuk contoh borang)

Setelah lengkap segala dokumen yang diperlukan, anda bolehlah mengemukakan permohonan di mana-mana cawangan KWSP yang berdekatan.

Maklumat lanjut mengenai pengeluaran daripada akaun 2 ini boleh didapati dari laman sesawang rasmi KWSP di https://www.kwsp.gov.my/ms/member/withdrawals/partial/health#Rawatan_Kesuburan

Anda juga boleh memohon untuk pelepasan Cukai setelah menjalani rawatan kesuburan

Sekiranya anda telah pun menjalani rawatan kesuburan, anda berpeluang untuk menikmati pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM6,000 ini adalah tertakluk di bawah pengecualian cukai untuk perubatan penyakit serius.

Anda boleh mula memohon untuk pelepasan cukai tersebut bermula dari tahun taksiran 2020. Dengan syarat pelepasan cukai haruslah dipohon mengikut nama di atas resit pembayaran. Misalnya, ia dibuat mengunakan nama isteri maka pelepasan cuka juga haruslah di tuntut melalui si isteri.

Jika anda pernah memohon pengecualian cukai untuk perubatan sakit serius pada tahun yang sama, maka secara automatis anda tidak lagi layak untuk pengecualian ini. Namun sekiranya permohonan sebelum itu kurang dari RM6,000 anda masih boleh memohon pemotongan cukai untuk rawatan kesuburan.

Di harap perkongsian ini dapat membantu pasangan di luar sana mengenal pasti rawatan yang bersesuaian dengan keperluan dan mengurus perbelanjaan dengan lebih terperinci. Kesemua rawatan yang disenaraikan adalah selamat untuk dijalani dan maklamatnya adalah satu iaitu untuk meningkatkan peluang kehamilan.

Kita tahu dalam masa yang agak mencabar sekarang, tak ramai yang berkemampuan untuk mengahabiskan beribu-ribu ringgit untuk melalui rawatan kesuburan. Oleh itu, manfaatkanlah inisiatif yang kami sebutkan di atas untuk meringankan sedikit beban perbelanjaan anda.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×