40 Minggu

Sedang Hamil? Baca 3 Tips Persediaan Jika Kematian Suami Tercinta.

Sedang Hamil? Baca 3 Tips Persediaan Jika Kematian Suami Tercinta.

Kematian Suami Tercinta

Apabila sering berdua, kita mungkin tidak bersedia untuk hadapi saat bersendirian. Percayalah, segala kemungkinan boleh berlaku dalam sekelip mata. Misalnya suami tiba-tiba dijemput Ilahi sedang kita sarat hamil.

Dina, ibu muda yang sedang hamil 36 minggu. Perasaan teruja bersemarak tatkala menanti kelahiran si manja.yang merupakan anak keempat buat Dina dan suaminya, Affan. Malang tidak berbau, Affan mengalami serangan jantung dan meninggal dunia serta merta. Dina bagaikan orang hilang akal. Tidak tahu apa yang patut dibuat. Apatah lagi bila kandungannya didapati songsang lalu dia perlu dibedah. Fikirannya melayang! Semangatnya terbang.

Bagaimana dengan kita andainya apa yang dialami oleh Dina itu berlaku pula pada kita? Dugaannya datang tertimpa-timpa tanpa disangka. Bagaimana agaknya Dina patut lalui kehidupan seterusnya?

Suka atau tidak, persediaan khusus perlu Dina dan kita lakukan bagi memastikan hidup kita tidak lumpuh andainya pasangan kita tidak dapat bersama-sama pada saat getir kelahiran anak. Bahkan perlu difikirkan persiapan rapi untuk mengharungi saat berpantang sendirian. Berikut adalah tiga fasa persediaan yang mungkin dapat membantu kita.

Fasa persediaan awal

Usah tunggu di saat akhir baru hendak menyiapkan keperluan bayi. Jadi, jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini, anda sebenarnya akan lebih bersedia. Contoh persediaan awal yang perlu dilakukan ialah:
1. Tempah khidmat ‘confinement lady’.
2. Libatkan ahli keluarga terdekat.
3. Dapatkan pengasuh untuk anak-anak yang lain jika tidak ada ahli keluarga yang dapat membantu sepenuh masa.
4. Pastikan anda ada simpanan wang tunai di tangan yang mencukupi.
5. Tempah hospital bersalin terdekat.
6. Simpan nombor-nombor penting seperti teksi, ambulans dan jiran.
7. Mohon cuti awal sebelum bersalin supaya lebih tenang.

Fasa saat berlaku kehilangan

1. Jika suami terlantar di hospital atau meninggal dunia, berusaha kuatkan semangat dan Istighfar sebanyak mungkin. Pasrah dengan ketentuan Ilahi.
2. Minta bantuan keluarga dan rakan-rakan untuk hadapi saat getir bersama.
3. Fokus pada bayi yang bakal dilahirkan. Kesihatan ibu dan bayi adalah yang paling utama.
4. Sibukkan diri dan usah membiarkan perasaan dibuai dengan rasa sedih. Fikirkan yang positif.
5. Usah fikir atau buat semua perkara. Biar ahli keluarga dan rakan-rakan bantu.

Fasa meneruskan kehidupan

1. Beri ruang pada diri. Usah biarkan diri terbelenggu dengan masalah dan kenangan silam.
2. Uruskan wang pampasan dan insurans sebaik mungkin. Rancang pelaburan untuk masa depan anak-anak.
3. Usah bersendirian terlalu lama. Minta ahli keluarga tinggal bersama di rumah atau pun terima kunjungan rakan-rakan sekerap mungkin.
4. Berkongsi perasaan bersama anak-anak yang lebih besar. Dia mungkin sedang tertekan dan anda perlu berikan dia semangat untuk terus hidup biarpun tanpa ayah.
5. Hidup perlu diteruskan. Pasangan anda sudah selamat sampai di sana dan kita pula masih lagi dalam perjalanan ke sana. Redha kerana setiap yang hidup pasti akan pergi.
6. Anda berhak bahagia! Andai ada jodoh lagi, usah menolak begitu saja. Fikirkan jika ia mampu menjadi suami mithali.
Semoga artikel ini dapat membantu para ibu dan bakal ibu yang sedang bersedih dan diuji. Selamat menjadi ibu terbaik dan penyayang.

Jika masih ada ibu-bapa, saat inilah sokongan daripada mereka diperlukan. Ingat, hargai ibu-bapa ketika mereka masih hidup kerana kita tidak akan tahu apa nasib kita setelah berumahtangga. Banyak-banyak panjatkan doa pada Allah.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×