Selangor mengorak langkah besar untuk menjadi destinasi pelancongan terhangat di Malaysia pada tahun 2025.
Dengan slogan yang penuh semangat, Selangor Kan Ada!, kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS 2025) dilancarkan dengan gilang-gemilang di Setia City Park, Setia Alam.
Ribuan pengunjung menjadi saksi kepada pelancaran yang bukan sahaja berwarna-warni tetapi menjadi detik permulaan kepada transformasi pelancongan negeri ini.
Festival pelancaran kempen Tahun Melawat Selangor dibanjiri 5,000 pengunjung
Untuk pengetahuan anda, festival yang berlangsung selama tiga hari dari 20 hingga 22 Disember 2024 mempamerkan keunikan dan pesona negeri Selangor.
Bukan sekadar festival biasa kerana ia adalah perayaan budaya, seni dan pelancongan Selangor. Dari persembahan muzik hingga gerai makanan viral, setiap sudut festival memancarkan identiti Selangor.
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor. Ini menunjukkan bahawa Selangor sudah bersedia untuk tampil ke hadapan sebagai kuasa besar pelancongan pada tahun 2025!
Acara ini juga berjaya diadakan dengan sokongan rakan strategik Tourism Selangor seperti CUCKOO, ANBOT Store, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Courtyard by Marriott Setia Alam.
SPARK the Fireflies: maskot comel dan digital baharu
Acara kemuncak menyaksikan pelancaran SPARK the Fireflies, maskot rasmi yang mencuri tumpuan. Simbol kelip-kelip ini mengingatkan kita tentang keindahan alam semula jadi Selangor.
Malah, portal digital visitselangor2025.my turut diperkenalkan bagi membolehkan pelancong merancang perjalanan mereka dengan mudah.
Persembahan Aizat Amdan dengan lagu tema rasmi disertai flash mob menjadikan malam tersebut lebih meriah.
Peluang kerjaya melimpah
Menurut YB Dato’ Ng Suee Lim, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, pelaburan RM8 juta akan menggerakkan pelbagai inisiatif, termasuk Selangor Food Mega Festival dan Festival Sawah Padi Sekinchan.
Sasaran besar? RM11.7 bilion dalam pendapatan pelancongan dan peluang pekerjaan baharu di seluruh negeri.
Selain itu, cukai hiburan juga dikurangkan dan artis tempatan dapat menikmati status bebas cukai sepanjang tahun. Langkah ini membuka ruang lebih besar untuk seni dan budaya berkembang.
Kerjasama dinamik bersama CUCKOO dan AVIS Malaysia
Festival ini menyaksikan MoU penting antara Tourism Selangor dan CUCKOO International (MAL) Berhad, menjadikan CUCKOO Rakan Pencipta Kediaman Sihat Rasmi TMS 2025. Inisiatif ini sejajar dengan misi #SAMASAMAHealthier oleh CUCKOO.
AVIS Malaysia juga menandatangani MoU untuk memperkenalkan Skuad Tahun Melawat Selangor 2025 yang akan menjelajah lokasi tumpuan, memperkenalkan Selangor ke seluruh negara.
Selangor bakal jadi destinasi pilihan pelancong 2025!
View this post on Instagram
Dengan pelbagai acara sepanjang tahun, TMS 2025 membawa Selangor ke peta pelancongan dunia. Kerjasama erat dengan majlis perbandaran dan pengendali pelancongan memastikan pengalaman terbaik buat semua pelawat.
Jadi, tunggu apa lagi? Rancang perjalanan anda ke Selangor sekarang dan alami sendiri kemeriahan Tahun Melawat Selangor 2025. Selangor Kan Ada!