Asuh

6 Perkara ‘Kejam’ Yang Ibu Lakukan Demi Mendidik Anak

411
SHARES

Membesarkan anak bukan perkara mudah. Kalaulah ada manual untuk melakukannya secara spesifik, dah tentu tak ramai yang stres dan tercungap-cungap macam kita.

Perasan tak, dalam nak didik mereka ada masanya kita terpaksa ‘berhati kering’. Kadang-kadang rasa ‘kejam’ pun ada. Tapi ini tak bermakna anda melakukan perkara yang salah.

6 Perkara ‘Kejam’ Yang Ibu Terpaksa Buat Untuk Anak Mereka

1. Suruh Anak Buat Kerja Rumah

Maaf, ibu takkan selamanya basuh baju kamu, gosok baju kamu, dan sediakan semua makanan kamu – tak kiralah kamu anak perempuan atau lelaki. Mungkin ramai tak tahu sebenarnya, seawal 2 tahun anak dah boleh mula diajarkan kerja yang senang seperti meletak baju kotor dalam bakul, mengelap air yang tumpah, dan mengambil lampin dari tempatnya. Awalnya memang sukar, ada saja yang tak kena.

Tapi kita ajar mereka buat kerja rumah bukan sebab kita tak dapat buat semuanya sendiri, apa yang lebih penting adalah peluang untuk mereka belajar berdikari. Jangan ingat cukuplah sekadar anak jadi orang yang cemerlang dalam pelajaran. Jangan ingat mereka akan ‘pandai sendiri’ bila dah besar nanti.

Mengajarkan anak kerja rumah sekaligus menanam attitude yang baik dalam diri mereka. Semua ini takkan boleh ‘datang sendiri’, ia perlu dilatih sejak kecil lagi.

berjaya dalam hidup

Foto Kredit: goodhousekeeping.com

2. Biar Mereka Selesaikan Masalah Sendiri

Mainan ada satu? Belajarlah berkongsi. Terlupa buat kerja rumah? Tak apa, ibu boleh tolong sikit-sikit. Tapi untuk kali pertama ini saja. Lain kali, kamu kenalah tanggung sendiri – hantar lambat dan mungkin didenda cikgu.

Kita bukannya tak pedulikan mereka, tapi kita mahu mereka belajar bertanggungjawab atas kesilapan mereka sendiri. Jangan risau. Lepas itu, kita akan fikirkan strategi supaya ianya tak berlaku lagi.

Ibu tak boleh ‘betulkan’ semua kesilapan kamu setiap kali. Kita mesti berani berdepan dengan kesalahan dan belajar perbaiki kesilapan itu sendiri.

anak suka bergaduh

Foto Kredit: babyzzz.ru

3. Mengatakan ‘Tidak’ Pada Sesetengah Permintaan Mereka

Kadang-kadang terasa kejam bila terpaksa berkata ‘tidak’ pada permintaan mereka. Sebagai ibu bapa, kita perlu konsisten terhadap peraturan yang kita tetapkan untuk anak-anak. Nak marah, marahlah. Nak mengamuk, mengamuklah. Ibu faham kamu cuma mahu meluahkan perasaan; dan kita akan sama-sama belajar untuk mengawal emosi tersebut.

Kalau anak orang lain ada handphone, biarlah mereka dengan handphone mereka. Mereka lain, kita lain. Selagi belum ada keperluan, ibu tetap akan bertegas dengan pendirian ibu.

4. Pilih – Makan Atau Berlapar

Kadang-kadang rasa kasihan tengok anak yang terpaksa ‘telan’ sayuran atau makanan yang dia tak suka. Tapi kalau kamu menolak, ibu tak akan gantikan makanan kegemaran kamu, snek dan makanan manis. Cukuplah pada hari-hari istimewa saja.

Anggaplah semua ini sebagai usaha jangka masa panjang untuk mengelakkan masalah kerosakan gigi, obesiti, dan masalah kesihatan yang lain. Malaysia ini memang syurga makanan. Nak makan apa saja, mudah saja nak dapat. Maka tak hairanlah negara kita berada di tangga teratas dalam senarai negara-negara (di rantau ini) bagi obesiti kanak-kanak.

Jika tidak dibetulkan ketika mereka kanak-kanak, pakar pemakanan berpendapat masalah itu akan kekal pada mereka apabila mencecah usia 25 tahun. Memang susah tahan godaan, tapi lagi susah nak kikis tabiat yang sebati dalam diri kita nanti kan?

Foto Kredit: writesomething.org.au

5. Nak Sesuatu? Usaha Dulu!

Maaf, ibu tak boleh memewahkan kamu dengan barang-barang mahal. Ibu tak mahu kamu membesar menjadi seorang materialistik. Kalau ibu buat begitu, kamu akan kurang menghargai.

Nak mainan baru? Usahalah menabung wang saku daripada sekarang. Kalau nak duit lebih, tolonglah ibu buat kerja-kerja rumah yang tertentu.

Bukannya kedekut, tapi alangkah lebih penting untuk mengajarkan mereka puas dan bersyukur dengan barang yang sedia ada berbanding barangan yang canggih dan baru. Namun sekali-sekala, tak salah membelikan mereka hadiah pada hari-hari istimewa.

anak terlalu manja

Foto Kredit: webzubra.com

5. Membiarkan Mereka Bosan

Ada masanya kita tak dapat melayan mereka setiap masa. Memanglah tugas kita merangka aktiviti untuk mereka, tapi anak-anak juga perlukan ruang untuk aktiviti bebas, iaitu unstructured play.

Yang mustahak, ibu bapa juga perlu tahu bahawa suapan gajet bukanlah penyelesaiannya. Biarlah mereka bosan – pandang dinding, tengok siling, dan sebagainya. Tahukah anda, kebosanan ini penting untuk anak-anak dalam membangkitkan kreativiti mereka.

Menurut kajian sains, otak anak kecil ini perlukan ruang untuk bosan. Bila mereka bosan, barulah keluarnya daya imaginasi mereka.

cara mendidik anak

Foto Kredit: momtastic.com

Ibu Mana Yang Tak Sayangkan Anak….

Ciptakan strategi yang sesuai agar anak tetap rasa disayangi di samping dapat mempelajari apa yang ingin anda sampaikan.

Seorang ibu mesti kreatif dan pada masa yang sama perlu bersikap tegas untuk membesarkan buah hatinya dengan berhikmah. Namun se’kejam’ kita pun, bukanlah sampai menjerit, memukul dan menghina anak-anak. Keseimbangan inilah yang akan menjadikan seorang anak berperibadi positif kelak.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×