Asuh

Nampak Selamat, Tapi Ini 5 Bahaya Dudukkan Bayi Terlalu Awal

2.1K
reads

“Salah satu kesalahan paling biasa dilakukan oleh ibu bapa adalah meletakkan bayi mereka dalam posisi pasif seperti duduk atau berdiri sebelum bayi cukup kuat untuk berbuat demikian,” kata Ying Bin, seorang ahli kinesiologi, yang mempunyai kepakaran dalam pergerakan tubuh.

Ada masanya ibu bapa rasa tak tenang bila tengok anak terkial-kial untuk cuba bangun dari tempat pembaringan mereka. Bila mereka asyik berbaring, kita pun rasa boring juga. Maka, ibu atau bapa pun datang untuk membantu mendudukkan bayi dalam posisi yang dianggap paling ideal untuknya. Sesetengah ibu bapa juga beranggapan bayi perlu didudukkan untuk mengelak flat head syndrome akibat berbaring terlalu lama.

Tapi, ada beberapa perkara yang perlu anda tahu agar tidak menghalang perkembangan bayi yang sedang belajar untuk duduk.

5 Bahaya Dudukkan Bayi Terlalu Awal

Sungguhpun kita yakin bahawa bayi didudukkan di tempat yang selamat; seperti kerusi khas yang lembut, tetapi posisi tersebut dipercayai mampu memberi beberapa kesan yang agak membimbangkan kepada tubuh mereka.

1. Menghalang Kebolehan Fizikal Bayi

Menurut laman web kesihatan bayi, Tiny Love, ditegaskan bahawa terdapat perbezaan antara perbuatan duduk (sitting) dan duduk tegak (sitting up).

Duduk (sitting) – Pada sekitar usia 4-7 bulan, jika anda mendudukkan bayi, mereka sudah boleh kekal dalam posisi tersebut. Walaubagaimanapun, mereka tidak mempunyai kebolehan untuk beralih kepada posisi lain.

Duduk tegak (sitting up) – Seorang bayi dikatakan boleh duduk tegak apabila mereka boleh duduk sendiri dan beralih posisi tanpa bantuan sesiapa.

Jika bayi didudukkan terlalu awal sebelum mereka cukup kuat untuk berbuat demikian, bayi kebiasaannya akan menggunakan tangan untuk menstabilkan tubuh mereka. Oleh sebab itu, pergerakan bayi akan menjadi terbatas.

Sekiranya anda mahu mendudukkan bayi anda sekadar buat beberapa minit, tidak salah. Namun, pastikan persekitaran mereka selamat dan terdapat sokongan yang baik untuk tubuh mereka.

5 Kebaikan Bayi Merangkak Yang Ibu-Bapa Perlu Tahu!

Foto Kredit: tristanmarshman.blogspot.com

2. Postur Yang Tidak Sesuai

Menurut laporan Chicago Tribune, Mary Weck, seorang koordinator klinikal di Wad Terapi Fizikal di Children’s Memorial Hospital, Chicago berpendapat bahawa penggunaan kerusi khas untuk mendudukkan bayi sebelum otot mereka cukup kuat untuk berbuat demikian dengan sendirinya adalah tidak wajar. Malah, tiada ‘alat’ sebenarnya yang boleh membantu bayi untuk mempercepatkan kebolehan fizikal mereka.

Menurut Weck, penggunaan infant seat memberi postur yang kurang sesuai untuk bayi; di mana dada mereka terletak di belakang pelvis, manakala kepala mereka pula terlalu ke hadapan seperti membongkok. Pergerakan vestibular bayi juga menjadi terbatas dan ini boleh memberi kesan kepada kawalan mata serta koordinasi deria yang lain.

umur bayi boleh duduk

3. Ia Boleh Menjadi Tabiat

Menurut Janet Lansbury, seorang pakar keibubapaan dan penulis buku Elevating Child Care, jika ibu bapa kerap membantu proses mendudukkan bayi, ia boleh menjadi tabiat dan ‘keperluan’ bayi. Mereka selesa untuk didudukkan dan kurang cenderung untuk melakukannya sendiri.

Maka, sedikit sebanyak proses perkembangan bayi boleh terganggu kerana bayi tidak didedahkan kepada ‘kebebasan’ posisi dan pergerakan semulajadi seperti meniarap, bergolek, merangkak, dan cuba untuk duduk tegak.

4. ‘Skip’ Fasa Merangkak

Bermula dengan memusingkan badan, meniarap, bergolek, merangkak, mengengsot, berdiri, dan akhirnya berjalan. Semua ini perlu dilakukan secara konsisten oleh bayi dengan kesabaran dan usaha. Proses pembelajaran ini bukan sekadar mengajarnya bergerak, tetapi ia mengajar mereka untuk mencuba, bereksperimen, mengatasi kesukaran, dan melakukan sesuatu tanpa bantuan. Secara emosi dan psikologinya, mereka turut belajar untuk merasai ‘kejayaan’ yang dicapai.

Janet juga berkongsi pengalamannya apabila dihubungi oleh ibu bapa yang bimbangkan anak mereka yang lewat perkembangan, di mana beliau mendapati kebanyakan mereka menggunakan alat seperti infant seat, jumper, walker, dan kerapkali membantu mendudukkan bayi. Jelasnya, bayi memerlukan masa dan kebebasan untuk bergerak dan belajar mencapai kebolehan tertentu. Jika mereka asyik didudukkan, bayi mungkin akan melangkau perkembangan lain seperti merangkak – yang amat penting untuk kekuatan otak dan otot bayi.

'Baby walker' sebagai alat bantu bayi berjalan

5. Bayi Tak Dapat Belajar Bermain Sendiri

Sesetengah pakar lain juga berpendapat bahawa perbuatan mendudukkan bayi boleh menghalang bayi daripada independent play. Posisi yang kekok, statik, dan tidak stabil menyukarkan bayi menggunakan tangan mereka untuk meneroka dan bermain.

Ying Bin berpendapat bahawa bayi perlu diberikan banyak masa untuk meniarap di atas lantai. Apabila didudukkan di dalam stroller atau car seat, pastikan ianya dilaraskan pada 45 darjah supaya bahagian pinggul mereka tidak terbeban dan bayi akan lebih selesa untuk bergerak.

biarkan anak bermain sendiri

Foto Kredit: nspcc.org.uk

Gunakan ‘Alat Bantuan’ Sekadarnya Saja

Tidak dinafikan penggunaan alatan seperti walker dan infant seat dapat membantu ibu bapa, terutamanya ketika menyuap bayi makan. Ia juga membolehkan kita mendapatkan sedikit masa untuk membuat kerja rumah atau menguruskan diri.

Apapun, penting untuk kita faham bahawa ia tidak boleh disalahguna hingga mengehadkan keperluan bayi untuk memperkembangkan kemampuan fizikalnya.

Yang Popular

To Top