Sebuah laporan UNICEF ada menyebutkan bahawa dalam beberapa tahun terawal kanak-kanak, lelaki dan perempuan biasanya menerima layanan yang hampir sama daripada kedua ibu bapa mereka.
Namun seiring dengan peningkatan usia mereka, perbezaan jantina mula berlaku di mana anak perempuan didapati lebih sering melakukan kerja rumah berbanding anak lelaki.
Nak kata anak perempuan lebih rajin, mungkin juga. Malah, kerja rumah nampak lebih sinonim dengan perempuan. Tapi walau apapun alasannya, anak lelaki tak sepatutnya dibiarkan ‘terlepas’ begitu saja daripada belajar berdikari dan menguruskan kerja-kerja di rumah.
6 Sebab Anak Lelaki Perlu Diberi Lebih Banyak Kerja Rumah
1. Tanggungjawab Ini Selalu Diberatkan Kepada Anak Perempuan
Tidak dinafikan bahawa semua kerja ini menyumbang kepada kemahiran tertentu kepada anak perempuan, namun ia juga tidak kurang pentingnya bagi anak lelaki.
Secara spesifiknya, anak perempuan didapati melakukan hampir 50% lebih banyak kerja rumah berbanding anak lelaki. Malah, di beberapa tempat tertentu seperti Asia Selatan, Timur Tengah dan Afrika Utara, kanak-kanak perempuan berusia 5 hingga 14 tahun didapati melakukan kerja rumah 2 kali ganda banyaknya berbanding kanak-kanak lelaki.
2. Ia Mengajar Lelaki Agar Lebih Menghargai
Bila jarang ditugaskan membuat kerja rumah, lahirlah lelaki yang suka memandang remeh pada kerja-kerja rumah.
Mereka menganggap tugas harian seorang ibu surirumah hanyalah ‘goyang kaki’ di rumah. Mereka menganggap kerja di rumah semua senang sampaikan nak basuh sebiji pinggan pun malas. Mereka takkan pernah faham kesusahan ibu dalam menguruskan keluarga serta kerja rumah yang tak pernah habis.
Bayangkan kalau lelaki begini menjadi suami atau ayah, apakah cerminan yang bakal mereka perlihatkan kepada anak-anak mereka nanti?
3. ‘Menjaga Emosi’ Anak Perempuan
Kalau di dalam sebuah rumah hanya anak perempuan saja yang disuruh membuat kerja-kerja rumah, sudah tentulah anak perempuan tadi akan merasakan terbeban dan dilayan secara tidak adil.
Bahkan mungkin ada yang ‘makan hati’ dan semakin kurang percaya diri. Mereka fikir mereka hanya layak membuat kerja-kerja rumah seperti mencuci, menyediakan makanan, atau menjaga adik, sehingga mereka tak nampak potensi yang ada pada diri mereka.
4. Anak Lelaki Bakal Menjadi Ketua Keluarga
Sedang kita sibuk memastikan anak dara kita pandai membuat itu ini, lupakah kita bahawa anak lelaki itulah yang bakal menjadi ketua keluarga suatu hari nanti?
Menjadi ketua dalam keluarga bukan sekadar mencari isteri yang baik dan rajin. Sebaliknya, ia adalah tugas yang berat. Pastinya seorang ketua sendiri perlu tahu menguruskan hal ehwal rumah tangga, atau setidak-tidaknya menguruskan diri sendiri. Kalau semua benda asyik nak harapkan Mak, lepas kahwin nanti takkan nak harapkan isteri pula?
Betullah kalau tak reti boleh upah orang, tapi takkanlah perkara asas pun kita tak boleh buat dan nak membazirkan duit. Setakat mengemas rumah atau mencuci baju – semua ini juga menunjukkan tahap kebersihan seseorang, bukan?
5. Ia Mengajar Berdikari
Mungkin ada yang bagi alasan ‘orang perempuan duduk di rumah, orang lelaki cari duit di luar’. Tapi hakikatnya zaman ini semakin pupus. Lihat sajalah berapa ramai graduan di kalangan orang perempuan dan pekerjaan yang memerlukan kemahiran wanita di luar rumah.
Lagipun, takkanlah asyik nak fokus pada pelajaran atau kerja sampai kemahiran asas untuk menguruskan diri pun tak boleh nak belajar, kan?
Bahkan, ada kajian yang telah membuktikan bahawa anak-anak yang dibiasakan membuat kerja rumah adalah lebih berjaya dalam hidup kerana mereka mudah menyesuaikan diri dengan dunia luar.
6. Ia Bakal Mengubah Tanggapan Stereotaip
Akhir sekali, memberi peluang kepada anak lelaki untuk membuat kerja rumah sebenarnya bukan saja akan memberi impak positif kepada anak lelaki tersebut, tetapi juga mengubah tanggapan stereotaip masyarakat kita.
Jadi, bila nampak anak lelaki buat kerja rumah, kita tak adalah buat muka pelik. Kita tak adalah anggap mereka ‘lembut’ dan sebagainya. Sebaliknya, ia patut menjadi sesuatu yang normal dalam kehidupan seharian.
Setiap Ahli Keluarga Mesti Menyumbang Peranan
Sekalipun anak perempuan melakukan kerja-kerja rumah dengan sukarela, anak lelaki juga mesti dilatih untuk menjadikannya satu kebiasaan – bukan sekadar pada hari-hari yang penting atau istimewa.
Pokok pangkalnya, tak kiralah anak lelaki atau anak perempuan, dua-dua pun kenalah rajin kan?