Persoalan mengenai qada solat timbul selepas Janna Nick berkongsi pengalamannya tersalah waktu ketika menunaikan solat selama tiga hari ketika berada di luar negara.
Kesilapan itu berlaku selepas dia terlupa menukar lokasi dalam aplikasi Muslim Pro yang disangka akan dikemas kini secara automatik.
Baca juga: Bapa Nak Nama Lain, Ibu Pula Dah Berkenan Nama Sendiri… Dalam Islam Siapa Berhak Tentukan?
PERLU QADA SOLAT JIKA TERSALAH WAKTU DI LUAR NEGARA?

“Titik terendah bila kau solat 3 hari straight dekat negara baru travel, ikut waktu yang salah sebab lupa tukar location dekat Muslim Pro. Ingatkan dia auto tukar location,” luahnya.
Persoalan itu kemudian mendapat perhatian Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang memberikan penjelasan mengenai hukum solat sekiranya seseorang tersilap menentukan waktu.
Menurut Bahagian Dakwah JAKIM, waktu merupakan antara perkara penting dalam pelaksanaan solat kerana setiap solat fardu mempunyai waktu yang telah ditetapkan.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa, ayat 103 yang bermaksud:
“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
Justeru, sekiranya seseorang sengaja menunaikan solat sebelum masuk waktunya, perbuatan tersebut adalah serius dan solat berkenaan perlu diganti.
Namun, keadaan berbeza jika seseorang tersilap kerana menyangka waktu solat sudah masuk, sedangkan aplikasi yang digunakan masih memaparkan waktu dari lokasi sebelumnya.
Dalam situasi tersebut, kesilapan berkenaan dikategorikan sebagai perkara yang tidak disengajakan dan terdapat perincian berhubung kewajipan menggantikan solat.
Tidak perlu qada semua solat tiga hari

Bahagian Dakwah JAKIM menjelaskan bahawa jika seseorang benar-benar tersilap menentukan waktu dan kemudian mendapati solat yang dilakukan sebenarnya sebelum masuk waktu, solat tersebut perlu diganti.
Bagaimanapun, seseorang itu tidak perlu menggantikan kesemua solat bagi setiap hari yang tersilap tersebut satu persatu.
Berdasarkan perbahasan ulama yang dirujuk, seseorang yang tersilap menentukan waktu solat dan hanya menyedarinya selepas tempoh berkenaan perlu menggantikan solat bagi hari terakhir sahaja, kerana solat tersebut dikira menggantikan solat pada hari-hari sebelumnya.
Dalam erti kata lain, jika kesilapan berlaku selama tiga hari, tidak semestinya kesemua solat sepanjang tiga hari itu perlu diqada secara berasingan.
Terdapat perbezaan antara seseorang yang sengaja menunaikan solat sebelum waktunya dengan individu yang benar-benar tersilap kerana menyangka waktu telah masuk.
Justeru, mereka yang melakukan perjalanan ke luar negara disarankan supaya menyemak lokasi dan waktu solat dalam aplikasi sebelum menunaikan ibadah bagi mengelakkan kesilapan yang sama berlaku.
Sumber: Facebook Bahagian Dakwah Jakim
