Murah, jimat serta merangsang minda anak-anak, permainan seperti ini juga menggalakkan anak-anak bergerak daripada diberikan gajet untuk menghilangkan rengekan atau kebosanan mereka sewaktu di rumah. Adalah penting untuk pastikan anak-anak melakukan aktiviti dengan pergerakan fizikal yang sesuai mengikut umur mereka dan meluangkan masa berkualiti ibu bapa bersama anak. Berikut 8 permainan menarik yang merangsang minda si anak tanpa perlu mengeluarkan wang yang banyak.
1. MENGANGGAR JARAK
Ramai ibu bapa dengan anak kecil pasti telahpun membeli bola kecil berwarna-warni seperti ini. Terutamanya mereka yang memiliki anak lelaki. Apa yang diperlukan hanyalah tambahan bakul serta kertas warna-warni. Gunting kertas warna-warni dengan empat warna berbeza. Kemudian lekatkan sahaja di setiap bakul yang ada. Anak anda perlu memasukkan bola yang berwarna sama mengikut label warna pada bakul tadi. Permainan ini juga menguji kepintaran mereka menganggar jarak untuk memasukkan bola tadi. Pasti si kecil akan teruja!
2. IKUT BENTUK OBJEK
Penyediaan permainan ini memerlukan kertas putih, kertas warna-warni dan pelekat pada dinding. Kertas putih dan berwarna tadi perlu digunting kepada corak atau bentuk berbeza seperti bentuk segi empat empat, bujur, bintang, segi tiga dan sebagainya. Kemudian anak anda perlu lekatkan kertas berwarna berpandukan corak dan bentuk pada kertas putih di dinding. Ini sahaja sudah cukup buat si anak gembira. Jangan lupa memuji dan berikan tepukan untuk membuatkan si anak tambah bersemangat. Anak juga dapat mengingat nama bentuk dan mengenal warna.
3. PADANAN WARNA
Haaa, kotak kosong yang ada di rumah bolehlah dijadikan sebagai permainan anak. Dengan buatkan bulatan bagi memuatkan bola pelbagai warna yang telah dibelikan buat anak. Kemudian setiap bulatan pada kotak ditandakan dengan warna berbeza. Dan anak anda perlu padankan warna bola dengan tanda warna yang sama di kotak. Mudah tapi menarik!
4. MENYAPU
Permainan sebegini sebenarnya membantu anak-anak untuk fokus. Daun yang berwarna-warni boleh dibuat dengan menggunakan kertas pelbagai warna dan perlu dimasukkan ke dalam satu ruang yang ditanda oleh ibu bapa. Pelbagai input si anak boleh belajar menerusi cara sebegini seperti aspek mengemas, memberi perhatian, kebersihan.
5. MELEMPAR
Permainan berbentuk ala ala batu seremban dan ting-ting yang terkenal di zaman 90-an. Ini sesuai dimain di dalam rumah atau halaman rumah yang luas. Lekatkan ruang warna yang berbeza. Dan bahan yang mudah untuk dilempar perlu dibaling ke dalam ruang tersebut dari jarak yang agak jauh. Bersiap sedia jika anak-anak akan merengek seandaianya mereka tidak dapat melemparkan dengan tepat, momen sebegitu akan dapat dikenang oleh ibu bapa dan mengalakkan anak-anak untuk tidak berputus asa.
6. PERNOMBORAN
Permainan kereta mainan juga boleh menjadi lebih menarik tau. Sediakan kotak atau apa-apa bahan yang dirasakan sesuai untuk ditandakan dengan nombor. Kereta mainan anak-anak yang terlalu banyak di rumah juga ditandakan dengan nombor kemudian dipadankan oleh si anak. Belajar nombor tidak lagi membosankan. Boleh diselitkan juga soalan tambah dan tolak. Kreatif!
7. MENITI KAYU
Untuk anak-anak yang sememangnya aktif, seronok berlari dan melompat. Mainan ini sememangnya sesuai namun pastikan binaan kayu dan kerusi tidak tinggi. Permainan ini tidak ubah seperti mengembalikan semual kenangan kepada cara mereka mula belajar berjalan dahulu. Mereka juga akan belajar cara mengimbangkan diri.
8. JALAN SILANG
Permainan sedikit mencabar ini juga boleh dicuba jika anak-anak sudah banyak bermain dengan padanan warna. Lekatkan double tape atau sebarang tali yang selamat secara berselang-seli sebagaimana contoh gambar. Minda si anak akan terdedah tentang cara meyelamatkan diri. Mereka juga akan belajar mengenai emosi sepanjang permainan seperti ini.
Selamat beraktiviti bersama si manja!
Sumber: Pakar Borong Barang Baby