Sihat

Boleh Ke Makan Tiram Mentah? Awas, Anda Terdedah Risiko Bakteria Vibriosis!

7
SHARES
resepi tiram bakar

Tiram merupakan antara makanan laut yang sering mendapat perhatian ramai. Bukan sahaja rasanya enak, malah harganya juga mahal. Sering didapati dan dihidangkan di restoran mewah, tiram selalu dimakan mentah bersama sos istimewa. Namun, sejak kebelakangan ini, ramai dalam kalangan kita yang sudah mencuba menu eksklufif ini dan mudah untuk didapati dimana-mana sahaja.

Tetapi, ada juga yang mengalami sakit perut selepas menjamah tiram mentah gara-gara keracunan bakteria. Bakteria apa pula yang ada dekat tiram mentah ini? Boleh ke makan tiram secara mentah-mentah?

Baca juga: Teknik Rebus Kerang Supaya Tak Liat & Isi Gemuk-Gemuk, Makan Pun Fresh!

Jangan makan tiram mentah dan tidak dimasak sempurna

Jika anda pernah menonton Mr Bean, ada satu episode dimana Bean mengalami keracunan selepas makan Tiram.
Ya itu adalah risiko bagi sesiapa yang makan tiram mentah yang tidak dimasak. Bakteria Vibrio Parahaemolyticus banyak di sekitar pantai dan tiram dan kerang memang ada bakteria ini.

Apabila berada di suhu bilik, bakteria ini akan berganda banyak. Tiram mentah yang ada bakteria ini kelihatan, bau dan rasa yang SAMA dengan tiram yang tidak ada bakteria. Jangan ambil mudah, di US, 80 ribu orang ada mengalami keracunan Vibriosis setiap tahun dengan lebih 100 kematian.

HUKUM MAKAN TIRAM MENTAH-MENTAH

Bukan itu sahaja, ramai turut bertanyakan apakah hukum makan tiram secara mentah-mentah kepada Mufti agama dan ini jawapannya…

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Baru-baru ini saya melihat kawan saya memakan tiram secara mentah-mentah. Soalan saya, bolehkan tiram dimakan secara mentah-mentah, tanpa perlu dimasak terlebih dahulu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”[1]

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, tatkala haiwan buruan itu merangkumi haiwan buruan darat dan lautan, Allah SWT telah mengecualikan bagi kamu — dalam keadaan kamu sedang berihram — haiwan buruan laut iaitu haiwan laut yang hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu haiwan laut yang sudah mati. Justeru, perkara itu menunjukkan bahawa bangkai haiwan laut adalah halal. Selain itu, faedah kehalalannya itu adalah bertujuan supaya kamu memanfaatkannya dan begitu juga temanmu yang bersama kamu dalam perjalanan turut memanfaatkannya.

Pada asasnya tiram termasuk dalam hidupan air yang halal dimakan tanpa perlu kepada sembelihan. Hal ini kerana ia termasuk dalam keumuman firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”[4]

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”[5]

Terlebih dahulu Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa sekiranya ditelan ikan yang masih hidup atau ikan yang masih hidup itu dipotong separuh daripadanya, kemudian dimakan. Maka dalam perkara ini, terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih ialah makruh dan bukannya haram.[6] Justeru, kemakruhan tersebut berkemungkinan kembali kepada dua sebab iaitu perbuatan memakannya secara hidup-hidup berkemungkinan menyakiti dan menyeksanya, atau kerana memakannya secara mentah-mentah tanpa dimasak.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, memakan daging secara mentah telah menjadi khilaf di antara para ulama kepada dua pendapat. Pertama, mereka yang berpendapat bahawa hukumnya adalah harus. Kedua, mereka yang berpendapat bahawa hukumnya adalah makruh.

Pendapat yang memakruhkan ini, di antaranya merupakan pendapat sebahagian ulama Hanbali seperti yang dinukilkan oleh Ibn Muflih dalam kitabnya, al-Adab al-Sya‘riyyah[7] yang menyatakan bahawa makruh makan daging mentah atau yang tidak dimasak. Sedangkan pendapat yang kedua yang menyatakan harus pula adalah berdasarkan pendapat al-Mardawi dalam kitabnya al-Insaf[8] yang menukilkan pendapat Imam Ahmad yang mengatakan, tidak mengapa memakan daging yang mentah. Pendapat ini adalah pendapat yang rajih kerana tiada nas yang mengharamkannya dan merupakan pendapat yang muktamad dalam mazhab Hanbali.[9] Maka ia menepati kaedah:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةُ

Maksudnya: “Hukum asal pada sesuatu itu adalah harus.”

Selain itu, Imam al-Nawawi juga pernah ditanya mengenai hukum memakan daging mentah dan beliau menjawab dengan menyatakan bahawa hukumnya adalah harus.[10] Sekalipun begitu, perkara ini juga perlu dilihat berdasarkan kesihatan. Dari segi perubatan, pakar kesihatan menyarankan agar makanan mentah hendaklah dimasak bagi mengelakkan keracunan makanan. Hal ini kerana daging mentah mengandungi bakteria seperti E.coli, Listeria monocytogenes dan Campylobacer yang mungkin menyebabkan simptom loya, muntah, cirit birit, demam dan sakit kepala. Bahkan memakan daging mentah boleh mendatangkan bahaya dan penyakit bawaan makanan.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa memakan tiram secara mentah-mentah adalah makruh. Namun, jika ia boleh memudaratkan kesihatan serta boleh membawa kepada keracunan makanan, maka hukumnya adalah haram. Firman Allah:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”[11]

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan.[12]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen. Wallahua‘lam.

Sumber: Public Health, Maktabalbakri

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×