Rakyat

Pertama Di Malaysia, Teknologi CCTV Pengecaman Wajah Diperkenal Di P.Pinang

971
SHARES

Saban hari memang ada saja berita berkaitan jenayah yang sering membimbangkan masyarakat, terutama sekali golongan ibu bapa. Kadang-kadang rasa tak selamat dan takut nak biarkan anak kita ke mana-mana tanpa pengawasan kita kan?

Atas dasar keselamatan, Pulau Pinang mengorak langkah menjadi negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan penggunaan teknologi sistem pengecaman wajah menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dalam usaha memerangi jenayah di negeri itu.

Berikut adalah beberapa perkara tentang teknologi canggih tersebut yang menarik untuk kita tahu.

5 Perkara Menarik Tentang Teknologi CCTV Pengecaman Wajah Di Pulau Pinang

1. Menggunakan Teknologi Artificial Intelligence

Melalui CCTV sebegini, tahap sekuriti adalah tinggi kerana wajah penjenayah lebih mudah dikenal pasti.

Ia juga diselia secara lebih teliti kerana teknologi artificial intelligence yang dibangunkan menggunakan sistem IBM ini beroperasi di bilik kawalan CCTV Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan di bilik gerakan ibu pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

cctv penang

Foto Kredit: Bernama

2. Mengesan & Mencegah Jenayah

Selain mengesan perbuatan jenayah, CCTV juga mampu mencegah serta membantu mengenal pasti individu yang mempunyai rekod jenayah dan ia mengesan kedudukan mereka sebelum tindakan seterusnya diambil pihak berkuasa.

Penggunaan CCTV juga membantu polis agar dapat menjalankan tugas dengan lebih efisyen, contohnya dengan mengesan jejak penjenayah yang berjaya melarikan diri dari tempat kejadian.

“CCTV adalah penting untuk mengumpul data dan kini kami perlu melihat cara untuk menafsirkan data. Perlu ada algoritma dan corak yang dapat membantu mencegah jenayah sebelum ia berlaku.” ulas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

3. Sebanyak 767 Buah CCTV Telah Dilengkapi Dengan Teknologi tersebut

Projek bernilai RM12 juta itu dilaksanakan secara berperingkat sejak Disember 2017. Sebanyak 767 CCTV yang dipasang di kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah dipertingkatkan dengan teknologi pengecaman wajah tersebut.

Sementara itu, sebanyak 130 unit CCTV telah dipasang di Seberang Perai oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Pemasangan lagi 150 unit CCTV dijangka siap pertengahan tahun 2019 ini, menjadikan keseluruhan CCTV berteknologi tinggi ini di Pulau Pinang sebanyak 1047 unit.

Foto Kredit: lowyat.net

4. Kerjasama Dengan Polis & Sistem Keupayaan Teknologi Analitik Video Pintar (IVA)

Pelaksanaan ini mendapat kerjasama dengan polis serta sistem keupayaan teknologi analitik video pintar (IVA) dalam mengesan wajah individu yang dikehendaki atau penjenayah.

Pihak polis akan menyenaraikan individu yang dikehendaki dan imej suspek yang berjaya direkodkan akan membantu mengenalpasti kedudukan mereka dan kamera akan mengawasi gerakan terbabit secara manual sebelum pihak polis membuat penangkapan.

5. Telah Digunakan Di Negara Lain

Menurut Channel News Asia, teknologi dan sistem pengecaman wajah ini juga pernah digunakan oleh negara lain contohnya negara China, yang juga memiliki jaringan pengawasan terbesar di dunia atau “the world’s biggest camera surveillance network”.

Foto Kredit: Fortune.com

Semoga Dapat Diperluaskan Lagi

Dengan macam-macam kes yang berlaku sekarang seperti jenayah ragut, cabul, culik dan sebagainya, memang sesuai sangatlah diperbanyakkan lagi CCTV sebegini di merata tempat di Malaysia. Diharapkan sistem ini dapat membawa pesalah ke muka penghakiman dan sekaligus menurunkan kadar jenayah dengan efisyen.

Apabila adanya sistem CCTV yang dilengkapi dengan pengecaman wajah ini, bukan saja orang ramai akan berasa lebih selamat untuk berada di tempat awam, malah orang yang nak berbuat jahat pun kena fikir banyak kali kan?

 

*Sumber berita: Bernama, Berita Harian, Channel News Asia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×