Inspirasi

8 Drama Korea Yang Memberi Inspirasi Kepada Wanita. Mesti Tonton!

3.5K
SHARES

Sejak awal tahun 2000 lagi drama Korea sudah mula mengumpul peminat dari seluruh negara. Selain muzik dan rancangan realitinya yang menarik, drama bersiri Korea tidak kurang hebatnya bagi citarasa penonton Malaysia.

Kalau pada mulanya kita diperkenalkan dengan drama-drama seperti Boys Over Flowers dan Winter Sonata, kini terdapat pelbagai lagi drama yang diminati bukan sahaja kerana jalan ceritanya yang menarik dan tidak cliché, tetapi kebanyakannya juga tidak panjang berjela-jela hingga berpuluh-puluh episod. Kalau sudah sekali menghadap, pasti susah nak berganjak selepas itu. Selain drama bertemakan cinta remaja dan sejarah, drama Korea juga mempunyai pelbagai pilihan dari seram sehinggalah ke sains fiksyen.

Bagi yang sukakan drama yang lebih realistik sebagai inspirasi, K-drama juga turut menyajikan drama yang mempunyai karakter wanita yang hebat. Wanita-wanita ini membuktikan bahawa mereka juga boleh jadi sehebat lelaki dalam apa jua bidang yang diceburi dan mampu menempuhi cabaran yang dihadapi.

8 Drama Korea Yang Memberi Inspirasi Kepada Wanita. Mesti Tonton!

1. My Name is Kim Sam Soon / Kim Sam Soon My Lovely

Drama ini sangat popular sekitar 2005 dan merangkul pelbagai anugerah kerana jalan ceritanya yang padat mengenai wanita yang bebas dari stereotaip masyarakat. Kim Sam Soon adalah antara gambaran wanita yang paling realistik dalam K-drama di mana watak tersebut memaparkan ciri-ciri wanita yang agak lantang, risau dengan berat badannya, masih belum bertemu jodoh, dan selalu segan dengan namanya yang dianggap terlalu ‘kampung’.

Dengan hanya berbekalkan minat dan kemahiran dalam bidang pastri, Kim Sam Soon mengorak langkah membina hidup sendiri selepas kekecewaan besar dalam hidup. Sikapnya yang percaya diri dan berani bersuara membuatkan karakter ini sangat diingati bagi mereka yang mengikuti drama ini. Bahkan, ia turut memberi inspirasi kepada wanita agar tidak malu menjadi diri sendiri.

2. Angry Mom

Jangan ingat wanita tidak berani bangkit dan kembali bertarung. Drama ini mengisahkan Jo Kang Ja yang dahulunya terkenal sebagai ‘gangster’ sekolah suatu ketika dahulu. Apabila dia mendapat tahu anak perempuannya sering dibuli dengan teruk di sekolah, beliau membuat keputusan untuk mengubah keadaan.

Beliau menyamar sebagai seorang remaja dan mendaftar ke sekolah anaknya untuk menuntut bela. Apabila sudah berada di sekolah, Jo Kang Ja didedahkan lagi dengan bermacam masalah yang menunjukkan keganasan yang berlaku di sekolah serta kelemahan dalam sistem pendidikan. Beliau kemudiannya berusaha untuk membetulkan situasi dengan bantuan para guru di sekolah tersebut supaya kes buli tidak lagi berlaku.

Wataknya yang agresif tetapi untuk tujuan yang betul merupakan teladan yang baik. Drama ini juga dianggap sebagai pembuka mata bagi masyarakat. Jika sebelum ini drama korea dilambakkan dengan kisah cinta zaman sekolah, drama Angry Mom tampil membawa mesej yang lebih penting iaitu isu-isu semasa yang serius di sekolah seperti buli dan peras ugut.

3. Twenty Again / Second Twenties

Hamil pada usia yang mudah, Ha No Ra telah melepaskan cita-citanya menjadi pelajar universiti dan meneruskan impian dalam bidang tarian. Setelah sekian lama bergelar seorang ibu dan surirumah tangga, Ha No Ra akhirnya membuat keputusan yang besar untuk melanjutkan pelajaran kerana mahu setaraf dengan suaminya, seorang profesor kolej yang disegani.

Drama ini begitu indah menceritakan tentang ‘self-discovery’ terutamanya bagi surirumah yang cuba mengutip semula peluang yang masih tersisa untuk memperbaiki diri. Ia memberi semangat untuk kita keluar dari kepompong selesa dan menanam tekad untuk mencipta peluang bagi diri sendiri tanpa mengharapkan orang lain.

Dalam terbiasa menjalani rutin harian yang hambar, kita kadang kala ibarat kehilangan diri kita yang sebenar. Begitulah yang dialami oleh Ha No Ra. Watak ini juga membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk mengejar cita-cita dan segalanya mungkin jika kita percaya pada diri sendiri.

4. Sungkyungkwan Scandal

Ketika bidang ilmu didominasi oleh kaum lelaki pada dinasti Joseon, Kim Yoon Hee tetap gigih menuntut ilmu kerana minatnya yang mendalam walaupun terpaksa menyamar sebagai lelaki pada kebanyakan masa. Drama ini adalah adaptasi sebuah novel bestselling tahun 2007 bertajuk The Lives of Sungkyunkwan Confucian Scholars.

Watak heroin kisah ini diterajui oleh Park Min Young (Kim Yoon Hee) yang terpaksa menyara keluarga dengan menggunakan identiti sebagai adik lelakinya. Dengan keazaman dan kerajinan, dia berjaya melanjutkan pelajarannya di Institut Sungkyunkwan iaitu pusat ilmu yang termuka pada waktu tersebut. Kim Yoon Hee berjaya menyesuaikan diri antara pelajar lelaki yang lain dan tetap menyerlah.

Dalam mengekalkan sisi femininnya, wataknya berkesan dalam memaparkan karakter yang pintar dan sebagai seorang sahabat yang boleh diharapkan. Terdapat banyak adegan yang memaparkan kebolehan luar biasanya dalam membantu rakan lelakinya yang lain. Lama-kelamaan, rahsia ini terbongkar tetapi akhirnya kebolehan dan semangatnya membuka peluang pendidikan kepada wanita serta menjadi inspirasi ramai.

5. Marriage Contract

Kasih sayang ibu tiada tolok tandingnya. Marriage Contract mengisahkan pengorbanan seorang ibu tunggal yang sanggup melakukan apa sahaja bagi membesarkan anak perempuannya. Dalam tersepit dalam masalah hutang yang ditinggalkan oleh mendiang suaminya, beliau mengambil risiko untuk berkahwin kontrak dengan majikannya yang perlukan seorang penderma organ buat ibunya ketika itu.

Walaupun menghadapi pelbagai kesusahan, Hye Soo sentiasa pastikan kebajikan anaknya terpelihara. Hye Soo juga disahkan mengalami penyakit tumor otak tetapi masih bersemangat bekerja demi anak tercinta. Ketika dalam tempoh kontrak tersebut juga, Hye Soo mengalami waktu yang sukar bagi meyesuaikan diri dengan majikannya serta pelbagai peraturan yang perlu dipatuhi.

Ia juga memberi banyak pengajaran kepada wanita agar sentiasa membuat persediaan dan tidak berputus asa meneruskan hidup walaupun ditimpa musibah demi musibah.

6. Big Thing / Dae Mul

Bagi yang inginkan kelainan, drama yang berunsur politik ini mungkin memberi sedikit twist apabila menengangkat tema politik yang agak kontroversi.

Berlatarbelakangkan kisah Presiden Korea Selatan yang pertama, ia menceritakan kisah hidup Seo Hye Rim sebelum menjadi presiden. Pada awalnya Seo Hye Rim hanyalah wanita biasa yang ceria dan bekerja sebagai pengacara kanak-kanak di stesen radio televisyen. Suatu hari suami Seo Hye Rim mendapatkan tugas untuk melaporkan berita di Afghanistan. Malangnya, suami Hye Rim ditawan para pemberontak bersama para wartawan lain dari Jepun. Hye Rim yang hanya ibu rumah tangga biasa seolah-olah tak mampu berbuat apa-apa selain meminta dan menunggu pertolongan dari pemerintah. Setelah sekian lama menanti, So Hye Rim mendapat khabar bahawa suaminya meninggal, sedangkan para wartawan Jepun berjaya diselamatkan.

Perasaan kecewa dan marah terhadap pemerintah diungkapkannya secara terbuka di siaran media hingga menyebabkan dia dipecat.  Takdir membawanya bertemu kembali dengan Ha Do Ya, seorang peguam yang akhirnya bergandingan menegakkan kebenaran dan mengorek rahsia korupsi gelap, bahkan menaikkan wanita ini sebagai presiden wanita pertama.

Menariknya, anda pasti tak menyangka bahawa walaupun membawa mesej yang berat, Dae Mul sebenarnya tidaklah selalu serius, ada juga selingan humor aksi lucu yang cukup menghiburkan.

7. Unkind Women

Daripada tajuknya saja mungkin anda boleh mengagak bahawa karakter drama ini diterajui oleh beberapa orang wanita. Biasanya kisah tentang seorang wanita saja sudah dianggap kompleks, inikan pula beberapa orang wanita yang berlainan generasi! Inilah tarikan yang diketengahkan dalam Unkind Women hingga berjaya menjadikannya salah satu drama dengan rating tertinggi dan mengungguli siaran KBS.

Setiap watak yang ditampilkan memiliki sisi personaliti yang boleh dikaitkan dengan kebanyakan wanita – antaranya ada yang asyik terperangkap dalam bayangan masa lalu (Soon OK), ada yang kurang lancar dalam memilih pekerjaan Hyeon Jeong), ada yang terlalu lurus dan mudah ditipu (Hyeon Sook), dan ada yang menjadi mangsa keadaan (Ma Ri).

Kisah ini mengupas setiap permasalahan yang dialami oleh wanita-wanita ini dan membuktikan bahawa walau apa jua keadaan kita, setiap masalah ada penyelesaiannya.

8. Protect The Boss

Tidak seperti drama lain, drama ini seakan terbalik berbanding yang biasanya kerana watak utamanya walaupun seorang majikan tetapi berpewatakan lemah dan tidak matang yang digandingkan dengan wanita yang lebih tegas dan berpendirian teguh.

Noh Eun Seol akhirnya berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai setiausaha  Jihoon setelah lama menganggur. Lebih menarik lagi, kerja tersebut hanya berjaya didapatkan setelah Eun Seol mengkritik cara syarikat itu menjalankan temu duga yang lebih memandangkan kepada kelulusan akademik. Perwatakan Eun Seol terserlah kerana sikapnya yang persisten kepada kerjanya.

Walaupun berkali-kali Jihoon berusaha untuk menjatuhkannya, dia tetap bertahan sehingga berjaya mendapat kepercayaan majikannya itu. Eun Seol pasti ada cara kreatif dan sentiasa berfikir di luar kotak supaya majikan dapat menerima cadangannya. Eul Seol juga berhasil membuatkan majikannya lebih percaya diri dan menjadikan dirinya lebih berwibawa untuk memegang syarikat keluarganya itu.

Benarlah kata orang, di sebalik seorang lelaki hebat, tentu ada seorang wanita di sisinya bukan?

Boleh Dijadikan Inspirasi & Pengajaran

Walaupun secara realitinya seorang wanita adalah insan yang sensitif, namun sifat ini seharusnya tidak dilihat sebagai kelemahan. Bahkan, ia boleh menjadi kelebihan dan kekuatan yang menjadikan seseorang lebih nekad untuk mencapai kejayaan. Ketika inilah nilai percaya diri amat penting untuk mengubah corak pemikiran masyarakat.

Wanita juga mempunyai pelbagai pendapat bernas serta berkebolehan yang tinggi setanding dengan kaum lelaki. Semoga drama ini dapat memberi sedikit suntikan semangat dan inspirasi kepada penonton, terutamanya golongan wanita di luar sana!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×