Famili

Mak Ayah Dah Boleh Semak Senarai ‘Blacklist’, Pedofilia Sebelum Serah Anak Ke Pengasuh & Sekolah

1K
SHARES
sistem edkk

Selepas ini, semua ibu bapa dah boleh ke mana-mana pejabat JKM di peringkat negeri dan daerah untuk semak nama pengasuh sama ada mereka pernah terlibat dengan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Begitu juga dengan majikan atau sekolah yang hendak mengambil cikgu baru, mereka boleh datang untuk mengakses nama pesalah yang pernah tersenarai bagi mengelakkan sebarang risiko gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Itulah pentingnya Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK) yang telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Sangat membantu, kan?

Jom ketahui beberapa perkara lagi tentang sistem ini.

6 Perkara Tentang Sistem eDKK, Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak

1. Bagaimana Ia Berfungsi

Sistem Daftar Kanak-kanak adalah suatu sistem berpusat yang menyimpan maklumat kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan dan pengabaian, di mana maklumat pelaku yang melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak juga turut direkodkan.

Tujuan utama sistem ini dibangunkan adalah bagi mempertingkatkan perlindungan dan keselamatan terhadap kanak-kanak.

Melalui sistem semakan eDKK yang dibangunkan ini, orang awam boleh menyemak nama-nama mereka yang disabitkan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dari 2017 hingga 28 Februari lalu.

sistem daftar kanak kanak

2. Cara Menyemak

Untuk membuat semakan, anda hanya perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat yang terdekat.

Kemudian, kemukakan kad pengenalan untuk pendaftaran.

Pegawai akan menyemak nombor kad pengenalan individu yang dirujuk tersebut tanpa sebarang caj dikenakan.

3. Bila & Di Mana Senarai Boleh Disemak

Individu atau agensi yang mengambil kakitangan dalam sektor pekerjaan melibatkan kanak-kanak boleh membuat semakan secara percuma terhadap bakal kakitangan di semua Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri di seluruh negara.

Sistem ini akan mula dioperasikan bermula 1 April 2019 ini.

4. Berapa Lama Tempoh Semakan

Proses semakan di JKM Negeri boleh memberi keputusan serta-merta manakala semakan di JKM daerah memerlukan masa 5 hari untuk semakan.

Sistem semakan pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak

5. Siapa Lagi Yang Perlu Membuat Semakan

Selain ibu bapa, agensi yang mengambil kakitangan dalam sektor pekerjaan yang melibatkan kanak-kanak juga boleh memanfaatkan sistem ini.

  • Pusat jagaan, tadika atau taska (contoh: pengasuh)
  • Institusi sekolah / asrama (contoh: warden asrama)
  • Bidang pendidikan (contoh: guru, tukang kebun, pengusaha kantin, pengawal keselamatan)
  • Bidang pengangkutan (contoh: pemandu bas sekolah)

6. Data Akan Dikemaskini Setiap Bulan

Data yang terdapat dalam sistem ini akan dikemaskini secara bulanan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata bahawa sistem pangkalan data tersebut merupakan fasiliti fasa pertama dalam usaha kerajaan menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Ini bermaksud, satu sistem yang komprehensif akan terus dimajukan pada masa depan demi mempertingkatkan perlindungan dan keselamatan terhadap kanak-kanak serta mengekang atau mencegah jenayah terhadap golongan itu daripada terus berlaku atau berulang.

Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk video di bawah ini:

Satu Usaha Yang Baik

Ini tentunya satu usaha yang patut dimanfaatkan sepenuhnya sama ada oleh ibu bapa mahupun orang awam memandangkan dah semakin banyak jenayah salahlaku terhadap kanak-kanak dilaporkan setiap hari.

Jadi mulai 1 April nanti, ibu ayah bolehlah mula buat semakan ya!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×