Inspirasi

Ibu Ini Kongsi Tips Biasakan Anak Dengan Kerja Rumah Hingga Tak Perlu Disuruh Lagi

6.6K
SHARES

Sebenarnya setiap keluarga mempunyai cara tersendiri dalam memastikan anak-anak dapat melakukan tanggungjawab mereka. Seelok-eloknya, mereka sudah dibiasakan di awal usia agar ia menjadi tabiat dan tidaklah hanya ‘rajin’ membuat kerja rumah apabila disuruh atau diberi upah.

Menariknya, salah seorang pembaca kami, Puan Aina Yusof sudi berkongsi sebuah coretan yang menarik tentang tips anak rajin dan cara beliau mendidik 4 orang anaknya sehingga mereka terbiasa membuat kerja rumah dengan berdisiplin. Anak-anak Puan Aina masing-masing berusia 11 tahun (Along), 10 tahun (Angah), 5 tahun (Kenit) adalah lelaki manakala yang bongsu, perempuan digelar Amoy, baru berusia 3 tahun ketika perkongsian ini ditulis.

Jom baca selanjutnya:

Saya Mungkin Ibu Yang Kejam Kerana….

1. Selepas makan malam, anak-anak saya akan bergilir-gilir untuk mencuci pinggan makan beserta periuk kuali, manakala seorang lagi akan membuang sampah dan kunci pintu pagar.

2. Saya suruh anak-anak gaul nasi dengan ikan untuk diberi makan pada kucing-kucing di rumah. Saya juga akan suruh mereka bersihkan sangkar. Saya cakap, “Kita sama-sama bela, tak adil kalau Mama seorang saja yang uruskan kucing.”

3. Anak-anak basuh kasut sekolah sendiri.

4. Setiap kali selepas makan, pinggan cawan mesti basuh sendiri. Lapkan dan kemas sendiri juga kalau ada yang tertumpah.

5. Kemas bilik, lipat baju sendiri, jemur kain baju. Hujung minggu mereka akan basuh sendiri baju sekolah, clorox, nila, dan jemur sendiri.

6. Sejak darjah 4, mereka dilatih untuk gosok baju sekolah sendiri.

7. Kalau nak minum air manis, buat sendiri.

8. Saya ajar anak-anak guna dapur untuk membuat perkara asas seperti menggoreng telur.

9. Petang-petang tolong siram pokok.

10. Seminggu atau dua minggu sekali mereka disuruh menyental bilik air di dapur, kerana mereka yang gunakan bilik air itu.

11. Saya tak pernah rebus air panas untuk anak-anak mandi pagi pergi sekolah. Mandi saja air sejuk. Menangis pun menangislah.

12. Apabila mereka tak ada buat apa-apa, saya akan minta mereka tolong ‘packing’ magnet. Upahnya duit atau belanja makan.

Kejam? Tapi Ini Hasilnya Yang Buat Saya Sendiri Tergamam

1. Anak-anak dah ada rasa tanggungjawab. Dah pandai basuh pinggan sendiri. Satu hari, saya sendiri ‘speechless’ sebab anak saya yang 5 tahun basuh sendiri segala kelengkapan selepas dia makan. Dan memang bersih dia basuh. Dia kata, dia tengok Along basuh, dia pun tiru.

2. Kebetulan Friskies di rumah habis. Angah ajak pergi kedai runcit beli Friskies RM2 menggunakan duit tabungnya. Dia kata, kasihan ada kucing kurus dengan anak-anak kecil di sekolah.

3. Ada satu hujung minggu, Kenit, yang ketika itu berumur 5 tahun bangun awal. Mama yang terlelap di bilik terjaga sebab dia minta bukakan pintu sebab nak jemur kasut sekolah. Terkejutnya saya apabila dia dah siap basuh kasut sekolah jam 8 pagi!

4. Suatu hari nampak Si Bongsu sibuk dengan mop dan kain. Rupanya, dia sedang lap sendiri air yang dia tertumpah tadi.

5. Satu petang lagi, cari Kenit tak jumpa. Rupanya dia di luar angkat kain baju dia. Lepas itu, dia longgokkan depan TV dan lipat sendiri sambil tengok Ultraman. Dah siap lipat, terus simpan dalam almari tanpa disuruh.

6.Anak-anak dan pandai gosok baju sekolah untuk seminggu terus pada setiap hujung minggu.

7. Bukan setakat dah pandai buat air Milo, Nescafe, atau teh, tapi mereka berdua ini dah pandai buat aiskrim Malaysia. Kadang-kadang perisa Milo, Nescafe, atau jagung. Yang selalu jadi ‘kepala’nya Si Along. Tengah hari boleh pula mereka bancuh teh o ais satu jag.

8. Mereka dah pandai goreng telur. Sekarang mereka sendiri yang minta ajar masak nasi dan Maggi.

9. Anak-anak pula yang tanya, “Mama, pokok tu dah siram ke?” “Mama, bendi tu dah besar, Angah petik ya..”

10. Satu petang Kenit balik sekolah, lama sungguh dia mandi. Saya bebel di luar, rupanya dia basuh bilik air. Memang terkejut tengok anak yang 5 tahun basuh bilik air sampai bersih, termasuklah lubang jamban sekali dia sental sampai putih berkilat. Tak ada kata geli pun.

11. Sekarang nak pergi sekolah pagi-pagi mereka memang mandi air sejuk. Kenit pun bangun seawal 6 pagi dan tak kekok mandi air sejuk.

12. Sesekali saya bawa mereka pergi Mr DIY apabila saya beri mereka duit atau upah untuk tolong buat kerja ‘packing’. Saya kata, “Belilah apa yang kamu suka, tapi bermanfaat.” Selalunya mereka akan beli alat tulis atau buku. Pernah juga, anak tolak bila saya bagi duit upah. Anak cakap, “Takpelah Ma, Angah ikhlas tolong Mama. Sebab Mama pun penat buat kerja.”

tips anak rajin

Foto Kredit: gettyimages.com

Bukan Anak Perempuan Saja Perlu Diajar Buat Kerja Rumah

Yang kita ajar ialah rasa tanggungjawab. Rasa berdikari dan tak payah disuruh. Kita nak pupuk rasa sayang anak-anak pada persekitaran dia. Anak-anak akan buat tanpa kekok kalau dia dah terbiasa. Dan anak-anak saya itu semuanya LELAKI kecuali yang paling kecil.

Sedangkan kerja-kerja yang saya ajarkan pada mereka telah dianggap kerja anak-anak perempuan sejak zaman datuk nenek kita lagi. Maka anak lelaki nak buat apa pun tak reti. Bila dia dah besar, pinggan sebiji pun dia akan tinggalkan untuk Mak atau Bini yang basuh.

Suatu hari, saya panggil anak-anak, saya cakap, “Mama minta maaf kalau Mama suruh kamu berdua buat banyak kerja. Mama cuma nak kamu pandai berdikari kalau suatu hari nanti Mama tiba-tiba dah tak ada lagi. Sekurang-kurangnya kamu berdua dah pandai hidup sendiri.”

Mudah-mudahan rasa tanggungjawab dan tabiat ini akan berkekalan sehinggalah mereka besar.

 

* Puan Aina Yusof merupakan bekas Pegawai Hal Ehwal Pelajar di sebuah kolej swasta dan mengambil keputusan bergelar surirumah sejak 3 tahun lalu. Kini, beliau membuat perusahaan sendiri menjual ‘fridge magnet’ bergambar secara kecil-kecilan dari rumah. Follow beliau di Facebook untuk lebih banyak perkongsian sambil melihat koleksi ‘fridge magnet’ yang menarik.

** Penulisan asal tentang pengalaman mendidik dan tips anak rajin ini diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×