Seperti yang kita tahu gelembung pelancongan ke Pulau Langkawi sudah pun bermula. Ramai dalam kalangan rakyat mengambil peluang ini untuk keluar melancong setelah sekian lama. Walaupun kebenaran sudah diberi tetapi menjadi tanggungjawab orang ramai untuk patuh kepada SOP yang telah ditetapkan.
Baca juga: SOP Gelembung Pelancongan Ke Pulau Langkawi Bermula 16 September
KANAK-KANAK USIA 3 TAHUN PELANCONG LANGKAWI PERTAMA POSITIF
Terbaharu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesahkan terdapat satu kes positif Covid-19 membabitkan pelancong yang berkunjung ke Pulau Langkawi sempena projek rintis gelembung pelancongan sejak 16 September lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo berkata, kes positif tersebut melibatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan berasal dari Nilai, Negeri Sembilan.
Menurut laporan, keadaan pesakit adalah bergejala ringan dan sudah diletakkan di bawah pemantauan pasukan CAC (Pusat Penilaian Covid-19) daerah Langkawi.
Kata Dr. Othman juga, kes berkenaan didaftar serta diklasifikasikan sebagai kes Import B (kes rentas negeri) yang mana hasil siasatan mendapati kemungkinan jangkitan ke atas kanak-kanak itu berlaku sebelum melancong ke Langkawi.
Menurut Othman, kanak-kanak terbabit bersama ibu dan bapanya tiba di Langkawi pada pukul 7.30 malam, 24 September lalu dengan menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA 2).
“Ibu bapa kanak-kanak terbabit telah mendapat vaksinasi lengkap dan bukan kes positif Covid-19 atau kontak rapat kepada kes positif Covid-19 serta tidak bergejala,” ujarnya.
Sumber: KOSMO